DUNIA bakal tiba ke garisan penamatnya pada suatu hari yang tarikh masih menjadi rahsia alam. Justeru, sebagai umat Islam, kita seharusnya sudah bersiap sedia menghadapinya.

Sebagai umat akhir zaman, sememangnya banyak ranjau yang perlu direntas. Semua itu untuk menguji kita supaya tidak tidak terus leka dibuai nikmat duniawi yang tidak seberapa ini.

Ketahuilah dunia ini hanya sementara, manakala akhirat adalah tempat tinggal kita selama-lamanya.

Sesungguhnya, banyak peristiwa akhir zaman yang diceritakan dalam al-Quran dan hadis-hadis masyhur. Banyak tanda-tanda kiamat sudah berlaku pada zaman sekarang. Ia berlaku secara terang-terangan, bezanya sama ada kita sedar atau sebaliknya.

(Artikel berkaitan: Bila padang pasir mulai subur, tanda kiamat semakin dekat? )

Pada era milenial yang sememangnya canggih ini, perangai manusia semakin pelik. Masakan tidak, ada di antara manusia sanggup melakukan perkara yang ternyata dilarang oleh agama secara terbuka. Bagi mereka, menjejaskan nama Islam, bukan satu dosa. Hal ini sememangnya sangat mengecewakan.

Benar, tiada siapa yang tahu apa akan terjadi pada masa depan kita. Itu semua adalah rahsia ALLAH SWT.

(Artikel berkaitan: Jangan sia-siakan umur yang dikurniakan ALLAH SWT, ini sebabnya kenapa)

Namun begitu, sebagai hamba-NYA, kita masih boleh berdoa dan meminta perlindungan-NYA agar dijauhi daripada segala bahaya dan fitnah akhir zaman.

Sebenarnya, ada lima cara untuk menghindari fitnah akhir zaman sebagaimana yang dikongsikan pendakwah Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub atau sinonim dengan panggilan Ustaz Wadi Annuar.

USTAZ WADI ANNUAR

Beliau menyarankan agar kita melazimkan Surah al-Kahfi pada setiap hari agar ALLAH melindungi kita dan keluarga masing-masing daripada fitnah berkenaan.

Caranya adalah seperti berikut:

1. Membaca penuh Surah al-Kahfi, ayat 1 hingga 110 pada setiap kali hari Jumaat.

Fitnah akhir zaman

2. Membaca ayat 1-10 Surah al-Kahfi pada setiap hari.

3. Membaca ayat 101-110 Surah al-Kahfi pada setiap hari.

4. Rasulullah SAW mengajarkan umatnya untuk membaca doa selepas tahiyat akhir (fil ‘alamin innaka hamidum majid), sebelum memberi salam.

Bahkan, baginda sering kali melazimkan doa berkenaan setiap kali menunaikan solat.

Doa itu berbunyi: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ (Allahumma inni a’uzubika min ‘azabi jahannam, wa min ‘azabil qabri, wa min fitnatil mahyaa wal mamaat, wa min syarri fitnatil masihid dajjal).

Ia membawa maksud: “Sesungguhnya kami berlindung kepada-MU daripada seksa neraka jahannam, daripada fitnah kubur, daripada fitnah kehidupan dan kematian, daripada fitnah al-Masih ad-Dajjal.”

Doa berkenaan boleh juga dibaca walaupun kita solat berjemaah sama ada oleh imam atau makmum sekalipun.

5. Baca 10 ayat terawal Surah al-Kahfi (ayat 1-10) dan 10 ayat terakhir (ayat 101-110) surah berkenaan pada waktu pagi dan petang setiap hari.

Apabila ingin mengamalkan surah berkenaan, Ustaz Wadi Annuar berpesan agar memulakannya dengan niat sebelum membacanya.

“Niat pertama, kita amalkan kerana mahu mengikut sunah Nabi Muhammad SAW.

“Kedua, ketika kita beramal ayat berkenaan pada waktu pagi dan petang, berniatlah ‘Ya ALLAH, peliharalah aku dan ahli keluargaku daripada fitnah yang begitu banyak di akhir zaman ini’,” jelas beliau.

Beliau menambah, ramai yang tidak tahu atau mungkin juga tidak sedar akan kelebihan apabila kita mengamalkan surah ke-18 dalam al-Quran.

“Allahu, rugi besar,” katanya.

Ayuh, sama-samalah kita amalkan bacaan surah itu supaya dijauhi daripada fitnah akhir zaman.

Sumber: TikTok @meraihredha

Foto: Freepik