PADA hari Khamis depan, tibalah nisfu Syaaban. Ia menandakan dua minggu kemudian, bulan Ramadan yang paling dinanti-nantikan oleh umat Islam seluruh dunia bakal membuka tirainya.

Kebiasaannya, sehari sebelumnya iaitu malam sebelum jatuhnya 15 Syaaban, masyarakat kita akan melazimi diri dengan melakukan ibadah seperti membaca Surah Yasin, solat sunat dan berpuasa pada keesokan harinya.

Amalan itu dilakukan kerana malam nisfu Syaaban yang bermula selepas matahari terbenam pada 14 Syaaban (hari Rabu) dikatakan mempunyai kelebihan tersendiri.

Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “ALLAH SWT melihat makhluk-NYA pada malam nisfu Syaaban kemudian mengampunkan semua makhluk-NYA kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan.” (Sahih Ibn Hibban)

Bersandarkan kepada fadilat yang ada pada malam itu, ia membuatkan orang ramai tidak melepaskan peluang untuk melakukan amal ibadah.

Ironinya amalan berkenaan dipertikaikan kerana ia tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW. Begitupun, ketahuilah bahawa perbuatan itu tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Walaupun tiada sandaran amalan yang khusus pada malam nisfu Syaaban, namun kita tetap digalakkan untuk melakukan ibadah lain seperti membaca al-Quran, bersedekah dan sebagainya.

Paling penting, jangan lepaskan peluang untuk berdoa pada malam nisfu Syaaban dan memohon keampunan daripada ALLAH SWT atas segala kekhilafan diri.

Kenapa kita dianjurkan berbuat demikian pada malam nisfu Syaaban? Benarkah malam nisfu Syaaban mempunyai kelebihan tertentu?

Beberapa nama lain

Pendakwah, Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud atau lebih dikenali sebagai Ustaz MK Azman berkata, malam nisfu Syaaban dikenali dengan beberapa nama mengikut pandangan pada ulama. Antara yang masyhur adalah Lailatul Mubarakah (malam keberkatan), Lailatul Qismah wal Taqdir (malam pembahagian dan penentuan), Lailatul Ijabah (malam diperkenankan doa) dan Lailatul Syafaat (malam syafaat).

USTAZ MK AZMAN

“Sesungguhnya, malam nisfu Syaaban mempunyai keagungannya yang tersendiri kerana ia berada antara dua bulan yang mulia iaitu Rejab dan Ramadan.

“Ia juga termasuk antara malam-malam yang dimakbulkan doa oleh ALLAH SWT sepertimana yang disebutkan oleh Imam Syafie dalam kitabnya, Al-Umm,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Sinar Islam baru-baru ini.

“Doa mustajab adalah pada lima malam, iaitu malam Jumaat, malam al-Adha, malam al-Fitri, malam awal bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.” (Lihat: al-Umm, 1:264)

Menurut Ustaz MK Azman, pada malam nisfu Syaaban, ALLAH SWT akan ‘turun’ ke langit dunia dan mengampunkan dosa hamba-hamba-NYA.

Aisyah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Syaaban, kemudian mengampunkan manusia lebih banyak daripada bilangan bulu kambing Bani Kalb.” (Riwayat al-Tirmizi)

Ujar beliau, hadis berkenaan disahihkan oleh ulama mutaakhirin. Menjelaskan lanjut tentang hadis itu, ALLAH ‘turun’ ke langit dunia bermaksud adalah turunnya rahmat-NYA.

“Kita wajib faham, turun atau naik itu adalah sifat makhluk, bukannya sifat Khalik (Pencipta). Sesungguhnya, MAHA SUCI ALLAH itu tidak memerlukan tempat.

“Pada malam nisfu Syaaban, malaikatlah yang turun membawa rahmat dan membuka pintu keampunan kepada sesiapa yang memburunya,” jelas beliau.

Sebenarnya, ada banyak hadis yang menyatakan bahawa ALLAH SWT akan mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya pada malam nisfu Syaaban walaupun seseorang itu melakukan banyak dosa, terang beliau.

Namun katanya, tiada pengampunan dosa bagi mereka yang kekal dalam kesyirikan, membunuh diri dan bermusuhan.

“Selain itu, terdapat hadis lain yang menyatakan bahawa ALLAH SWT turun pada setiap satu pertiga malam. Namun, dalam hadis itu menunjukkan bahawa ALLAH SWT turun pada malam nisfu Syaaban sepanjang malam bermula selepas terbenamnya matahari sebagaimana dikhabarkan oleh Nabi Muhammad SAW.

“Maka, pada malam itu, perbanyakkanlah berdoa kepada ALLAH SWT kerana kelebihan yang ada padanya,” nasihat beliau.

Pertikaian

Meneruskan perkongsian ilmunya, Ustaz MK Azman menyentuh tentang amalan lazim oleh umat Islam di negara ini seperti berpuasa sunat, membaca Surah Yasin tiga kali dan diselangi dengan doa tertentu pada malam nisfu Syaaban, selain solat sunat.

Iklan
Malam nisfu Syaaban
WALAUPUN tiada amalan sandaran khusus pada malam nisfu Syaaban, tetapi kita disarankan banyakkan beribadah dan mengutip pahala.

Beliau mengakui terdapat pertikaian pihak tertentu dalam amalan berkenaan kerana berpendapat ia tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sengaja diada-adakan.

“Amalan itu sudah menjadi adat segelintir masyarakat Melayu sekali pun tiada nas daripada al-Quran dan hadis yang menyuruh berbuat demikian. Ketahuilah bahawa umat Islam di Malaysia yang mengamalkan amalan di atas sebenarnya berpandukan daripada guru-guru mereka iaitu memperbanyakkan beramala pada bulan Syaaban.

“Oleh itu, masyarakat Islam di Malaysia melakukan pelbagai aktiviti ibadah untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT seperti berpuasa, solat sunat, membaca al-Quran, berdoa, bersedekah, bertahlil, berwirid dan sebagainya. Mereka sudah sebati dengan amalan tersebut kerana melihat ia tidak bertentangan dengan syariat Islam,” katanya.

Menurutnya, apa yang menjadi pertikaian pihak-pihak tertentu adalah amalan-amalan tersebut dikhususkan pada bulan tertentu.

Justeru, beliau menyarankan kepada semua pihak agar tidak berselisih pandangan tentang amalan-amalan pada malam nisfu Syaaban. Sebaliknya, lakukanlah apa sahaja amalan baik yang mendatangkan pahala.

“Tak usah mempertikaikan itu sesat, ini sunah. Mudah-mudahan kita semua bersatu dan meningkatkan amal ibadah, ketakwaan dan melakukan amalan.

“Menurut Imam Syafie, jika suatu amalan yang membawa kebaikan dan tidak bertentangan dengan syariah, ia adalah bid’ah hasanah,” ungkapnya.

Persiapan hadapi Ramadan

Iklan

Sementara itu, pendakwah, Ustaz Hadi Talhah berkata, meskipun terdapat perbahasan dan percanggahan para ulama tentang kelebihan malam nisfu Syaaban, namun yang penting adalah persiapan umat Islam dalam menghadapi Ramadan.

USTAZ HADI

“Syaaban merupakan bulan bersiap menghadapi Ramadan. Malah, Syaaban inilah bulan yang mana Nabi Muhammad SAW banyak berpuasa. Pun begitu, bukanlah bermakna nabi berpuasa penuh sepanjang bulan, tetapi baginda begitu menjaga puasanya seperti setiap hari Isnin dan Khamis serta selainnya.

“Ia sebagai persiapan untuk menghadapi Ramadan supaya kita tidak ‘terkejut’ apabila berpuasa nanti,” ujar beliau.

Bagaimanapun, agamawan itu mengingatkan agar tidak menyandarkan amalan sunat khusus yang lain kepada Nabi Muhammad SAW.

Itu kerana, katanya, tiada amalan khusus yang dianjurkan untuk dilakukan oleh umat Islam pada malam nisfu Syaaban.

“Lakukanlah amalan sunat seperti yang lazim kita lakukan antaranya solat sunat, berdoa, istighfar, solat sunat taubat dan sebagainya. Buatlah secara berterusan, bukan ia dilakukan kerana ibadah itu dikhususkan pada malam berkenaan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Ustaz Hadi turut menegur sikap segelintir masyarakat yang membaca Surah Yasin sebanyak tiga kali dalam keadaan yang laju dan ‘melanggar’ hukum tajwid.

“Kadangkala bacaan panjang pendek makhraj itu sama saja. Kalau boleh, kita tidak mahu bacaan yang lagha dan tidak dapat pahala. Seandainya mampu menjaga bacaan dengan baik, bolehlah Surah Yasin tadi dibaca sebanyak tiga kali.

“Andai kata tidak mampu, cukup dibaca sekali dalam keadaan yang tartil (tertib dan rapi) dan bukannya ekspres. Ingatlah bahawa tiada satu nas atau hadis yang menganjurkan bacaan Surah Yasin pada malam nisfu Syaaban dan tiada juga yang melarang kita untuk membacanya. Jadi, untuk mendapatkan pahala, bacalah elok-elok,” nasihat beliau.