KADANGKALA hati terasa gundah dan jiwa pula terasa sesak memikirkan tentang kesalahan serta dosa yang pernah dilakukan sebelum ini.

Mengenangkan dosa yang menggunung tinggi menyebabkan diri terasa benar-benar kerdil di sisi-NYA.

Perasaan yang menghimpit itu kadangkala membuatkan seseorang itu berasa rendah diri hinggakan merasakan kita tidak layak mendapat keampunan ALLAH SWT apabila bertaubat.

Itu belum lagi cerita tentang tekanan dan mungkin kecaman yang diterima daripada masyarakat.

Segelintir daripada mereka memandang sinis dengan perubahan golongan itu, apatah lagi jika sememangnya individu berkenaan begitu terkenal sebagai pendosa.

Tidak layakkah orang yang banyak dosa untuk menerima keampunan ALLAH apalagi jika dia bertaubat dengan bersungguh-sungguh?

Bagi menjawab persoalan itu, pendakwah Datuk Ustaz Kazim Elias mengemukakan sebuah hadis masyhur.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya hamba, jika dia mengakui dosanya dan kemudian dia bertaubat, nescaya ALLAH SWT menerima taubatnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Mulla Ali al-Qari dalam Mirqat al-Mafatih (4/1616) menyebut: “Iaitu seseorang yang menyedari keadaan dirinya yang berdosa, kemudian dia bertaubat dengan memenuhi segala rukun dan syarat-syaratnya seperti menyesal, meninggalkan, berazam dan berusaha memperbaiki diri, maka ALLAH SWT akan menerima taubatnya berdasarkan firman-NYA: “Dan DIALAH Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hamba-NYA (yang bertaubat).” (Surah al-Syura, ayat 25)

Berdasarkan semua ungkapan berkenaan, dapat difahami bahawa ALLAH SWT akan menerima taubat seseorang sekalipun dirinya banyak melakukan dosa, terang Ustaz Kazim.

(Artikel berkaitan: Jangan lakukan 3 dosa ini, ALLAH bayar ‘cash’ di dunia lagi…)

“Biarpun dosa itu menggunung tinggi, ingatlah rahmat keampunan Tuhan melangit luas. Bertaubatlah sekarang, jangan lambat-lambat bertaubat. Tinggalkan dosa sekarang.

“Insya-ALLAH selamat dunia akhirat,” nasihat beliau sebagaimana dipetik menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Dosa

Bayangkan manusia sememangnya tidak lari daripada melakukan kesilapan dan dosa. Jika ia boleh dihitung pada setiap saat, masa dan hari, pasti tidak terkira jumlahnya walaupun hanya kesalahan kecil dan remeh.

Namun begitu, rahmat ALLAH itu seluas hamparan langit dan bumi.

Iklan

Ia sebagaimana kata-kata bernilai yang tersimpan kemas dalam ingatan penulis ketika menemu bual pendakwah Ustaz Bakhtiar Fitri Abdul Hamid hampir dua bulan lalu.

Kata beliau: “Walau sebanyak dan sebesar mana dosa yang dilakukan, janganlah berputus asa untuk memohon ampun kepada ALLAH. Lihatlah ke langit dan laut, betapa besarnya ciptaan ALLAH itu yang tiada pangkal dan akhirnya. Maka, lagi besarlah pengampunan ALLAH SWT. Usahlah kita merendah-rendahkan sifat ALLAH yang MAHA PENGAMPUN.

“Seperkara lagi, jangan pula kita mengambil kesempatan dengan sifat ALLAH al-Ghaffar (MAHA PENGAMPUN). Usahlah sewenang-wenangnya berbuat dosa. Sebaliknya, berusahalah untuk berubah dan menjauhkan diri daripada kejahatan.”

Semoga kita menjadi seorang hamba yang bersyukur dan jauh daripada perkara yang boleh melalaikan kita daripada mengingati-NYA.

Iklan

Lagi satu, seandainya kita melihat kenalan kita berubah ke arah lebih baik, berilah sokongan kepada mereka.

Jangan sesekali mengkritik atau cuba merendah-rendahkan perubahan kebaikan yang dilakukan.

Sumber: Instagram datoustazkazim

Foto: Freepik