SEKILAS pandang, Farisha Helmi (bukan nama sebenar) punya kehidupan yang bagus. Wanita itu mempunyai kerjaya yang bukan calang-calang di sebuah syarikat swasta. Bergaji besar, mempunyai rumah dan kereta sendiri pada usia 28 tahun memang sudah cukup gah.

Namun begitu, wanita bujang itu seringkali merasakan wangnya selalu tidak mencukupi. Walhal dia hanya menampung perbelanjaannya sendiri. Sepanjang bekerja selama lima tahun, boleh dibilang hanya berapa kali dia memberikan belanja kepada kedua ibu bapanya. Ya, dia begitu berkira meskipun dengan orang tuanya sendiri.

Bukannya dia tak percaya bahawa rezeki itu akan semakin bertambah apabila berkongsi dengan orang. Apatah lagi dengan ibu bapa yang telah bersusah payah membesarkannya selama ini. Akan tetapi, Farisha merasakan bahawa duit itu begitu berharga dan terasa sayang untuk diberikan kepada orang lain. Baginya, lebih elok dia menyimpan wang itu daripada membelanjakannya untuk perkara yang bukan-bukan.

Begitulah sikap manusia. Walaupun hanya segelintir yang bersikap sedemikian, tetapi kebanyakan masyarakat melihat bahawa rezeki hanyalah dalam bentuk wang atau harta benda. Akibatnya, apabila tidak memperolehnya walaupun sudah bertungkus lumus bekerja, kita mudah merungut.

Walaupun rata-rata meyakini rezeki itu datang daripada ALLAH, ironinya kita tetap mengeluh tentangnya. Ya, secara fitrahnya manusia memang sukakan kebendaan.

Pun demikian, ketahuilah bahawa rezeki kurniaan ALLAH datang dalam pelbagai bentuk, bukan sekadar wang atau harta benda. Ia boleh ditambah atas keizinan-NYA dan tidak mustahil hilang sekelip mata.

Bagaimanakah keadaan itu boleh berlaku? Apakah maksud rezeki menurut Islam?

Jangan lupakan nikmat

Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah berkata, perkataan rezeki berasal daripada kalimah Arab iaitu al-Rizq yang merujuk kepada sesuatu pemberian yang diperoleh.

Amalan menambah atau menghalang rezeki
DARI kiri, Ustazah Sharifah Fadylawaty dan Ustaz Hassan Mahmud.

Terdapat beberapa kalimah lain dalam al-Quran yang merujuk kepada konsep rezeki merangkumi kalimah al-Fadl (keistimewaan), al-Ni’mah (kesenangan hidup atau kebaikan dalam agama), al-Mataa’ (sesuatu yang menyenangkan jiwa), al-Khoir (kebaikan), al-Maal (harta), al-Rahmat (kasih sayang) dan al-Kanz (harta simpanan).

“Secara ringkasnya, makna rezeki meliputi dua maksud iaitu pemberian dan satu lagi pula disebut sebagai apa-apa yang dimanfaatkan manusia sama ada makanan, pakaian dan sebagainya,” katanya menerusi e-mel kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Rezeki merangkumi makna yang cukup luas. Ia meliputi harta benda, makanan, minuman, kesihatan, tempat tinggal, pasangan dan anak-anak yang baik, kenderaan, jiran yang menyenangkan hati dan sebagainya.

Jelas ahli akademik itu, selain itu, rezeki juga diberikan ALLAH dalam bentuk kecerdikan akal, ilmu pengetahuan dan ketenangan fikiran.

“Justeru, berusahalah untuk memupuk dan menyemai kasih sayang sesama ahli keluarga agar kebahagiaan sentiasa menjadi milik kita. Letakkan matlamat akhirat dan sentiasa berdoa agar nikmat itu berkekalan selamanya.

“Sebagaimana kita bahagia hidup bersama di dunia, mudah-mudahan ALLAH mentakdirkan kita bersatu semula dengan ahli keluarga kita di akhirat sana, insya-ALLAH,” katanya.

Begitupun, Ustazah Sharifah Fadylawaty turut mengingatkan tentang sikap manusia yang seringkali melupakan dua nikmat atau rezeki yang dikurniakan ALLAH iaitu nikmat sihat dan masa lapang.

Ramai juga mungkin tidak menyedari bahawa pada saat ALLAH SWT menghadirkan rasa tenang dalam jiwa meskipun diuji dengan pelbagai cubaan dan musibah dalam hidup, itu juga merupakan rezeki.

“Jiwa yang tenang akan sentiasa sabar, reda, pasrah dan bertawakal dalam mengharungi kehidupan,” ungkapnya.

Iklan

Bersyukur menambah rezeki

Sementara itu, pendakwah, Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz berkata, kita perlu menerima hakikat bahawa setiap rezeki seseorang itu diukur melalui apa yang dikerjakannya.

Amalan menambah atau menghalang rezeki
KELUARGA yang bahagia dan sejahtera juga merupakan rezeki kurniaan ALLAH SWT.

Ujar beliau, ALLAH boleh memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA tidak kiralah sama ada orang itu beriman atau tidak.

“Ia disebabkan ALLAH itu bersifat al-Rahman (Pemurah). Barang siapa yang rajin bekerja, dia akan mendapat duit dan rezeki walaupun bukan Islam.

“Namun, al-Rahim (Penyayang) pula rezeki ALLAH yang diberikan khas kepada orang yang beriman. Misalnya, rezeki menjadi orang Islam, patuh dan taat kepada ALLAH,” katanya baru-baru ini.

Iklan

Dalam pada itu, agamawan itu mengingatkan bahawa ALLAH boleh menarik semula rezeki yang dikurniakan-NYA pada bila-bila masa berdasarkan keadaan manusia berkenaan.

“Ingatlah bahawa ALLAH menjanjikan nikmat sekiranya kita bersyukur. Kalau orang yang bersifat sombong dan takabbur, kadangkala ALLAH tarik semula rezekinya sama ada menjadi papa kedana atau dalam bentuk lain seperti kesihatan, penyakit misalnya Covid-19, gempa bumi dan sebagainya,” katanya.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya AKU akan tambah nikmat-KU kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-KU amatlah pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Justeru, apakah amalan yang boleh menambah atau menghalang rezeki seseorang?

Ustaz Hassan Mahmud menerangkan, terdapat lima perkara yang perlu dititikberatkan dalam hal itu.

Pertama, sebagai orang Islam, carilah rezeki yang halal. Kedua adalah taufik iaitu seandainya kita berhajat untuk menjadi senang, belajar dan bekerjalah untuk mendapatkannya. Namun begitu, perlu diingat bahawa belum tentu apa yang kita impikan itu adalah sama dengan kehendak ALLAH SWT.

“Seterusnya, perlunya bersikap qanaah iaitu jangan melampau. Jika diberikan kekayaan, janganlah kita ‘makan’ seorang diri dan biarkan orang lain terlantar miskin.

“Keempat pula melibatkan saadah iaitu hidup bahagia dan selasa apabila kita dapat rezeki. Seandainya kita ada rezeki, tetapi tak selesa, maknanya ALLAH tidak reda. Akhirnya, bercita-citalah supaya kita masuk ke dalam syurga,” nasihat beliau.