TERLALU banyak nikmat yang kita kecapi pada hari ini. Semua datangnya daripada ALLAH SWT. Jika dikira, memang tidak terhitung jumlahnya.

Masakan tidak, ia sudah bermula dari saat kita masih lagi dalam perut ibu hinggalah pada hari ini, esok dan mendatang.

Terasa betapa kerdilnya diri ini andai semua nikmat berkenaan tidak disyukuri. Sebagai hamba yang bersyukur, sepatutnya kita menterjemahkan rasa itu dengan melakukan apa sahaja yang diperintahkan oleh ALLAH SWT dan meninggalkan larangan-NYA.

Perbuatan itu juga sebenarnya memudahkan laluan untuk kita mendapatkan rahmat ALLAH SWT yang MAHA LUAS.

Siapa yang tidak mahu meraih rahmat iaitu kasih sayang ALLAH. Itu merupakan bonus untuk kita melangkah ke syurga miliknya di akhirat kelak.

Namun, tidak cukup jika sekadar bercakap sahaja untuk meraih rahmat dan reda ALLAH, tetapi tidak ditunjukkan melalui perbuatan.

Bagaimanakah caranya untuk kita meraih rahmat ALLAH SWT ini?

Menjawab persoalan itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, perkara itu ada disebutkan dalam beberapa hadis masyhur.

Beliau turut menyenaraikan 4 amalan mudah untuk mendapat rahmat daripada ALLAH SWT iaitu:

1. Menjaga tutur kata

Rahmat ALLAH

Lidah sememangnya tidak bertulang. Namun begitu, bait-bait ayat yang terkeluar daripadanya begitu ‘tajam’ sehingga boleh menghiris hati orang lain jika tidak kena caranya.

Rasulullah SAW bersabda: “Semoga ALLAH merahmati seseorang yang apabila dia bercakap, dia beruntung (ucapannya mendatangkan manfaat) dan apabila dia diam, dia selamat.” (Riwayat al-Baihaqi)

2. Menyantuni wanita

Rahmat ALLAH

Meskipun perbuatan ini ramai yang menganggap sebagai remeh, tetapi ia antara perilaku yang mendatangkan rahmat ALLAH SWT.

Perkara itu ada disebutkan dalam sebuah hadis masyhur yang mana seorang wanita telah datang untuk menemui Nabi Muhammad SAW.

Ketika itu, baginda SAW dikelilingi sesak oleh para sahabat. Lalu, seorang lelaki memberi ruang kepada wanita tersebut.

Melihatkan insiden itu, Rasulullah SAW bertanya: “Apakah engkau mengenali wanita tersebut?”

Iklan

Lelaki tersebut menjawab tidak.

Lalu, Rasulullah SAW bersabda: “Maka kerana engkau menyantuni wanita tersebut, ALLAH merahmati engkau. Rasulullah mengulangi perkataan itu tiga kali.” (Riwayat al-Tabarani)

3. Mempermudahkan urusan jual beli

Rahmat ALLAH

Rasulullah SAW memuji orang beriman yang mempermudahkan urusan jual beli. Ketika berjual beli, mereka mempunyai sikap timbang rasa dalam diri.

Iklan

Sabda baginda SAW: “Mudah-mudahan ALLAH merahmati seorang lelaki yang ketika dia berniaga, dia bermurah hati dan ketika dia membeli, dia bermurah hati.” (Riwayat al-Bukhari)

4. Rahmat ALLAH buat penjaga sunah nabi

Ketahuilah, Rasulullah SAW turut mendoakan kerahmatan buat mereka yang sentiasa menghafal dan memelihara sunah baginda.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Maka rahmat ALLAH buat mereka yang mendengar kata-kataku pada hari ini dan kemudian dia menjaganya (menghafalnya dan memeliharanya).” (Riwayat al-Darimi)

Sesungguhnya, empat amalan itu nampak mudah. Ia boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita.

Ayuh sama-sama kita lakukannya. Semoga ALLAH SWT mengurniakan rahmat-NYA yang begitu luas dan reda-NYA kepada kita.

Sumber: Facebook Dr Ahmad Sanusi

Foto: Freepik