BERCAKAP soal rezeki, ramai yang risau. Mana tidaknya, kita takut kepada ‘ketidakcukupan’. Sedangkan ALLAH sudah menjanjikan tiap makhluk dijadikan di muka bumi ini sudah ditentukan rezeki dan ajal mautnya.

Dalam kita memahami pengertian rezeki yang berkat, kita tidak boleh membataskan rezeki itu hanya pada wang ringgit. Akan tetapi, ia meliputi kesihatan, ilmu, sahabat, masa lapang, idea dan pelbagai lagi sehinggakan kemampuan melaksanakan amal ibadah juga merupakan rezeki.

Bila kita dapat memahami makna rezeki yang berkat secara tidak langsung kita sudah menambahkan rezeki dengan meluaskan pengertian rezeki itu sendiri. Jika seseorang mendapat gaji yang besar tetapi tidak merasai cukup kerana terlalu banyak perkara yang perlu dibayar dan merasai sentiasa tak cukup.

Sedangkan ada setengah orang berpendapatan sederhana, tetapi mencukupi menyara isteri dan anak-anak, mampu membeli rumah, kereta dan mampu membiayai pengajian anak-anaknya ke universiti. Ini adalah petanda rezeki yang berkat.

Usahlah kita terlalu khuatir hingga takut bergerak menongkah kehidupan. Rezeki bukan hanya berbentuk harta benda. Semaklah 7 tanda rezeki diberkati ALLAH ini. Jika ada bersyukurlah, itu juga rezeki:

1) Rasa sentiasa cukup walaupun gaji kecil

Kita akan sentiasa rasa cukup dengan apa yang kita ada. Dan kadang-kadang tu kita rasa macam lebih daripada cukup. Ini adalah salah satu petandanya sebab orang yang dapat rezeki tanpa keberkatan akan rasa sentiasa dalam kekurangan dan tidak puas dengan apa yang dia ada. Contohnya bila dapat duit, duit tu rasa sekejap saja habis. tapi kalau duit tu ada keberkatan, boleh cukup belanja sebulan dan boleh sampai tahap cukup buat simpanan.

2) Keluarga stabil dan bahagia

Bila perilaku atau keadaan dalam keluarga dilihat stabil atau bahagia, ia boleh dikatakan yang rezeki keluarga itu ada keberkatan. Punca permasalahan dalam keluarga kadang-kadang boleh dilihat kembali pada akarnya, iaitu punca mendapatkan nafkah keluarga. Bila bercampur harta halal dan haram seperti rasuah maka wang tersebut sentiasa rasa tak cukup.

3) Mudah solat dan beribadah

Apabila kita terasa mudah untuk menjaga solat dan juga melakukan amal ibadah yang lain, maka bolehlah dikatakan yang rezeki yang kita peroleh itu diberkati. Rezeki yang diperoleh boleh melakukan ibadah umrah atau haji. Boleh jadi kenapa sebahagian daripada kita susah sangat nak solat sebab rezeki kita tak diberkati.

4) Orang sukakan kehadiran kita

Lagi satu lagi kesan positif bila rezeki kita diberkati ialah bila orang sekeliling kita suka dekat kita atau senang dengan kehadiran kita. Perkara seperti ini boleh dilihat bila kita bersama rakan-rakan atau ahli keluarga yang lain. Kehadiran kita memberi manfaat kepada orang lain dan tidak menyusahkan.

5) Anak-anak cemerlang dalam pelajaran

Seterusnya ialah apabila anak-anak cemerlang dalam pelajarannya. Sebab itu pentingnya mencari rezeki yang halal yang diberkati sebab duit yang kita guna buat beli makanan dan barang-barang untuk anak-anak sebenarnya ada kesannya.

Iklan

6) Orang, tetamu rajin ziarah

Kalau rumah kita orang rajin ziarah, itu maknanya rezeki kita ada keberkatan. Kedatangan tetamu sebenarnya membawa rezeki dan keberkatan di dalam rumah tangga kita.

7) Doa senang termakbul

Dan yang terakhir sekali bila doa kita senang termakbul. Sebab Nabi SAW pernah bersabda doa yang tak dimakbulkan antara sebabnya adalah kerana makan dari rezeki yang haram.

Maka itulah petanda rezeki orang yang mempunyai keberkatan. Tapi kita sering terlupa yang rezeki ada bermacam jenis, bukan sekadar tertumpu pada harta semata.

Iklan
Usah terlalu risau soal rezeki kerana semua diatur olehNYA.

Dalam apa pun yang kita dapat di dunia ini, semua tu tak lain tak bukan adalah rezeki dari ALLAH SWT kurniakan. seperti yang terdapat didalam ayat al-Quran, surah At-Talaq ayat 2-3:

“Barang siapa yang bertakwa kepada ALLAH, maka ALLAH akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan. dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan barang siapa yang bertawakal kepada ALLAH, nescaya ALLAH mencukupkan keperluannya”

Setiap pekerjaan yang dilakukan oleh manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup di dunia merupakan ibadat iaitu selagi ia dilakukan dengan niat yang baik dan tidak melanggar hukum-Nya. Rezeki yang berkat adalah rezeki yang dicari dengan titik peluh sendiri, bukan dengan cara menunggu pemberian daripada orang lain seperti meminta sedekah, derma dan sebagainya padahal tubuh badan masih lagi kuat dan sihat. Hal ini amat dilarang keras oleh Islam kerana ia merupakan perbuatan yang memalukan dan menghinakan.

Kredit: www.zakatpahang.my/