LUMRAH seorang manusia sememangnya dikurniakan dengan pelbagai jenis emosi. Ia akan menyumbang kepada kelangsungan hidup dan cara kita mencorakkan kehidupan masing-masing.

Cuma, kita perlu bijak mengawal emosi agar diri kita tidak mudah didominasi oleh perasaan itu. Masakan tidak, seandainya emosi menguasai diri, sudah tentulah banyak perkara luar kawalan yang mungkin kita lakukan.

Disebabkan itulah ada segelintir orang yang gagal mengawal emosi hingga hilang pertimbangan diri.

Lebih memilukan, jika perasaan amarah mula bersemayam, akhirnya membuatkan kita bertindak di luar batas. Apatah lagi jika ia dilampiaskan kepada darah daging sendiri.

Demikianlah situasi yang berlaku apabila membabitkan kes penderaan kanak-kanak. Paling menyedihkan, apabila pelakunya merupakan individu yang sepatutnya menjadi pelindung kepada anak itu. Mereka ialah ibu bapanya sendiri.

Dalam hal itu, sebagai orang Islam yang sudah solat cukup lima waktu sehari semalam dan membaca al-Quran, adakalanya hilang pertimbangan diri hingga tergamak menyakiti anak.

Bagaimanakah cara untuk melawan perasaan itu agar kita tidak sampai menyakiti apatah lagi mendera anak-anak yang tidak berdosa? Apakah yang patut dilakukan untuk menangani isu ibu bapa mendera anak ini?

Sebelum merungkaikan jawapannya, Pensyarah Jabatan Siasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Sharifah Hayati Syed Ismail menjelaskan tentang maksud orang Islam.

DR SHARIFAH HAYATI

Ujar beliau, Muslim ialah orang yang mensejahterakan orang lain dengan lidahnya dan tangannya.

“Sementelah, penderaan pula ada pelbagai jenis iaitu penderaan tangan (fizikal), penderaan dengan kata-kata termasuk esmosi, seksual, pengabaian dan lain-lain.

Baca juga Begitu besarnya pahala mendidik anak-anak. Ibu bapa jangan mudah mengeluh, jaga amanah ALLAH dengan sebaiknya

Iklan

“Sebagai ibu bapa, kita tidak boleh menyalahkan anak meskipun mereka nakal atau lasak. Ingatlah bahawa anak-anak adalah amanah daripada ALLAH SWT,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan kita agar berpegang teguh kepada firman ALLAH SWT yang disebut menerusi kalam-NYA: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala)…” (Surah at-Tahrim, ayat 6)

Sakiti dan mendera anak
INGATLAH bahawa anak merupakan amanah ALLAH yang perlu dijaga dan diberi pendidikan dengan sebaik-baiknya.

“Hayati juga ayat 74, Surah al-Furqan dengan sebaiknya. ALLAH SWT memberikan gelaran orang Islam yang beriman itu ialah orang yang menjaga zuriat mereka.

“Ingatlah, apa sahaja didikan, ajaran dan percakapan kita nanti akhirnya aman menjadi warisan dan legasi kita kepada anak-anak. Mereka juga akan menggunakan pendekatan yang sama dalam mendidik anak-anak yang juga cucu dan bakal cicit kita,” katanya.

Beliau menambah, dalam al-Quran juga, perkataan walid (ibu bapa) disebut 100 kali lebih banyak berbanding ibnun (anak) yang berjumlah 35 kali.

Iklan

“Justeru, memang menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak dengan sebaik-baiknya,” tegas beliau.

Foto: Freepik