70,000 malaikat mendoakan kita bila lakukan amalan ini

Ketahuilah, Islam menganjurkan umatnya supaya melakukan beberapa amalan supaya hutang tadi boleh dilangsaikan. Malah, ada doa khusus supaya urusan pembayaran hutang kita dipermudahkan.
July 5, 2020
Oleh Nurulfatiha

HATI manalah yang tak seronok kalau dirinya sentiasa didoakan oleh orang lain. Maklum sajalah, bukan senang orang nak ingat pada kita dan mendoakan kita.

Paling tidak pun, kedua ibu bapa, ahli keluarga dan kenalan rapat yang mungkin sentiasa menitipkan doa buat kita.

Cuba bayangkan kalau malaikat yang mendoakan kita. Alangkah bertuahnya diri ini jika itulah realitinya.

Pastinya nak dapatkan doa malaikat bukan sesuatu yang mudah. Mesti banyak amal lain yang kita perlu buat.

Ya, memang ramai yang beranggapan begitu. Tapi sebenarnya ada satu amalan yang sangat terpuji boleh kita lakukan untuk mendapat doa daripada malaikat ini.

Demikian perkongsian oleh pendakwah Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang dalam sebuah video yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Menurut beliau, amalan yang dimaksudkan adalah menziarahi orang sakit.

Pendakwah itu turut mengemukakan hadis yang menyokong kepada fakta berkenaan.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menziarahi saudaranya yang sakit di pagi hari, ada 70,000 malaikat yang mendoakannya untuk mendapat rahmat sehingga ke petangnya. Dan sekiranya dia menziarahinya pada waktu petang, maka 70,000 malaikat itu akan mendoakannya untuk mendapat rahmat ALLAH di malam hari hingga ke Subuh esok.” (Riwayat al-Tirmidzi dan Ahmad)

Dalam sebuah hadis qudsi, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya ALLAH SWT di hari kiamat: "Wahai Anak Adam, AKU sakit akan tetapi kamu tidak menziarahi AKU.

Iklan

Berkata (anak Adam): “Wahai Tuhan bagaimana mungkin aku menziarahi ENGKAU padahal ENGKAU adalah Tuhan sekalian alam?

ALLAH SWT berfirman: “Apakah kamu tidak ketahui bahawa seorang hamba-KU si fulan telah sakit, tetapi engkau tidak menziarahinya. Apakah engkau tidak mengetahui bahawa jika engkau menziarahinya akan engkau dapati AKU di sisinya?” (Riwayat Muslim)

Amalan didoakan malaikat
ZIARAHILAH orang sakit jika diberikan kesempatan berbuat demikian dan berdoa agar diberikan kesembuhan kepadanya.

Menjelaskan maksud hadis qudsi berkenaan, ujar Ustaz Syed Mohd Norhisyam, tatkala kita menziarahi orang sakit, ALLAH SWT menurunkan rahmat dan barakah-NYA di tempat orang yang sedang sakit tersebut.

"Bila kita pergi ziarah orang sakit, kita akan dengar (orang sebut nama) ALLAH, ya ALLAH. Bila kita ziarah orang sakit, (ia) akan mengingatkan kita kepada ALLAH SWT. Rahmat ALLAH di sisi orang sakit itu," jelas beliau.

Pendakwah itu turut berkongsi kisah benar yang berlaku kepada sahabat perjuangan dakwahnya, Ustaz Hanafiah Abd Malek yang pernah diuji dengan kanser suatu masa dulu.

Iklan

"Dalam satu slot saya bersama dengan Ustaz Hanafiah Abd Malek, beliau berkongsi antara amalan bila dia confirm sakit kanser.

"Beliau pergi ziarah orang sakit kanser lebih teruk daripadanya. Bila ada orang tanya 'ustaz pun sakit juga, kenapa datang ziarah?', Ustaz Hanafi jawab; 'saya dengar ada hadis yang mendoakan kita yang ziarah. Jadi, saya nak mendapat doa malaikat. Sebab itulah saya ziarah orang yang sakit ni'," kongsinya.

Seperkara lagi, kita kena faham bahawa menziarahi orang sakit merupakan antara hak yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam dan mendoakan mereka.

Para ahli ulama telah menggariskan beberapa adab untuk diikuti ketika menziarahi orang yang sedang sakit. Antaranya adalah:

- Memilih waktu yang sesuai untuk melakukan ziarah.
- Tidak mengambil tempoh masa yang lama ketika ziarah.
- Menundukkan pandangan pada perkara-perkara yang diharamkan.
- Tidak banyak bertanya atau bercakap.
- Menzahirkan kebimbangan dan keprihatinan terhadap orang yang sakit.
- Sentiasa mendoakan yang baik-baik kepada pesakit.

Bagaimanapun, ketika semua masih bergelut dengan pandemik Covid-19 kini, barangkali tuntutan ini tidak dapat ditunaikan.

Namun usahlah bersedih, sebaliknya berdoalah agar saudara seagama kita yang sakit agar diberi kesembuhan.

Pada masa sama, panjatkanlah doa semoga wabak Covid-19 segera berakhir agar kita dapat menjalani rutin biasa sebelum ini.

Sumber: Facebook Ustaz Syed Mohd Norhisyam al-Idrus dan Irsyad Hadith Siri ke-334: Malaikat Mengaminkan Doa kepada Orang Sakit, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

About Nurulfatiha

Biodata Penulis