SIAPA yang tidak mengenali ilmuan Islam hebat bernama Al-Biruni. Seantero dunia mengenalinya sebagai ‘watak’ paling signifikan dalam lipatan sejarah dalam dunia astronomi.

Meskipun jasadnya sudah tiada lagi di dunia, namun namanya diabadikan pada salah satu kawah di bulan oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa pada tahun 1970.

Al-Biruni atau nama penuhnya Abu Ar-Raihan Muhammad bin Ahmad Al-Khawarizmi Al-Biruni dilahirkan pada tahun 973 Masihi di Kath (kini dikenali sebagai Kiva) di Khwarizm, Uzbekistan.

Menjejaki salasilahnya, sebenarnya tidak banyak yang diperoleh meskipun namanya sangat gah diperkatakan.

Menerusi satu biografi yang diterbitkan, Al-Biruni sendiri mengakui bahawa beliau tidak begitu mengenali bapanya dan hanya sedikit pengetahuan tentang datuknya.

Namun begitu, apa yang pasti, beliau dibesarkan dalam keluarga yang taat beragama. Adat seorang ilmuan, Al-Biruni memang suka membaca dan menulis sejak kecil lagi.

Semasa usianya muda lagi, figura berkenaan sudah menimba ilmu matematik dan astronomi daripada Abu Nasir Mansur.

Maka, tidak hairanlah apabila memasuki usia 17 tahun, Al-Biruni sudah mampu menghitung garis lintang Kath Khwarizmi dengan menggunakan ketinggian matahari.

Kehebatannya itu turut diperakui oleh sarjana Barat, John J O’Connor dan Edmund F Robertson dalam MacTutor History of Mathematics.

Memetik kata-kata mereka: “Penglibatan penting dalam bidang geodesi dan geografi telah disumbangkan oleh Al-Biruni. Dia telah memperkenalkan teknik mengukur bumi dan jaraknya menggunakan triangulasi.”

Al-Biruni
ANTARA hasil penemuan Al-Biruni yang menyerlahkan sisi intelektual beliau sebagai ahli astronomi yang disegani.

Kembara ke India

Menginjak usia 20 tahun, Al-Biruni berjaya mengarang beberapa kitab dalam bidang sains. Beliau juga kerap bertukar pendapat dan pengalaman dengan ilmuan besar Muslim yang tersohor, Ibnu Sina dan beberapa tokoh lain yang begitu berpengaruh di Eropah.

(Artikel berkaitan: Kenali Ibnu Al-Syatir, ilmuan hebat cipta peralatan astronomi)

Menjadi resam seorang ilmuan untuk berkelana. Al-Biruni dikatakan memilih negara India untuk kembaranya. Sepanjang 13 tahun berada di sana, tokoh hebat itu banyak mengkaji selok-belok India sehinggakan mampu menghasilkan beberapa buah buku yang mempunyai hubungan dengan masyarakat India dan kebudayaan mereka.

Hasil pembacaan Sinar Islam, Al-Biruni banyak menghasilkan karya-karya hebat yang kebanyakan dalam bidang astronomi. Antaranya ialah kitab al-Qanun al-Mas’udi (1031 Masihi). Kitab itu berbentuk ensiklopedia yang mengandungi segala penemuan astronomi pada ketika itu dengan begitu terperinci.

Salah satu penemuannya yang popular adalah astrolobe iaitu salah satu instrumen untuk mengetahui kedudukan sesebuah planet. Beliau juga diperakui sebagai ahli astronomi yang menyatakan bumi berputar paksinya dan mempunyai graviti.

Meskipun namanya begitu agung dalam bidang astronomi, tetapi beliau juga menguasai beberapa cabang ilmu. Ia termasuklah bidang fizik, matematik, antropologi, kartografi, geografi, kedoktoran dan mineralogi.

Beliau juga begitu terkenal dengan peranannya yang memperkenalkan banyak kaedah saintifik dalam setiap bidang yang dipelajarinya.

Umpamanya, beliau bersama Ibnu Al-Haitham antara ilmuan pertama yang mengkaji dan mempelajari ilmu optik.

Selain itu, Al-Biruni juga merupakan ahli antropologi pertama di dunia dan menulis secara terperinci berkaitan kajian kompetitif antropologi manusia, agama dan budaya di Timur Tengah, Mediterranean serta Asia Selatan.

Al-Biruni
AL-BIRUNI terkenal dengan peranannya yang memperkenalkan banyak kaedah saintifik dalam setiap bidang yang dipelajarinya.

Ilmuan itu menghadap Ilahi pada usia 75 tahun di kota Ghazna, Afghanistan pada tahun 1048 Masihi.

PROFIL

Nama: Abu Ar-Raihan Muhammad bin Ahmad Al-Khawarizmi Al-Biruni

Iklan

Gelaran: Al-Biruni

Asal: Kath (Kiva) di Khwarizm (Uzbekistan)

Tahun kelahiran: 973 Masihi

Tahun kematian: 1048 Masihi

Kepakaran: Bidang astronomi, bidang fizik, matematik, antropologi, kartografi, geografi, kedoktoran dan mineralogi.

Karya agung: al-Qanun al-Mas’udi, al-Jawahir, Fi Tahqiq ma Li’l-Hid.

Iklan

Sumbangan:

1. Menjadi orang pertama kali mewujudkan teori pergerakan titik matahari yang terjauh dari bumi.

2. Mengarang buku-buku yang menjadi rujukan ahli-ahli astronomi sedunia.

3. Memberi sumbangan sognifikan bagi pengembangan matematik khususnya bidang teori dan praktik aritmatik, teori nisbah dan geometri.

4. Menentukan musim dan pasang surut air laut, kedudukan garis lintang dan garis bujur bumi serta mencipta kalendar dan jam.

Sumber & Foto: wattpadd.com, republika.co.id, muftimelaka.gov.mu & 4tokohilmuanmuslim.blogspot.com