PERASAN atau tidak, sikap kanak-kanak kadangkala begitu mirip sekali dan saling tidak tumpah dengan ibu bapanya.

Masakan tidak, segala tindak-tanduk kita selama ini menjadi perhatian mereka. Sejak mereka kecil, semua tindakan kita diperhatikan dan dari situ mereka mencernakan maklumat dan sedikit sebanyak ia akan cuba ditiru oleh mereka.

Benarlah, anak itu ibarat kain putih dan kita sebagai ibu bapa yang mencorakkan mereka. Baik atau tidak baik sikap kanak-kanak itu sebenarnya ada perkaitannya dengan cara didikan kita.

Ya, barangkali kita beralasan tidak pernah bersikap negatif atau menunjukkan perilaku yang buruk di hadapan anak-anak. Namun, entah kenapa kadangkala dirasakan anak itu begitu nakal.

Hendak kata faktor rakan di taska atau cara asuhan di rumah pengasuh, namun setelah diselidiki, ia bukanlah punca utamanya. Semacam ada faktor lain yang membuatkan anak kita nakal.

Ketahuilah, punca anak nakal tadi mungkin disebabkan oleh doa ibu bapa itu sendiri.

Demikian tegas pendakwah Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid sebagaimana disebutkan menerusi video yang dikongsikan dalam Instagram miliknya dan @cocombee baru-baru ini.

Anak nakal
JANGAN berkata sesuatu yang buruk kepada anak-anak. Ia dikhuatiri boleh menjadi doa kepada mereka.

Sebelum mengulas lebih lanjut, beliau mengajak kita menyelami bait-bait kalamullah ini.

Firman ALLAH SWT: “…Dan KAMI berikan kepadanya (Nabi Yahya) al-Hukma (hikmat kebijaksanaan) ketika dia masih kanak-kanak.” (Surah Maryam, ayat 12)

Jelas beliau, al-Hukma bermaksud kebijaksanaan, kefahaman dan kesedaran.

“Kebiasaannya, semasa kecil, kanak-kanak suka bermain. Namun, tidak kepada Nabi Yahya tatkala baginda AS masih kecil. Baginda tiada masa untuk bermain,” katanya.

Menyambung hujahnya, pendakwah itu berkongsi tentang kisah Nabi Yahya AS ketika masih kecil sebagaimana dipetik daripada Imam al-Tabari.

Imam al-Tabari meriwayatkan bahawa Nabi Yahya AS ketika masa kecil ada berjumpa budak-budak yang sebaya dengan umurnya. Mereka mengajak baginda untuk bermain.

“Begitupun, Nabi Yahya mengatakan: ‘Kita dicipta oleh ALLAH bukan untuk main’.

“Bayangkan budak kecil boleh bercakap dengan percakapan yang memiliki makna yang begitu dalam.

“(Baginda AS) Dijaga dan dipelihara oleh ALLAH SWT daripada kecilnya sesuai dengan permintaan orang tuanya yang meminta kepada ALLAH SWT supaya dikurniakan anak yang menjadi individu yang dapat membimbing ahli keluarganya atau kepada Bani Israel.

“Maka, sejak dari kecil lagi (Nabi Yahya) sudah boleh membimbing. Kita sudah melihat manfaat dan hidayahnya (hasil doa ibu bapa Nabi Yahya) sejak usianya masih kecil.

Iklan

(Artikel berkaitan: Jangan maki hamun anak-anak, kelak ia akan berbalik kepada kita)

“Lihatlah tutur kata baginda dan perbuatannya itu. Ini adalah keberkatan doa orang tua untuk anaknya dikabulkan oleh ALLAH SWT,” katanya.

Habib Ali Zaenal Abidin menambah, doa kedua ibu bapa untuk anak umpama doa nabi untuk umat.

“Maksudnya di sini adalah doa nabi itu mustajab. Demikian juga halnya doa orang tua untuk anak mereka juga mustajab,” jelas beliau.

Justeru, beliau menasihatkan ibu bapa agar tidak mendoakan perkara yang tidak baik kepada anak yang nakal.

“Jangan keluarkan langsung kata-kata tidak baik daripada orang tua.

“Dulu orang-orang tua kita kata ‘Jangan maki anak-anak, khuatir malaikat lalu, diaminkan oleh malaikat, jadilah anak itu macam mana dikata oleh orang tuanya’.

Iklan

“Ketahuilah, seorang anak itu kadang-kadang nakal disebabkan orang tuanya mendoakan (begitu). Anak kadang-kadang tak betul gara-gara orang tuanya yang mendoakan ketika dalam keadaan marah dan emosi sehingga terkeluar kata-kata yang tidak baik,” ujar beliau.

Justeru, berhati-hatilah dengan setiap tutur kata kita. Boleh jadi apa yang kita tuturkan itu boleh menjadi doa untuk anak-anak kita.

Sebaiknya, bercakaplah perkara yang baik dan teruskan berdoa supaya anak kita menjadi orang yang baik. Mudah-mudahan ALLAH mendengar dan mengangkat doa kita tadi.

Andai anak melakukan kesalahan atau nakal, nasihatilah dengan cara yang baik. Jangan sesekali bercakap dengan perkataan yang tidak baik terhadapnya akibat dikuasai emosi dan perasaan marah dalam diri.

Sumber: Instagram @habibalizaenalalhamid & @cocombee

Foto: Freepik