SEMUA orang maklum bahawa doa ialah senjata bagi orang Mukmin. Disebabkan itulah ramai yang tidak pernah gagal berdoa saban hari.

Paling tidak pun, selepas menunaikan solat fardu, ramai yang sanggup meluangkan sedikit masa untuk bersunyi-sunyian dan berdoa kepada ALLAH SWT.

Lazimnya, butir doa yang dipanjatkan sudah pastilah melibatkan kebaikan untuk diri, keluarga, orang lain dan juga agama. Jarang sekali kita mahu mendoakan keburukan kecuali jika diri dianiaya.

Kadangkala kita berulang kali mengungkapkan doa yang sama. Namun, entah mengapa ALLAH SWT masih belum mengabulkannya.

Walaupun tidak pernah jemu dan tetap terus berdoa memohon kepada ALLAH, namun dalam hati, terdetik rasa sedikit kecewa dan tertanya-tanya mengapa permintaan itu seolah-olah tidak didengari oleh-NYA.

Ketahuilah bahawa tiada doa yang sia-sia diungkapkan oleh seorang hamba, kata pendakwah Mohamad Wadi Annuar Ayub.

WADI ANNUAR

Beliau yang sinonim dengan panggilan Ustaz Wadi Annuar menjelaskan, mana-mana orang Islam di dunia yang berdoa, ALLAH SWT pasti tidak akan menolaknya.

Ia sebagaimana disebutkan menerusi firman-NYA: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu…” (Surah Ghafir, ayat 60)

“Demikianlah janji Tuhan. Ia bukan macam janji ahli politik. Janji ALLAH, mustahil akan dimungkiri.

“Bila Tuhan berfirman sedemikian, kita pelik pula mengapa kadang-kadang apa yang kita minta (selama ini) tidak dapat pula,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan dalam Instagram jom_kuliah baru-baru ini.

Ujar beliau lagi, ada sebab tertentu kenapa doa tadi masih belum dimakbulkan.

Doa belum makbul

Iklan

Baca juga Jangan sombong, berdoalah hanya ALLAH SWT mampu memenuhi kehendak manusia

Beliau menambah, para ulama berkata, apabila kita meminta (berdoa), doa tadi boleh terus dimakbulkan atau ditangguhkan.

“Boleh jadi juga doa itu ditukarkan dengan permintaan yang lain.

“Satu lagi sebab ialah ALLAH SWT akan makbulkan di akhirat kelak, ganti dengan ganjaran di akhirat,” jelasnya mengakhiri perkongsian ilmunya.

Berdasarkan hujah berkenaan, jelaslah bahawa tiada doa yang sia-sia apabila kita benar-benar bersungguh-sungguh ketika meminta kepada ALLAH SWT.

Doa belum makbul

Iklan

Insya-ALLAH sampai masanya, ia akan dimakbulkan atau digantikan dengan sesuatu yang lebih baik.

Justeru, usah pernah berhenti berdoa pada setiap hari. Jangan lupa titipkan sekali doa agar wabak Covid-19 segera dinyahkan dari muka bumi ini.

Sumber: Instagram jom_kuliah

Foto: Freepik