PERASAN atau tidak, ada segelintir masyarakat gemar menyiram atau merenjis air ‘jampi’ pada kereta baharu yang dibeli mereka.

Tujuannya, konon untuk mengelak musibah seperti kecurian, kemalangan, kerosakan dan sebagainya.

Namun begitu, adakah perkara itu dibenarkan dalam Islam? Apakah hukumnya apabila kita berbuat demikian?

Dalam hal itu, merenjis air jampi pada kenderaan boleh diumpamakan dengan upacara tepung tawar ketika pernikahan.

Amalan itu dikatakan untuk menjauhkan sebarang musibah. Ya, ia masih diamalkan oleh masyarakat Melayu hingga ke hari ini kerana dianggap petua dan amalan nenek moyang.

Dari segi hukum, ia boleh dibahagikan kepada dua keadaan:

1. Jika amalan itu bertujuan meniru golongan bukan Islam, maka perbuatan itu diharamkan kerana ia punca kepada membudayakan budaya orang kafir.

  • Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” (Riwayat Abu Daud, Ahmad, al-Baihaqi dan al-Bazzar)
  • Justeru, apa sahaja tindakan yang hendak dilakukan, pastikan terlebih dahulu ia mempunyai unsur-unsur yang dibenarkan oleh syariat Islam dan tidak mempunyai unsur syirik kepada ALLAH SWT.

2. Sekiranya amalan merenjis atau menjirus air pada kenderaan dilakukan bagi memenuhi upacara pemujaan dan kepercayaan terhadap mitos bahawa amalan itu akan menghindarkan seseorang daripada segala malang seperti kemalangan atau kerosakan, ia juga diharamkan.

  • Ia disebabkan perbuatan dan iktikad tersebut mempunyai unsur kesyirikan kepada ALLAH SWT.
  • Firman ALLAH SWT: “Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah ALLAH. Sesungguhnya ALLAH tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila ALLAH menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa pun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-NYA itu, dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-NYA.” (Surah al-Ra’d, ayat 11)
  • Ketahuilah bahawa sebagai hamba kepada ALLAH SWT, kita perlu meminta dan memohon hanya kepada-NYA dan bukan selain daripada-NYA.
  • Cara permohonan yang terbaik adalah dengan solat dan berdoa kepada ALLAH SWT.

Andai kata kita membeli sama ada kenderaan atau rumah baharu atau mendapat sebarang bentuk nikmat, maka tunaikanlah solat dan berdoa kepada ALLAH SWT agar diberi keselamatan dan kesejahteraan dengan anugerah nikmat daripada ALLAH SWT itu.

Sesungguhnya, perbuatan sedemikian merupakan sunah dan amalan para salaf al-salih yang perlu kita contohi.

Iklan

Perbuatan sebegitulah yang menjadi sunah dan amalan para salaf al-Salih yang patut kita contohi.

Akan tetapi, sekiranya kita menyiram atau merenjis kenderaan yang disyaki terkena ain iaitu penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata yang disertai sifat iri atau rasa takjub terhadap apa yang dipandang, maka hukumnya adalah harus.

Ia sebagai ikhtiar kita kepada-NYA dengan syarat tidak berlebih-lebihan seumpama diadakan upacara khusus menepung tawar disertai dengan kenduri, bertahlil dan sebagainya.

Iklan

Sebaiknya, apa yang lebih afdal adalah disarankan untuk kita mengamalkan doa menaiki kenderaan secara istiqamah bagi menghilangkan sebarang bentuk gangguan, jin dan manusia serta memohon dijauhi segala musibah.

Berlindunglah dan bergantung haraplah kepada ALLAH SWT agar dielakkan segala musibah dan malapetaka.

(Sumber: Portal Soal Jawab Agama, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang)