ESOK merupakan hari Jumaat ketiga selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

Meskipun solat Jumaat ditiadakan sepanjang tempoh itu untuk memutuskan rantaian penularan wabak koronavirus (Covid-19) dan digantikan dengan solat Zuhur, namun ketahuilah ada banyak amalan lain yang kita boleh lakukan.

Lebih manis lagi, apabila ia dilaksanakan bersama keluarga yang tersayang. Kan seronok apabila ia dapat dilakukan secara berjemaah.

Jom kita lihat apakah amalan berkenaan:

1. Membaca Surah al-Kahfi

Ia boleh dilakukan pada malam Jumaat dan hari Jumaat. Banyak kelebihan apabila kita membacanya.

Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang membaca Surah al-Kahfi pada malam Jumaat, dia akan disinari cahaya antara dia dan Kaabah.” (Riwayat al-Darimi)

Dalam sebuah lagi hadis, baginda SAW bersabda: “Barang siapa yang membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat.” (Riwayat al-Baihaqi)

Amalan yang boleh dilakukan pada hari Jumaat
BACALAH Surah al-Kahfi, al-Sajadah dan al-Insan pada hari Jumaat.

2. Membaca Surah al-Sajadah dan Surah al-Insan

Dianjurkan untuk kita membacanya ketika solat Subuh pada hari Jumaat.

Ia sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA. Beliau berkata: “Nabi Muhammad SAW biasa membaca pada solat Subuh pada hari Jumaat ‘Alam Tanzil…’ (Surah al-Sajadah) pada rakaat pertama dan ‘Hal ataa ‘alal insani hinum minad dahri lam yakun syai-am madzkuro’ (Surah al-Insan) pada rakaat kedua.” (Riwayat Muslim)

3. Bersihkan diri pada hari Jumaat

Amalan yang boleh dilakukan pada hari Jumaat
MEMOTONG kuku antara amalan lazim yang sering kita lakukan terutama pada hari Jumaat.

Masyarakat kita begitu sinonim dengan perkara ini. Antara perkara lazim yang sering kita lakukan adalah memotong kuku.

Imam Nawawi menyatakan: “Imam Syafie dan para ulama Mazhab Syafi’iyyah menegaskan, dianjurkan memotong kuku dan mencukur rambut-rambut di badan (kumis dan bulu kemaluan) pada hari Jumaat.” (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 1:287)

Bagaimanapun, dalam perihal memotong kuku, tiada hari-hari tertentu ditetapkan dengan kaifiat tertentu. Ini kerana tiada nas yang jelas tentang perkara itu menurut pandangan Imam al-Sakhawi dan selainnya.

4. Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW

Amalan yang boleh dilakukan pada hari Jumaat
SENTIASA basahkan lidah dengan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Sebenarnya, kita juga digalakkan untuk berselawat pada hari lain. Tidak semestinya pada hari Jumaat.

Selawat yang kita baca tadi akan dibentangkan di hadapan Nabi Muhammad pada setiap hari Jumaat.

Rasulullah SAW bersabda: “Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barang siapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam Syurga).” (Riwayat al-Baihaqi)

5. Lakukan solat duha

Solat ini antara ibadah yang disunatkan untuk kita melakukannya. Tidak kiralah sama ada hari Jumaat atau hari lain.

Alangkah indahnya jika kita dapat menunaikan solat duha bersama-sama orang tersayang.

Sabda Rasulullah SAW: “Pada pagi hari, setiap ruas tulang salah seorang di antara kalian itu ada sedekahnya. Maka, setiap tasbih (ucapan Subhanallah) adalah sedekah, setiap tahmid (ucapan Alhamdulillah) adalah sedekah, setiap tahlil (ucapan Lailaha illallah) adalah sedekah, setiap takbir (ucapan Allahu akbar) adalah sedekah), memerintahkan kepada kebaikan adalah sedekah, melarang daripada kemungkaran adalah sedekah dan yang mencukupkan daripada semua itu adalah dua rakaat solat duha.” (Riwayat Muslim)

Iklan
Amalan yang boleh dilakukan pada hari Jumaat
JADIKAN solat sunat sebagai rutin jika kita mampu berbuat demikian.

6. Lakukan sunat sunat qabliah dan ba’diah Zuhur

Sebelum menunaikan solat Zuhur, bolehlah kita dahulukan dengan solat sunat qabliah. Usai solat fardu Zuhur, sudahinya dengan solat sunat ba’diah.

Bahkan, perkara itu seringkali dilazimi oleh Rasulullah SAW.

Daripada Aisyah RA, beliau menyatakan: “Nabi Muhammad SAW biasa melakukan solat qabliah Zuhur empat rakaat di rumahnya. Kemudian baginda keluar, lalu solat mengimami orang-orang, lalu masuk ke rumahku, kemudian melakukan solat dua rakaat ba’diah…” (Riwayat Muslim)

7. Berdoa pada hari Jumaat

Amalan yang boleh dilakukan pada hari Jumaat
BERDOALAH memohon kepada ALLAH agar kita diberikan keampunan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

ALLAH SWT telah meletakkan satu tempoh istimewa pada hari Jumaat iaitu setiap permintaan hamba-hamba-NYA akan dikabulkan pada waktu tersebut.

Rasulullah SAW bersabda: “Pada hari Jumaat ini ada satu masa yang sekiranya ditepati oleh seorang Muslim dalam keadaan dia bersolat meminta sesuatu daripada ALLAH SWT, pasti ALLAH SWT akan memperkenankan permintaanya itu”. (Riwayat al-Bukhari)

Waktu mustajab berdoa pada hari Jumaat, para ulama berbeza pandangan mengenainya.

Iklan

Namun begitu, sebahagian ulama cenderung bahawa waktu yang mustajab pada hari Jumaat adalah selepas Asar hinggalah terbenamnya matahari. Ini kerana banyak dalil yang menjurus ke arah itu. Bahkan, para sahabat dan salaf menunjukkan bahawa mereka mementingkan waktu tersebut sepertimana yang dilakukan oleh Said bin Jubair RA.

8. Peruntukan waktu untuk beribadah pada hari Jumaat

Semua sedia maklum Jumaat ialah hari mulia dan ada keistimewaan tersendiri berbanding dengan hari-hari yang lain. Justeru, luangkan sedikit masa kita untuk melakukan amal ibadah.

Walaupun tak boleh ke masjid atau surau, namun kita masih boleh berbuat pahala di rumah.

Jom kita sama-sama amalkan. Jika tak dapat buat semua, lakukanlah mana-mana amalan yang kita mampu sahaja dan istiqamahlah.

(Sumber: Rumaysho.com, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & Ustaz Mustafar Mohd Suki)