SETIAP kali menjelangnya bulan Ramadan pasti topik fidyah puasa akan diperbincangkan.

Umum mengetahui bulan Ramadan merupakan bulan yang mewajibkan seluruh umat Islam untuk berpuasa.

Akan tetapi, terdapat golongan yang tidak dapat menyempurnakan ibadah tersebut.

Ketidakupayaan mereka untuk berpuasa mungkin disebabkan oleh masalah yang dihadapi seperti datang haid, uzur, wanita mengandung dan menyusukan anak.

Individu yang tidak berpuasa secara sengaja ataupun tidak hendaklah peka akan hukum membayar fidyah dan qada puasa.

Menurut Laman Pusat Pungutan Zakat (PPZ) fidyah puasa merupakan satu denda yang dikenakan ke atas individu yang melanggar hukum puasa dan wajib membayar fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

Kewajiban membayar fidyah ini bukanlah ditentukan oleh sesebuah pihak tapi ia ada dinyatakan di dalam al-Quran, Surah al-Baqarah ayat 184 yang bermaksud:

“Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.”

Menurut PPZ, berikut adalah golongan yang wajib untuk membayar fidyah:

1. Orang yang uzur

Uzur dalam konteks ini ialah uzur yang disebabkan oleh penyakit kronik yang tiada harapan untuk sembuh, orang tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali. Mereka hanya diwajibkan membayar fidyah tetapi tidak perlu qada puasanya.

Baca juga: Korek Telinga, Hidung Ketika Berpuasa, Hati-Hatilah Kerana Jika Silap Langkah Boleh Batal Puasa

2. Wanita hamil atau sedang menyusukan anak yang khuatir akan keselamatan kandungan jika berpuasa.

Tindakan golongan ini untuk meninggalkan puasa kerana bimbang akan keselamatan bayi yang dikandungnya mengalami masalah seperti keguguran. Mereka diwajibkan membayar fidyah puasa selepas berakhirnya Ramadan pada tahun yang sama serta menggantikan puasa yang ditinggalkan.

Akan tetapi, sekiranya mereka yang belum menggantikan puasa sehingga Ramadan tahun berikutnya, golongan ini akan dikenakan fidyah yang lain kerana lewat menggantikan puasa.

3. Wanita hamil atau sedang menyusukan anak yang khuatir akan keselamatan diri sendiri.

Keadaan ini mungkin berlaku kepada ibu hamil yang sedang mengalami alahan yang teruk. Mereka mungkin risau akan keselamatan diri sekiranya memilih untuk meneruskan puasa.

Buat golongan ini, puasa yang ditinggalkan wajib diganti dan sekiranya mereka tidak menggantikan puasa sehingga tibanya Ramadan tahun berikutnya, fidyah akan dikenakan kerana kelewatan menggantikan puasa.

4. Wanita yang mengalami haid.

Iklan

Situasi bagi wanita yang mengalami haid dan wajib membayar fidyah adalah wanita yang tidak sempat menggantikan puasanya sehingga tibanya Ramadan pada tahun berikutnya. Golongan ini diwajib untuk membayar fidyah dan qada puasanya.

5. Orang yang telah meninggal dunia.

Bagi mereka yang telah meninggal dunia, fidyah puasa boleh dibuat oleh waris-warisnya sekiranya bilangan hari tidak berpuasa diketahui sebelum pembahagian pusaka dibuat.

6. Individu yang sengaja meninggalkan puasa.

Tindakan golongan ini meninggalkan puasa tanpa sebab dan sengaja melambatkan proses menggantikan puasa sehingga telah tibanya Ramadan tahun berikutnya wajib untuk membayar fidyah dan qada puasanya.

Bayaran fidyah akan terus berganda mengikut jumlah tahun yang ditinggalkan.

Iklan

Harus diingatkan kepada orang ramai agar tidak mengambil mudah soal pembayaran fidyah puasa.

Sekiranya anda pernah meninggalkan puasa, didik diri untuk ketahui anda tergolong dalam kategori mana yang diwajibkan untuk membayar fidyah puasa.

Selamat berpuasa!

Baca juga: Ganjaran Besar Dan Berpanjangan Di Dunia Juga Di Akhirat Dengan Berwakaf Al-Quran. Berikut Fadilat-Fadilat Lain
Baca juga: Elak Berasa Lapar Ketika Berpuasa, Berikut Hidangan Yang Patut Diambil Untuk Kekal Bertenaga

Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI