BULAN Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan kerana pada bulan ini, adanya satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan.

Bukan itu sahaja, bulan mulia ini juga merupakan bulan yang berlakunya peristiwa penurunan al-Quran atau dikenali sebagai Nuzul al-Quran.

Peristiwa al-Quran diturunkan dari langit kepada Nabi Muhammad SAW, ada disebut di dalam Surah al-Isra’ ayat ke-105:

وَبِالْحَقِّ أَنزَلْنَاهُ وَبِالْحَقِّ نَزَلَ ۗ وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا مُبَشِّرًا وَنَذِيرًا
Yang bermaksud: Dan dengan cara yang sungguh layak serta berhikmah Kami turunkan al-Quran, dan dengan meliputi segala kebenaran ia diturunkan; dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai pembawa berita gembira (bagi orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar)

Walaubagaimanapun, terdapat kenyataan yang membahaskan bahawa al-Quran itu diturunkan secara berperingkat mahupun sekaligus adalah tidak salah. Hal ini kerana, kedua-duanya berlaku dalam keadaan serentak dan berperingkat.
Menurut Syeikh Abdul Azim al-Zarqani, terdapat tiga peringkat penurunan al-Quran, ini yang perlu diketahui:

Peringkat pertama
Al-Quran itu diturunkan secara sekaligus dan waktu ia diturunkan hanya diketahui oleh ALLAH SWT bahkan, ALLAH berfirman:

بَلْ هُوَ قُرْآنٌ مَّجِيدٌ ﴿٢١﴾ فِي لَوْحٍ مَّحْفُوظٍ
Yang bermaksud: (Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (21) (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Luh Mahfuz.

Baca juga: Utamakan Sedekah Pada Keluarga Dahulu, Berikut 10 Fadilat Melaksanakannya

Peringkat kedua
Peringkat kedua merupakan penurunan al-Quran dari Luh Mahfuz ke Bait al-Izzah dan penurunan ini juga ada disebut oleh ALLAH di dalam surah al-Baqarah ayat ke-185:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ
Yang bermaksud: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran.”

Menerusi ayat ini, para ulama bersetuju bahawa penurunan yang dimaksudkan oleh ALLAH SWT adalah daripada Luh Mahfuz ke langit dunia secara sekaligus pada malam lailatul qadar.

Peringkat ketiga
Setelah al-Quran diturunkan di langit dunia, ia kemudiannya diturunkan secara berperingkat kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril AS. Peristiwa ini ada disebut di dalam Surah al-Syu’ara ayat 193-195:

Iklan

نَزَلَ بِهِ الرُّوحُ الْأَمِينُ ﴿١٩٣﴾ عَلَىٰ قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ الْمُنذِرِينَ ﴿١٩٤﴾بِلِسَانٍ عَرَبِيٍّ مُّبِينٍ

Yang bermaksud: “Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah. (193) Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia). (194) (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata.”

Penurunan al-Quran melalui dua peringkat yang diturunkan secara sekaligus sebelum diturunkan secara berperingkat kepada Nabi Muhammad SAW.
Perkara ini tidak dapat disangkal lagi kerana ALLAH telah menyebut di dalam kitab suci al-Quran.
Semoga amal kebaikan yang dilakukan pada bulan Ramadan kali ini memberi keberkatan yang berpanjangan.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Iklan

Baca juga: Memburu Lailatul Qadar, 3 Amalan Rasulullah 10 Malam Terakhir Ramadan

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI