WANITA sering dimomokkan dengan kata-kata bahawa mereka insan yang lemah dan tidak berdaya.

Walhal sejak zaman peradaban Islam lagi, kaum Hawa sudah memikul tanggungjawab besar dan memainkan peranan signifikan dalam banyak bidang.

Tidak kiralah dalam bidang pendidikan, kebudayaaan, politik ataupun sosial, mereka sudah diberi mandat dan kepercayaan untuk menguruskan segala macam hal.

Bercerita tentang topik ini, terdapat beberapa nama wanita yang signifikan dalam dunia Islam yang masih tidak ramai tahu lagi.

Barangkali inilah masanya kita masing-masing mencelikkan mata dan membuka telinga untuk mengenali tokoh-tokoh wanita agama yang telah menyumbang kepada kemajuan manusia sehingga ke hari ini.

Sewajarnya mereka diiktiraf dan dibukukan dalam lembaran sejarah di peringkat sekolah termasuk universiti. Kalau sudah ada, perhebat dan perkembangkan lagi intisarinya.

Justeru, pada artikel kali ini, SinarPlus senaraikan tokoh wanita Islam dan sumbangan mereka kepada masyarakat untuk sama-sama kita hargai dan kenang buat selama-lamanya.

1.  Sayyida al-Hurra

Mengikut sejarah, beliau dilahirkan di Granada, Sepanyol yang ketika itu kerajaannya dipimpin oleh pemerintah beragama Islam.

Selepas kejatuhan empayar Islam ekoran penaklukan Kristian Sepanyol pada tahun 1492, Sayyida sekeluarga telah berhijrah ke Morocco (Magribi).

Beliau berkahwin dan menetap di kota Tetouan, Utara Morocco.

Sayyida kemudian menjadi pemerintah kota tersebut selepas kematian suaminya sekitar tahun 1515.

Mengikut sejarah, wanita itu seorang yang bijak dalam menguruskan perihal kapal dagang dari negara Sepanyol dan Portugal.

Selang beberapa tahun, beliau mendirikan rumah tangga dengan Raja Morocco pula.

Selepas 30 tahun pemerintahan, beliau dikatakan telah digulingkan oleh salah seorang daripada ahli keluarganya sendiri. Sayangnya!


2. Al-Malika al-Hurra Arwa al-Sulayhi

Dilahirkan pada tahun 1048, Al-Malika yang telah dipelihara oleh bapa dan ibu saudaranya yang merupakan pemerintah negara Yemen setelah kematian kedua orang tuanya.

Pada usia 17 tahun, beliau telah berkahwin dengan seorang putera raja dan telah diangkat sebagai ratu setelah bapa dan ibu saudaranya meninggal dunia.

Beliau diberikan gelaran ‘Ratu Kecil Sheba’ atas kebijaksanaan mentadbir dan meningkatkan tahap ekonomi negara, selain membina sekolah bagi memberi peluang pembelajaran kepada rakyat.

 


3. Lubna

Sekitar abad ke-10, Lubna dilahirkan di Cordoba, Sepanyol.

Beliau telah dijadikan sebagai hamba memandangkan ketika itu aktiviti pemerdagangan manusia adalah satu kebiasaan. Kalau nak tahu, tengok filem Tiga Abdul! 🙂

Biarpun latar belakangnya sebagai hamba, beliau seorang yang pintar dan menjadi salah seorang pejuang sastera ketika zaman pemerintahan kerajaan Andalusia.

Memiliki kemahiran menulis dan membaca, Lubna telah menyandang jawatan sebagai setiausaha kepada Putera Abd Al-Rahman Hakam II Ibn Abdur-Rahman yang merupakan seorang khalifah pada ketika itu.

Iklan

Kehebatannya bukan sekadar dalam bidang sastera semata-mata, bahkan turut bijak menguasai ilmu matematik dan tulisan kaligrafi.

Wanita itu juga dipertanggungjawabkan menjaga pengurusan perpustakaan Istana Andalusia yang ketika itu memiliki sekitar 500,000 buah buku.

4. Nusaybah Ka’ab

Nusaybah terkenal dengan keberaniannya di medan peperangan dan mahir dalam menggunakan senjata.

Jasanya yang paling diingati adalah ketika berlakunya Perang Uhud (625 Masihi) apabila beliau diamanahkan untuk melindungi Nabi Muhammad SAW daripada ancaman musuh.

Beliau menjadikan tubuhnya sebagai ‘perisai’ untuk melindungi Rasulullah daripada terkena panahan anak panah dan tombak.

Isteri kepada Zaid Asim itu dikatakan tidak sedarkan diri selepas terkena serangan ke-12.

Biarpun dalam keadaannya yang masih sakit baru saja sedar, soalan pertama dilontarkan ialah: “Adakah Nabi masih hidup?”.

Iklan


5. Fatima Abi al-Qasim Abdul Rahman

Nama Fatima sangat terkenal sekitar abad ke-12 dan 13 kerana kebijaksanaannya dalam bidang perundangan, kehakiman, tasawuf dan ilmu sains.

Beliau mempelajari kemahiran menghafal pelbagai jenis buku ilmiah dan al-Quran daripada bapanya, Abu Abdullah al-Madwari yang ketika itu merupakan seorang ilmuan hebat.

Wanita itu juga merupakan ibu kepada Abu al-Qasim al-Taylasan iaitu seorang ulama terkenal di Andalusia.

 

Wah! Hebatkan kemampuan dan kemahiran wanita di zaman dahulu! Ia secara secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada pembangunan pada hari ini.

Diharapkan barisan wanita ini dapat menjadi inspirasi buat kita semua agar tidak mengalah dalam mengejar ilmu dunia dan akhirat.

Nota: Semoga rakyat Palestin diberikan kekuatan dalam mendepani kekejaman tentera Israel yang menyerang wilayah mereka sejak akhir Ramadan lalu. Amin.