SEMUA sedia maklum dengan tugas ketua keluarga yang begitu besar digalas oleh kaum Adam. Namun, tanggungjawab dipukul mereka bukanlah semata-mata mencari nafkah buat keluarga.

Malah, golongan lelaki juga berkewajipan memimpin keluarganya bukan sahaja di dunia ini, tetapi juga hingga ke syurga. Figura sebagai ketua keluarga juga menjadikan mereka sebagai contoh teladan terdekat buat anak dan isteri.

Ketahuilah bahawa ayah yang bertanggungjawab dan memainkan peranannya dengan baik mampu membina keluarga yang bahagia hingga ke jannah.

Berkongsi ilmu tentang rahsia kekuatan rumah tangga khas untuk ayah atau bakal bapa, Pengasas Ar-Rahman Qur’anic Learning Islamic Center dari Indonesia, Ustaz KH Bactiar Nasir menghuraikan tiga nasihat ’emas’ yang diambil daripada ulama tersohor.

Butiran itu diungkapkan beliau menerusi rakaman video bertajuk Risalah Untuk Ayah yang dikirimkan kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Ayah berwibawa
DIDIK anak dengan mengutamakan ilmu akhirat dan pada masa sama, menyeimbangkannya dengan keperluan duniawi.

Jom ikuti perkongsian agamawan ini:

1. Perbaiki hubungan kita dengan ALLAH

Jika kita sentiasa berusaha memperbaiki hubungan dengan YANG MAHA ESA, sedar atau tidak, tindakan berkenaan akan memudahkan sesiapa sahaja terutama si ayah untuk menentukan hala tuju keluarga.

Sekiranya si ayah menunjukkan emosi dan perbuatan yang baik dan mulia, ia secara tidak langsung akan membuatkan isi keluarga kagum dan tertarik dengan transisi yang dibawa.

Dengan sendirinya juga, energi ketelusan akan datang dari dalam diri. Tidak terhenti setakat di situ sahaja, Malaikat Sakinah atau ketenangan akan bekerja untuk kita dalam memperbaiki hubungan kita dengan ALLAH SWT.

2. Ubah sisi dalam ayah, nescaya ALLAH SWT akan mengubah sisi luar mereka

Para ayah tidak perlu sibuk untuk memperbaiki sisi luar dahulu dengan melakukan pelbagai ‘gimik’. Usaha itu sebenarnya akan menyebabkan ia kelihatan pelik di hadapan anak.

Perbaiki dahulu sisi dalam diri kerana ia sudah tentu dapat mencetus energi kebaikan untuk isteri dan anak melalui mawaddah atau rasa cinta kepada YANG MAHA ESA.

Iklan

Orang di sekeliling juga akan mendapat tempias positif.

3. Utamakan kepentingan akhirat

Ajak dan pimpinlah keluarga berorientasikan akhirat. Ia sangat signifikan lantaran ayah tidak akan penat memenuhi kepentingan dunia anak secara keterlaluan. Suami juga tidak lelah melayan tekanan kehendak duniawi si isteri.

Dalam pada itu, Ustaz KH Bactiar yang juga penulis buku Masuk Syurga Sekeluarga turut mengingatkan kaum Adam agar tidak berputus asa untuk menjadi seorang ayah yang berjuang membawa keluarga untuk ‘menembusi’ syurga ALLAH.

Iklan

“Jangan jadi ayah gagal yang tidak berwibawa memimpin keluarga. Jadilah ‘ayahku, sumber inspirasiku’ buat anak-anak dalam membina legasi ummah bertauhid sebagaimana dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Yaakub AS,” nasihat beliau.

Penulis: Fouziah Amir