DILAHIRKAN sebagai seorang Muslim bukanlah bermakna kita secara automatik mengetahui segala-galanya tentang agama suci ini. Apatah lagi, jika ia melibatkan hukum fiqah dan hukum-hakam.

Keadaan itu samalah seperti apabila kita membaca al-Quran. Kita perlu mempelajarinya dengan berguru. Bermula daripada mengenal huruf hijaiyah, membaca Iqra’ mahupun Muqaddam sebelum lancar untuk mengaji dengan baik.

Ya, begitulah proses yang kita lalui dalam kehidupan ini. Mahu atau tidak, semua perkara yang berkaitan dengan Islam perlu kita pelajari.

Ia tidak akan datang bergolek tanpa usaha untuk menggali ilmu berkenaan. Sama juga halnya dengan mencari rezeki. Tanpa usaha keras, sudah pasti ia tidak akan dikecapi.

Meskipun umur kita semakin bertambah saban tahun, tetapi itu bukanlah bererti kita terus berhenti dalam mendalami ilmu agama. Masih banyak lagi pengetahuan yang perlu kita cari.

Malah, pelbagai ranjau yang perlu direntas dalam menggali ilmu yang bermakna ini. Barangkali kekakangan waktu, faktor persepsi masyarakat, bisikan syaitan dan seumpamanya.

Baru-baru ini, pendakwah Ustaz Muhammad Fahmi Rusli memberikan pencerahan tentang beberapa salah faham berkaitan isu dalam agama yang masih lagi berlaku dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini menerusi Twitter miliknya.

Dengan menggunakan tanda pagar #MasyarakatPerluTahu, beliau menyenaraikan 15 perkara yang perlu diambil cakna oleh umat Islam supaya tidak terus hidup dengan salah faham berkenaan.

Ayuh kita lihat satu persatu perkara itu:

1. #MasyarakatPerluTahu bahawa seorang suami tidak menanggung dosa isteri. Demikian juga seorang bapa tidak menanggung dosa anak gadisnya.

2. #MasyarakatPerluTahu bahawa doa yang mustajab itu ada pada setiap sujud solat. Ia tidak terkhusus kepada sujud terakhir sahaja.

Salah faham dalam agama3. #MasyarakatPerluTahu bahawa bacaan al-Fatihah dalam solat perlu dibaca dengan suara yang didengari oleh telinga sendiri. Bukan baca al-Fatihah dalam hati.

4. #MasyarakatPerluTahu bahawa perkataan silaturahim merujuk kepada hubungan kekeluargaan atau kaum kerabat sahaja. Kawan-kawan atau jiran tetangga tidak termasuk dalam rahim.

5. #MasyarakatPerluTahu bahawa bukan menjadi satu syarat untuk jawapan istikharah yang kita lakukan itu diperoleh menerusi mimpi.

Selama ini, kita dilapangkan dada dan dipermudahkan untuk membuat sesuatu urusan dan keputusan. Itulah petunjuk daripada istikharah yang dilakukan.

(Artikel berkaitan: Buat istikharah berkali-kali, tapi masih tiada jawapan… Rupanya ini sebabnya)

6. #MasyarakatPerluTahu bahawa menjulurkan/menghadapkan kaki ke arah kiblat itu bukanlah suatu yang dilarang di sisi syarak.

Ia tidaklah haram dan tidak pula makruh. Bahkan hukumnya adalah harus.

7. #MasyarakatPerluTahu bahawa amalan sunat adalah amalan yang dituntut untuk dibuat. Bukan dijadikan alasan dengan selamba berkata: “Alah, tak buat pun tak apa, kan sunat sahaja.”

Sedangkan tuntutan syarak itu hukumnya dua iaitu wajib dan sunat.

8. #MasyarakatPerluTahu bahawa tiada dalil jelas bahawa digalakkan hubungan seks antara suami isteri pada malam Jumaat.

Salah faham dalam agamaYang ajaibnya, golongan LGBT (golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender) pun saban minggu nak dapat ‘fadilat’ malam Jumaat.

Bahkan, Imam al-Nawawi kata, pendapat tersebut adalah lemah atau batil.

9. #MasyarakatPerluTahu bahawa sebutan yang betul adalah ‘bukan mahram’. Sementelah, sebutan ‘bukan muhrim’ dalam konteks tersebut tidak betul.

Mahram – orang yang haram kita berkahwin dengannya.

Bukan mahram – halal berkahwin dengannya.

Iklan

Muhrim – orang yang sedang berihram.

10. #MasyarakatPerluTahu bahawa tidak ada iktikad atau kepercayaan berkenaan karma dalam agama Islam.

11. #MasyarakatPerluTahu bahawa maksud fitnah dalam ayat: “Dan fitnah lebih besar dari membunuh” adalah syirik.

Ia bukan fitnah yang difahami masyarakat iaitu mengatakan sesuatu kepada seseorang apa yang dia tak buat.

12. #MasyarakatPerluTahu bahawa al-Quran fungsinya sebagai panduan hidup. Ia bukan diturunkan sebagai spells yang apabila dibaca surah tertentu, jadi kaya. Baca ayat tertentu, jadi cantik dan kacak.

Salah faham dalam agamaBoleh rujuk Surah al-Baqarah, ayat 2 dan 185 untuk faham sebab al-Quran diturunkan.

13. #MasyarakatPerluTahu bahawa ayat 1,000 Dinar bukan bermaksud apabila dibaca, digantung di dalam rumah atau di kedai, maka seseorang itu akan jadi kaya.

Tidak sama sekali.

Inti pati ayat itu suruh supaya kita bertakwa. Apabila kita bertakwa, rezeki akan datang dari jalan yang tidak disangka-sangka.

Iklan

14. #MasyarakatPerluTahu bahawa perkataan rezeki itu tidak terhad kepada harta benda atau material semata-mata.

Sebaliknya, kesihatan yang baik, makanan yang halal, masa yang terisi dengan manfaat, zuriat yang baik, harta yang berkat, semua ini termasuk dalam rezeki.

(Artikel berkaitan: 5 amalan yang boleh menambah atau menghalang rezeki)

15. #MasyarakatPerluTahu bahawa boleh membaca al-Quran meskipun aurat terdedah.

Boleh baca al-Quran dalam keadaan berbaring.

Boleh baca al-Quran tanpa menghadap kiblat.

Boleh baca al-Quran tanpa wuduk sekiranya membacanya tanpa memegang mushaf.

Demikian perkongsian Ustaz Muhammad Fahmi Rusli. Perkongsian beliau itu telah diulang kicau lebih 14,000 kali dan menerima lebih 15,000 tanda suka.

Semoga penjelasan yang diberikan oleh beliau dapat kita manfaatkan dalam kehidupan seharian dan melenyapkan salah faham masyarakat selama ini.

Sumber: Twitter @fahmirusliMFR

Foto: 123rf & Freepik