TIDAK boleh makan dan minum. Itulah pengertian puasa yang difahami oleh segelintir kanak-kanak. Apabila menginjak usia remaja dan dewasa, barulah masing-masing faham tentang erti puasa yang sebenar.

Ya, kita berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan bukan kerana menahan lapar dan dahaga. Banyak perkara yang perlu kita ‘tahan diri’ antaranya daripada berkata-kata sesuatu yang buruk, menjaga pandangan dan sebagainya.

Ia bukan sekadar melaksanakan kewajipan yang diperintahkan oleh ALLAH SWT. Makna puasa itu sebenarnya lebih luas skopnya.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas kaum-kaum terdahulu sebelum kamu, mudah-mudahan kamu memperoleh ketakwaan.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Bersyukurlah kita berpeluang dipertemukan sekali lagi dengan bulan Ramadan pada tahun ini. Sesungguhnya, Ramadan al-Mubarak ini adalah bulan yang penuh dengan limpahan rahmat daripada ALLAH SWT berbanding dengan bulan-bulan lain.

Perintah berpuasa selama sebulan sebenarnya bertujuan untuk melahirkan manusia yang beriman dan bertakwa kepada-NYA.

Rasulullah SAW bersabda: “Segala amal kebajikan anak Adam itu dilipat gandakan pahalanya kepada 10 hinggalah 700 kali ganda. ALLAH berfirman: ‘Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu adalah untuk-KU dan AKU memberikan balasan (pahala) kepadanya, disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makan minumnya kerana AKU’.” (Riwayat Muslim)

Iklan

Jelas bahawa ganjaran ibadah puasa bukan calang-calang. Bayangkan, begitu besar nilainya yang ALLAH SWT sediakan untuk hamba-NYA.

Namun begitu, ketahuilah bahawa martabat puasa kita di sisi ALLAH adalah berbeza mengikut tahap dan keupayaan masing-masing.

Iklan

Dalam kitab Ihya’ ‘Ulumuddin, Imam Ghazali membahagikan puasa kepada tiga tahap:

1. Puasa al-Umum
- Inilah puasa bagi orang awam yang sekadar meninggalkan makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa.

2. Puasa al-Khusus
- Puasa yang menuntut pelakunya menahan penglihatan, pendengaran, lidah, kaki, tangan dan seluruh anggota daripada melakukan dosa.

3. Puasa Khusus al-Khusus
- Iaitu mereka yang menepati kriteria dua tahap puasa yang disebutkan di atas dan ditambah pula dengan puasa hati iaitu membersihkan dirinya daripada segala perkara-perkara yang berhubung kait dengan dunia.
- Ia adalah puasa para nabi, siddiqin dan juga muqarrabin.

Dalam tiga tahap ini, kita tergolong dalam kumpulan yang mana? Jawapannya hanya ada pada diri kita sendiri.

Jom sama-sama kita perbaiki diri mana yang kurang. Mudah-mudahan puasa kita bukan sekadar mendapat lapar dan dahaga sahaja.

Semoga puasa kita diterima oleh ALLAH dan diberikan ganjaran sebagai saham di akhirat kelak.

(Sumber: Facebook Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan)

Foto: Pexels