3 kebaikan pembayaran zakat secara cek cura melalui program… Mana-mana syarikat dan perniagaan boleh lakukan

Pembayaran zakat
November 20, 2020
Nurulfatiha

“ SAYA bagi pihak…menyerahkan cek zakat perniagaan yang wajib bagi… menunaikannya untuk tahun berakhir 2019 berjumlah RM50,000 kepada institusi zakat…”

Demikian antara lafaz yang lazimnya dimanfaatkan oleh mana-mana syarikat semasa penyerahan cek zakat perniagaan kepada institusi-institusi zakat seluruh Malaysia.

Penyerahan itu dibuat dengan kehadiran kedua-dua pihak diwakili pengurus syarikat atau mana-mana pihak berkelayakan dan dilaksanakan dalam satu program sama ada secara santai, semi formal atau formal.

Institusi zakat lazimnya tidak menetapkan amaun untuk penyerahan sumbangan zakat menerusi program berkenaan, terserah kepada kesepakatan bersama.

Namun, apabila hadirnya pembayar zakat, semua agensi pengurusan zakat ingin meraikan para pembayar dengan sebaik-baiknya.

ALLAH SWT berfirman: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan daripada orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah atau berbuat makruf atau mengadakan pendamaian di antara manusia. Dan barang siapa yang berbuat demikian kerana mencari keredaan ALLAH, maka kelak KAMI memberi kepadanya pahala yang besar.” (Surah an-Nisa’, ayat 114)

Pembayaran zakat

SEKITAR Majlis Penyerahan Cek Zakat Perniagaan Kumpulan Bank Rakyat bagi tahun 2019 yang berjumlah RM1,013,391 di Kelantan.

Jika demikian ganjaran ALLAH SWT kepada mereka yang melaksanakan bisikan kebaikan seperti disebutkan merangkumi sedekah, berbuat kebaikan dan pendamaian antara manusia, maka tidak salah apabila agensi pengurusan zakat mahu meraikan pembayar zakat.

Bagi institusi kewangan, pembayaran zakat dibuat berdasarkan keputusan panel syariah yang dilantik untuk agihan kepada mana-mana institusi zakat. Namun begitu, bagi usahawan pula, mereka akan merujuk sama ada konsultan cukai atau individu-individu mahir atau terus kepada agensi zakat yang mereka akan salurkan sumbangan.

Terdapat banyak kebaikan dan aspek positif bagi mana-mana syarikat yang membuat bayaran secara program melalui penyerahan cek cura atau aktiviti seumpamanya dengan pihak pengurusan zakat negeri-negeri.

1. Hubungan silaturahim kedua-dua pihak

Silaturahim yang dimaksudkan adalah hubungan akrab yang lazimnya menimbulkan elemen kemesraan dan saling mencari alternatif untuk melonjakkan pembayaran zakat atau mengagihkannya.

2. Silang maklumat dan pandangan

Dalam program penyerahan sumbangan zakat, imej syarikat dan usaha pembayaran zakat yang dibuat akan dikongsi bersama. Pihak pengurusan zakat pula biasanya akan memaparkan agihan-agihan yang telah dan akan dilaksanakan tanpa terlalu kaku dengan laporan yang statik dan bisu.

3. Mencari alternatif daripada isu semasa

Program penyerahan cek bersama agensi lazimnya membuahkan saranan-saranan membina daripada kedua-dua belah pihak untuk ditambah baik.

Bagaimana program dilaksanakan?

Program dimulai dengan ucapan penghargaan daripada institusi zakat atas kehadiran perwakilan untuk pembayaran zakat dan perkongsian maklumat agihan semasa diikuti laporan-laporan terkini.

Pihak pembayar diberi peluang dan ruang untuk berkongsi kedudukan semasa perniagaan mereka termasuk apa-apa cadangan khususnya kerjasama berkaitan ekonomi, sosial kemasyarakatan dan bagaimana memperkasakan asnaf.

Pembayaran zakat
TENAGA Nasional Berhad turut menyerahkan cek zakat perniagaan ketika Majlis Persembahan Cek Zakat Perniagaan Tenaga Nasional Berhad bagi tahun 2019 berjumlah RM3,394,826.41 di Kelantan.

Lazimnya, program berlangsung dalam tempoh setengah jam atau lebih jika ada taklimat daripada mana-mana pihak khususnya institusi kewangan seperti perkongsian produk atau khidmat terbaharu mereka.

Keperluan memanggil wartawan dan jurugambar penting agar berita program berkenaan dapat dikongsi dan dipaparkan bukan hanya dalam media agensi pengurusan zakat, tetapi juga media arus perdana.

Kebiasaannya, agensi zakat turut memaparkan nama-nama syarikat yang terlibat secara langsung dalam menjalankan aktiviti perniagaan dan yang telah membuat pembayaran zakat melalui laman web bagi menunjukkan tanggungjawab sosial dan keagamaan yang telah ditunaikan.

Penutup program diakhiri dengan doa untuk kesejahteraan semua pihak terutama pembayar zakat dengan harapan gandaan keuntungan perniagaan mereka sentiasa dirahmati ALLAH SWT, seterusnya berikhtiar membayar zakat seperti yang telah diinstitusikan.

Penyerahan zakat melalui program sebegini sangat berasas dan perlu kerana boleh menjadi contoh kepada pihak lain. Dalam hadis Riwayat Muslim menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa mencontohkan dalam Islam suatu contoh yang baik, maka ia akan mendapat pahalanya dan pahala orang yang melakukannya setelahnya, tanpa berkurang sesuatu apa pun dari pahala mereka. Sesiapa yang mencontohkan dalam Islam suatu contoh yang buruk, maka ia menanggung dosanya dan dosa orang yang mengerjakannya setelah dia, tanpa berkurang sesuatu pun dari dosa-dosa mereka.” (Riwayat Muslim)

Dalam konteks Malaysia, program penyerahan secara cek cura ini sesuai dengan budaya ketimuran dan tidak mencarik syarak. Teruskan!

***Artikel ditulis oleh Ustaz Ridhwan Abdul Rahman yang merupakan Pegawai Zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)

Foto: Ihsan MAIK

About Nurulfatiha

Biodata Penulis