ISU berkaitan air sememangnya tidak akan lekang daripada kehidupan kita. Masakan tidak, nikmat ALLAH SWT yang satu ini begitu penting.

Ia digunakan dalam banyak perkara termasuklah ketika berwuduk, bersuci, mandi wajib dan memenuhi keperluan hidup seperti minuman dan dalam masakan.

Disebabkan itu, ada sahaja kekeliruan yang timbul gara-gara air. Antara yang sering kali kita dengar adalah masalah ketika air minuman dimasuki serangga atau semut itu mati di dalamnya.

Keadaan itu menyebabkan tiada sesiapa yang berani untuk meneguk air berkenaan dan membuangnya begitu sahaja. Mereka menganggap air itu sudah tercemar dan bernajis.

Dalam Islam, benarkah air yang sudah dimasuki serangga itu dianggap sudah jadi air bernajis?

Memperincikan jawapannya, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, serangga seperti lalat dan nyamuk ialah haiwan yang tidak mempunyai darah yang mengalir.

“Maka, apabila ia mati di dalam air yang bersih, maka bangkainya itu tidak menajiskan air tersebut.

“Andai kata, serangga tadi terjatuh ke dalam air minuman, maka harus meminum air tersebut selepas dibuangkan bangkai tadi ke luar.

Masalah air

“Adapun, seandainya serangga berkenaan terjatuh ke dalam air mutlak, kita diharuskan menggunakan air itu untuk bersuci dan menghilangkan najis,” jelasnya sebagaimana dipetik menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

(Artikel berkaitan: Tersentuh rakan bukan Islam sama jantina, batal ke wuduk kita?)

Dalam hal itu, Ustaz Azhar Idrus turut menukilkan pandangan Imam Nawawi yang menyatakan: “Dan adapun bangkai haiwan yang tiada baginya darah yang mengalir seperti lalat dan lainnya, maka adakah ia menajiskan air dan lainnya daripada segala jenis cecair apabila ia mati di dalamnya? Pada masalah ini ada dua pendapat. Bermula pendapat yang lebih zahir, tiadalah bangkainya itu menajiskan air. Dan hukum ini adalah pada haiwan yang bukan jenis yang tinggal di dalam air. Adapun bagi haiwan yang tinggal di dalam air, maka bangkainya tidak menajiskan akan air dengan tiada khilaf.” (Kitab Raudhah At-Talibin)

Sementara itu, dalam satu situasi lain yang kerap kali berlaku kepada kita adalah masalah air yang dibiarkan tinggal di dalam baldi tanpa diketahui sama ada bersih atau sebaliknya.

Ia acap kali berlaku apabila kita menggunakan tandas awam ketika bermusafir. Walaupun air itu kelihatan bersih dan tiada najis, namun masih ramai yang waswas untuk menggunakannya bagi tujuan istinjak dan berwuduk.

Iklan

Masalah air

Ketika menjawab persoalan tersebut, ujar Ustaz Azhar Idrus, sebenarnya air berkenaan dihukumkan suci jika kita tidak melihat ada tanda-tanda terkena najis pada air berkenaan.

“Maka, dibolehkan kita untuk menggunakan air tersebut untuk bersuci,” jelasnya.

Iklan

Semoga jawapan-jawapan itu dapat meleraikan kekusutan kita selama ini. Usah terlalu mudah dan membiarkan diri dibelenggu rasa waswas.

Sumber: Instagram uaioriginal

Foto: Freepik & Unsplash