MEREKA sudah berada di puncak kekayaan. Harta yang dimiliki juga melimpah-ruah. Bahkan, ada antara mereka sudah bergelar bilionair. Individu yang dimaksudkan ialah Iskander Makhmudov, Azim Premji, Sulaiman Al Rajhi, Imran Khan dan Malala Yousafzai.

Begitupun, kesemua tokoh Islam itu tidak pernah mendongak ke langit, berjoli sakan apalagi menikmati harta bersendirian, seperti yang dilaporkan oleh portal berpengaruh Indonesia, Republika dan Forbes.

Latar belakang mereka adalah tidak sama. Setiap daripada hartawan itu memiliki cerita dan konstitusi kehidupan berbeza-beza. Ada dalam kalangan mereka dilahirkan dalam keluarga yang kaya, namun kebanyakannya datang daripada keluarga yang sederhana.

Terdapat satu perkara yang membezakan lima tokoh Islam itu berbanding dengan jutawan lain. Tidak lain tidak bukan pastinya didikan daripada ahli keluarga yang sentiasa mengingatkan dan menanamkan iktikad kepercayaan bahawa berkongsi harta kekayaan bakal menjamin tempat di syurga.

Seperti kata pengasas Bank Al Rahji, Sulaiman Al Rajhi: “Satu pelaburan yang sangat bermakna dan berguna pada saya kelak adalah pelaburan yang dapat menyelamatkan saya di akhirat kelak.”

Kepada India Today, seorang lagi bilionair terkemuka dari India, Azim Premji pula berkata: “Saya sangat percaya bahawa kita yang mempunyai hak istimewa untuk memiliki kekayaan, harus memberi sumbangan yang besar untuk mencuba dan mencipta dunia yang lebih baik bagi berjuta-juta orang yang kurang mendapat hak istimewa.”

Sesungguhnya, mencari manusia yang mahu berbahagikan kekayaan yang dimiliki tidak mudah dan manifestasi kerendahan hati yang mereka tunjukkan sangat menyentuh perasaan. Ikuti perjalanan kisah lima konglomerat Islam yang memiliki jiwa sosial yang tinggi.

1. Iskander Makhmudov

Jutawan Muslim
ISKANDER (kiri) disebut-sebut sebagai bilionair yang budiman dan dermawan di Rusia.

Bilionair berusia 57 tahun itu dilaporkan mempunyai nilai aset bersih sebanyak AS$9.2 bilion (RM37 bilion). Malah, majalah Forbes menamakannya sebagai orang ke-205 terkaya dunia pada tahun ini.

Beliau merupakan pemilik utama pengedar tembaga Uralskaya Gorno-Metallurgicheskay Kompaniya (UGMK Holdings) yang menguasai kepentingan lebih daripada 300 syarikat di sembilan wilayah di Rusia.

Selain itu, beliau memiliki beberapa syarikat dalam industri perlombongan dan menjadi Presiden di Ural Mining and Metallurgical Company (UMMC).

Iskander berasal daripada keluarga etnik Muslim Uzbekistan di Bukhara juga merupakan pemegang saham di Transmashholding, pembuat lokomotif dan peralatan rel terbesar di Rusia.

Bukan sahaja popular dengan kekayaannya, Iskander juga begitu terkemuka dengan sikap dermawannya. Menurut Forbes, nama beliau sentiasa disebut-sebut sebagai seorang dermawan yang berhati mulia.

Buktinya, sepanjang sedekad lalu, Iskander telah menyumbang lebih AS$1 bilion (RM4.05 bilion). Demikian menurut laporan yang disiarkan dalam richestrussian.com. Semuanya diberikan kepada badan amal selain memberikan rawatan kesihatan percuma kepada anak-anak pekerjanya.

Memetik artikel yang disiarkan menerusi makhmudoviskander.wordpress.com pula, sekitar tahun 2013, Iskander dilaporkan pernah menyumbang lebih AS$1 bilion (RM4.05 bilion) untuk tujuan sosial, sivik dan dermawan sejak tahun 2001.

Bahkan, ketika tempoh pembangunan semula Rusia dan liberalisasi ekonomi, laporan berkenaan turut menyebut, Iskander membantu transisi peralihan negara ke pasaran bebas, kapitalis dan menghasilkan kemakmuran ekonomi.

2. Azim Premji

Jutawan Muslim
AZIM PREMJI (kanan) tidak pernah lelah membantu badan amal yang berusaha untuk memberikan khidmat mereka kepada insan-insan yang susah.

Bagi rakyat India, nama lelaki itu tidak asing lagi. Masakan tidak, beliau ialah taikun teknologi di negara berkenaan.

Bekas Pengerusi Eksekutif Wipro Limited itu merupakan penyumber luar keempat terbesar di India dengan pendapatan AS$8.2 bilion (RM33 bilion) hingga Ahad lalu sebagaimana dipetik menerusi laporan www.forbes.com.

Bahkan, nama Azim yang kekal sebagai pengarah bukan eksekutif Wipro Limited itu turut disenaraikan sebagai individu ke-15 terkaya di India dan berada kedudukan ke-253 bilionair dunia oleh Forbes.

Menelusuri salasilahnya, Azim, 75, dilahirkan di Bombay, India dalam keluarga Muslim Gujarati. Siapa sangka di sebalik kekayaannya itu, ada kisah sedih yang pernah dilalui oleh beliau.

Pemilik nama penuh Azim Hasham Premji itu pernah meninggalkan pengajiannya di Universiti Stanford di Amerika Syarikat gara-gara kematian bapanya secara tiba-tiba pada tahun 1966. Beliau kemudian menerajui perniagaan keluarganya yang menjadi pengeluar minyak masak hidrogenasi.

Beliau yang terkenal dengan jolokan Maharaja Industri Teknologi Maklumat India itu kemudian berjaya mengembangkan perniagaan itu menjadi syarikat perisian terkemuka pada masa kini.

Namun, kemewahan itu membuatkan dirinya menjadi bilionair yang begitu dermawan. Buktinya, Forbes.com melaporkan, Azim telah memberikan lebih AS$21 bilion (RM85 bilion) kepada yayasan amal untuk kerja-kerja amal.

Pada April lalu, Azim menerusi Azim Premji Foundation telah memberi bantuan sejumlah AS$134 juta (RM542 juta) kepada mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Namun begitu, beliau dilihat sebagai seorang yang amat merendah diri. Akui beliau, inisiatif filantropi (kedermawanan) adalah tugas yang agak rumit berbanding dengan menjalankan perniagaan.

“Kejayaan kami dalam perniagaan telah mengajar kami dalam banyak hal.

“Begitupun, kami belajar dan akan menyumbang, tetapi memerlukan banyak kesabaran dan kerendahan hati berbanding dalam perniagaan,” katanya dipetik menerusi portal business-standard.com.

Pada tahun 2019, Azim juga melakar sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai dermawan Asia paling murah hati. Masakan tidak, forbesindia.com melaporkan, Azim memberikan saham bernilai AS$7.6 bilion (RM31 bilion) di firma teknologi Wipro kepada Yayasan Azim Premji.

3. Sulaiman Al Rajhi

Jutawan Muslim
SULAIMAN AL RAJHI (kanan) sanggup miskin buat kali ketiga walaupun dirinya dilimpahi kekayaan dan kemewahan.

Nama beliau tidak perlu diperkenalkan lagi kerana mempunyai rangkaian perbankan Islam terawal di dunia iaitu Bank Al Rajhi. Sulaiman yang juga pengasas bersama Bank Al Rajhi dilaporkan oleh Forbes mempunyai nilai aset berjumlah AS$2.1 bilion pada tahun 2015.

Sekitar tahun 2013, laman web itu melaporkan bahawa Sulaiman telah memindahkan 20 peratus daripada sahamnya di Bank Al Rajhi ke sebuah dana amal atas namanya.

Langkah itu dilakukannya selepas beliau membuat pengumuman pada tahun 2011 untuk menyumbangkan sebahagian besar kekayaannya untuk aktiviti amal, membiayai usaha antikelaparan dan pendidikan di Arab Saudi.

Pada tahun sama juga, Sulaiman, 92, membuat kejutan apabila beliau memilih untuk menjadi miskin semula buat kali ketiga. Apa tidaknya, bapa kepada 26 anak itu memindahkan kekayaannya kepada semua anaknya.

Menurut laporan Islamtics.com, beliau telah memberi dua pertiga daripada semua kekayaannya dan hanya satu pertiga untuk keluarganya.

Walaupun dirinya diulit kemewahan, namun Sulaiman tidak malu, bahkan sudah jatuh miskin sebanyak tiga kali dalam hidupnya.

“Ya, saya sekarang sehelai sepinggang. Setahu saya, ini bukanlah suatu yang pelik. Keadaan kewangan saya pernah dua kali jatuh ke angka kosong. Jadi, saya mempunyai pemahaman (mengenai kemiskinan) yang baik.

“Namun, perasaan itu sekarang telah digantikan dengan kebahagiaan dan ketenangan. Fasa sifar (tiada wang) dalam hidup kali ini adalah keputusan dan pilihan saya sendiri,” ujarnya sebagaimana dipetik menerusi portal Arab News.

(Artikel berkaitan: Mulia sungguh hati hartawan ini. Hidup dilimpahi kekayaan, tapi Sulaiman Al Rajhi rela infak semua wang dalam bank hingga ‘jatuh miskin’)

4. Imran Khan

Jutawan Muslim
IMRAN KHAN (kanan) merupakan pemimpin berkaliber dan tidak mengesampingkan golongan yang memerlukan bantuan.

Perdana Menteri Pakistan sejak tahun 2018 ini turut diisytiharkan sebagai Man of the Year pada tahun ini oleh The Muslim 500 yang sinonim dengan penyenaraian 500 individu Muslim paling berpengaruh saban tahun.

Menelusuri historiografinya, sebelum ini, beliau ialah pemain kriket selama 20 tahun sebelum bersara pada tahun 1992. Imran Khan juga pernah menjadi kapten pasukan kriket nasional Pakistan.

Memetik laporan networthpost.org, anak kelahiran Lahore, Punjab yang berfahaman Ahli Sunah Waljamaah itu dianggarkan mempunyai nilai aset sejumlah AS$50 juta (RM202 juta) pada pertengahan tahun 2016.

Bahkan, Imran Khan juga terkenal dengan sikapnya yang dermawan dan membantu dalam banyak projek yang memberikan manfaat kepada masyarakat meskipun beliau pada ketika itu merupakan orang biasa sahaja.

Memetik artikel themuslim500.com, Imran Khan misalnya pernah memulakan projek mengumpul dana untuk hospital kanser selepas ibunya meninggal dunia pada tahun 1985 akibat barah. Akhirnya, dana tadi cukup untuk membangunkan Shaukat Khanum Memorial Cancer Hospital dan pusat penyelidikan di Lahore pada tahun 1994.

Bukan itu sahaja, beliau juga terlibat dalam projek pembinaan Universiti Namal yang memberikan bantuan kepada lebih 90 peratus pelajarnya.

Pada tahun 2015, beliau mengumpulkan AS$25 (RM101 juta) juta untuk membina dan mendirikan hospital baharu di Peshawar.

5. Malala Yousafzai

Jutawan Muslim
MALALA (kanan) bersama keluarga yang menjadi tulang belakang kepadanya.

Nama Malala Yousafzai pasti tidak asing lagi dalam bidang pendidikan kerana beliau merupakan aktivis pendidikan dan wanita.

Bahkan, keberanian beliau mempertahankan hak dan isu berkaitan kaum Hawa dan pendidikan itu memberikan kredit kepada Malala, 23, untuk menerima hadiah Nobel Keamanan termuda atas usahanya dalam pendidikan dan hak-hak perempuan pada usianya 17 tahun.

Menyelak kembali kisah silamnya, ia agak tragis untuk dikenang oleh seorang budak seusianya. Bayangkan pada usianya 15 tahun, anak muda itu pernah ditembak di kepala oleh seorang lelaki bersenjata yang dipercayai daripada puakTaliban.

Semuanya gara-gara suaranya yang lantang mempertahankan hak pendidikan yang telah dinafikan oleh Taliban. Beliau dengan lantang mempertahankan haknya dan hak semua wanita untuk mendapatkan pendidikan biarpun ketika itu usianya baru sahaja 11 tahun.

Namun, ALLAH MAHA BERKUASA. Hayat Malala yang berasal dari keluarga Muslim (Ahli Sunah Waljamaah) etnik Pashtun mampu bertahan sehingga kini walaupun lukanya agak parah dan mengambil masa untuk sembuh.

Selain itu, figura berkenaan juga merupakan antara seorang yang kaya. Namun, sesaat pun beliau tidak pernah melupakan golongan yang memerlukannya untuk menerima bantuan.

Menurut laporan reuters.com sekitar tahun 2016, Malala dan keluarganya menjadi jutawan dalam masa kurang empat tahun kerana berjaya menjual buku mengenai kehidupannya dan penampilannya sebagai penceramah di peringkat global.

Laporan berkenaan turut menyebut, memoir nukilannya, I Am Mala yang diterbitkan pada tahun 2013 telah ratusan ribu terjual dengan nilai keseluruhan AS$3 juta (RM12 juta) di seluruh dunia.

Dikhabarkan, beliau telah menyumbangkan sejumlah besar pendapatan yang diperoleh kepada organisasi amal yang memfokuskan kepada pendidikan.

Bagi dirinya, tiada sesiapa pun yang mampu menghalang kematian. Justeru, beliau akan terus mempertahankan apa yang dirasakan perlu.

“Perasaaan saya (untuk berjuang) tidak ada yang dapat menghentikan kematian tidak kisahlah sama ada daripada Taliban atau orang lain. Jadi saya harus lakukan apa sahaja yang saya mahu,” katanya sebagaimana dipetik menerusi myhero.com ketika memperjuangkan hak pendidikan dan wanita waima dirinya diancam.

Sesungghnya, begitu besar perjuangan mereka untuk menyisihkan sebahagian harta dan keringat mereka untuk insan miskin dan fakir.

Semoga kisah mereka memberi inspirasi dan menjentik semangat kepada kita untuk terus menjadi individu yang pemurah untuk membantu sesiapa sahaja yang mendambakan pertolongan.

Bakhil undang kemurkaan ALLAH, tak dapat doa malaikat

Pendakwah Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad menjelaskan, orang yang bakhil sering kali akan merasakan kesempitan di dunia.

DA’I FUAD

“Orang yang hidup dalam keadaan kedekut itu sebenarnya tidak akan merasai nikmat kebebasan dalam memberi (berkongsi rezeki). Sedangkan itu adalah makna hidup yang paling besar,” katanya ketika diwawancara secara maya baru-baru ini.

Semua itu disebutkan dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Takutlah kamu daripada melakukan perbuatan zalim kerana sesungguhnya kezaliman akan membawa kegelapan pada hari kiamat dan takutlah kamu bersifat bakhil kerana sesungguhnya perbuatan tersebut membinasakan umat-umat sebelum kamu.” (Riwayat Muslim)

Seperkara lagi, Da’i Fuad mengingatkan kita tentang natijah apabila bersifat bakhil. Sikap itu katanya akan mengundang kemurkaan ALLAH SWT dan tidak mendapat doa daripada para malaikat.

“Ketahuilah, doa para malaikat sering kali diberikan kepada orang yang melakukan infak dan sedekah. Namun, orang yang sangat kedekut pula akan terlepas daripada kurniaan dan pemberian daripada ALLAH SWT,” jelas beliau.

(Artikel berkaitan: Hidup kat dunia jangan kedekut sangat, malaikat doakan kecelakaan pada golongan ini…ingat tu)

Justeru, beliau menitipkan pesanan kepada umat Islam agar menjauhi sifat tercela itu yang jelas disebutkan dalam al-Quran menerusi ayat 180, Surah Ali ‘Imran.

“Ingatlah bahawa mereka yang kedekut ini telah melakukan dosa kepada ALLAH SWT, selain masyarakat kerana terlalu mencintai hartanya.

“Namun, ia bukanlah bermaksud kita langsung tidak boleh merancang kewangan, tetapi janganlah terlalu kedekut dalam hidupnya ataupun terlalu banyak sangat sedekah atau infaknya sehinggakan tidak boleh meneruskan kelangsungan hidup,” jelasnya.

Bagi mengikis diri daripada bersikap kedekut, Da’i Fuad turut berkongsi tip. Antaranya melakukan sedekah secara berjadual iaitu dengan merancang infak dalam akaun masing-masing.

“Satu lagi, pandanglah orang yang banyak bersedekah bagi mendapatkan inspirasi daripada mereka. Kita sememangnya banyak belajar daripada memandang dan melihat orang lain. Apa kata, cuba cara ini sebagai alternatif untuk bersedekah,” katanya mengakhiri perkongsian ilmunya.

Sumber & Foto Republika.co.id, Forbes.com, en.wikipedia.org, richestrussian.com, makhmudoviskander.wordpress.com, iskander-makhmudov.com, britanicca.com, business-standard.com, forbesindia.com, forbesmiddleeast.com, Arab News, Facebook Imran Khan Official, thetimes.co.uk, reuters.com, myhero.com, biography.com, reuters.com, networthpost.org & Islamtics.com