JIKA kita kurang arif tentang sesuatu perkara, menjadi kelaziman untuk kita bertanya. Sekiranya tidak berbuat demikian, kita pula yang akan ‘tersesat jalan’.

Begitupun, dalam setiap pertanyaan kita itu, bukan semua orang boleh memberikan respons yang baik. Ada segelintir orang seolah-olah enggan berkongsi jawapan, hatta membimbing kita.

Tambah menyedihkan, kadang-kadang pertanyaan itu dibalas dengan memek muka yang sungguh menjengkelkan. Terdapat juga yang menjawabnya, tetapi secara acuh tidak acuh sahaja atau tanpa kesungguhan.

Lebih teruk, segelintir dalam kalangan kita terus mengungkapkan ‘tidak tahu’ terhadap persoalan yang dilontarkan, meskipun tahu jawapannya.

Sebagai hamba ALLAH, kita tidak sepatutnya bersikap sedemikian rupa. Enggan berkongsi ilmu, apatah lagi menyimpan pengetahuan yang dimiliki, bukan satu perilaku yang baik.

Ketahuilah, ilmu itu kurniaan ALLAH SWT kepada hamba-NYA. Maka, wajar ia disampaikan kepada seluruh umat manusia agar pemberiaan berharga itu dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

Apakah hukumnya apabila kita kedekut dengan ilmu yang dimiliki? Benarkah bakhil dengan sebarang pengetahuan merupakan petanda akhir zaman?

Dekatkan manusia kepada ALLAH

Sebelum menyelami topik berkenaan, pendakwah Ustazah Nourul Iman Nia’mat mengajak umat mendasari kepentingan ilmu.

USTAZAH NOURUL IMAN

Ujar beliau, ia adalah kaedah yang ALLAH SWT ciptakan untuk manusia bagi mencapai tujuan dan kelangsungan hidup di atas muka bumi. Bahkan, ilmu juga merupakan simbol ketamadunan sesuatu bangsa itu.

“Ketahuilah, ilmu merupakan satu komponen yang amat penting untuk menjadikan seseorang manusia bertakwa kepada ALLAH SWT,” katanya kepada Sinar Islam ketika diwawancara secara maya baru-baru ini.

Beliau menambah, menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk menuntut ilmu. Dengan pengetahuan yang ada dalam dada itulah seseorang hamba ALLAH akan beramal.

“Andai seseorang itu tidak menuntut ilmu, dirinya akan jadi seorang yang jahil.

“Sekiranya itulah yang berlaku, bagaimana mungkin dia mengenal ALLAH, mencintai-NYA dan sebagainya,” katanya sambil menjelaskan bahawa ALLAH melantik Nabi Adam AS sebagai khalifah di muka bumi ini dengan komponen ilmu untuk mentadbir dunia dengan sebaiknya.

Dalam pada itu, Ustazah Nourul Iman turut memperbetulkan tanggapan sebilangan orang yang menganggap ilmu sekadar untuk mencari makan demi kelangsungan hidup.

Jelas beliau, ilmu sebenarnya ialah nur iaitu cahaya bagi mengeluarkan seseorang itu daripada kegelapan.

Ini bermakna, ilmu menjadi jalan ataupun panduan untuk seseorang itu mencapai kemuliaan dan keredaan di sisi ALLAH SWT.

Kedekut ilmuMenyambung hujahnya, Ustazah Nourul Iman menjelaskan, kewajipan orang yang menggali dan memiliki ilmu tidak terhenti di situ sahaja.

Malah, golongan itu perlu menyebarkan dan berkongsi pengetahuan tersebut kepada manusia sejagat supaya mereka dapat keluar daripada kejahilan.

“Segala ilmu yang kita peroleh merupakan satu tanggungjawab agar manusia melakukan amal ibadah yang dengan pengetahuan yang dimilikinya, bukan kerana terikut-ikut,” ujarnya.

Hukum sembunyikan ilmu

Seandainya seseorang itu tidak menyampaikan ilmu apabila ditanya tentang suatu perkara yang diketahuinya atau dalam bidangnya, ujar Ustazah Nourul Iman, tindakan individu tersebut akan menyebabkan orang lain berada dalam kekeliruan dan kesesatan.

(Artikel berkaitan: Beramal tanpa ilmu dan kefahaman, betul ke amalan kita tak akan diterima…)

“Apatah lagi jika mereka bertanyakan ilmu yang berkaitan dengan fardu ain yang membolehkan seseorang mendekatkan diri dengan ALLAH SWT.

“Berdosa besar hukumnya jika menyembunyikan suatu ilmu yang diketahuinya. Ia sebagaimana yang termaktub dalam Kitab al-Kabair,” katanya.

Bahkan, Rasulullah SAW pernah bersabda: Barang siapa yang ditanya tentang sesuatu ilmu, lalu orang yang ditanya itu menyembunyikan ilmunya, maka tidak memberitahukannya, maka dia akan dikekang mulutnya dengan kekangan api neraka.” (Riwayat al-Hakim)

Bukan itu sahaja, jelasnya, orang yang menyembunyikan ilmu itu sifatnya sama sepertimana ahli kitab. Perkara itu ada dirakamkan dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 71.

Kedekut ilmuMelihat ungkapan berkenaan, jelaslah begitu besar implikasinya kepada kita andai menyimpan sifat kedekut ilmu dalam diri. ALLAH SWT membalas segala azab yang berat di akhirat kelak kepada golongan berkenaan, kata pendakwah itu.

“Mereka yang menyimpan ilmu bersendirian juga atas tujuan keduniaan termasuklah kemasyhuran, tidak mahu lihat orang lebih daripadanya dan tidak mahu orang mengetahui perkara yang halal dan haram, maka orang tersebut akan mendapat seksaan dan kelaknatan daripada ALLAH SWT,” katanya.

Sehubungan itu, pendakwah berkenaan mengajak umat Islam berdoa dengan ungkapan yang disampaikan Nabi Muhammad SAW menerusi hadis baginda yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan an-Nasai. Doa itu berbunyi, ‘A’uzubika min ilmin la yanfa’ (Aku berlindung pada-MU ya ALLAH daripada ilmu yang tidak bermanfaat).

Sementara itu, pendakwah Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud atau lebih dikenali sebagai Ustaz MK Azman senada dengan Ustazah Nourul Iman.

USTAZ MK AZMAN

Ujar beliau, terlalu banyak dalil yang memerihalkan tentang natijah dan ancaman andai kedekut dengan ilmu milik ALLAH SWT.

Antaranya, sabda Rasulullah SAW: “Kecelakaan besar bagi orang yang tidak mengetahui (tidak berilmu) dan kecelakaan besarlah bagi orang yang berilmu tetapi tidak mengamalkan ilmunya.” (Riwayat Abu Nuaim)

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Perumpamaan orang yang mempelajari ilmu dan kemudian tidak menyampaikannya kepada orang lain bagaikan orang yang menyimpan harta namun tidak menggunakannya.” (Riwayat at-Tabarani)

Berdasarkan dua hadis tersebut, seperti saranan Ustazah Nourul Iman, Ustaz MK Azman sekali lagi mengingatkan umat Islam agar berkongsi dengan orang lain yang dahagakan ilmu dan panduan.

Kerugian besar

“Kita dianggap kedekut berkongsi ilmu jika meletakkan syarat. Umpamanya mengenakan bayaran atas ilmu yang dikongsikan.

“Begitupun, jika ia melibatkan kos yang tinggi, wajar untuk kita tentukan bayaran yang munasabah atas perkongisan ilmu yang diberikan,” ujarnya.

Benarkah sifat seseorang yang kedekut ilmu itu antara petanda akhir zaman?

Menjawab persoalan itu, Mudir Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam Nurul Hidayah di Naka, Padang Terap, Kedah itu menjelaskan, tiada dalil khusus menyatakan tentang perkara itu. Namun, banyak yang memperkatakan tentang sifat kedekut secara umum.

Kedekut ilmuDalam sebuah hadis riwayat at-Tabarani misalnya, ada dinyatakan bahawa antara tanda-tanda kiamat adalah meluasnya sifat kedekut.

“Gambaran menerusi hadis itu menjelaskan keadaan manusia akhir zaman akan diselubungi oleh sifat kedekut yang berleluasa sehingga memberi kesan besar kepada keseluruhan kehidupan mereka.

“Mereka mula berkira-kira untuk menginfakkan sedikit harta mereka kerana kebimbangan akan menjadi fakir dengan kekurangan harta tersebut,” katanya.

Ustaz MK Azman turut mengemukakan pandangan Dr Muhammad Ahmad Al-Mubayadh dalam Mausu’ahnya yang menjelaskan, maksud kebakhilan itu adalah satu sifat yang bukan membabitkan harta benda saja, bahkan semua perkara termasuk ilmu dan hal kehidupan yang lain. 

“Bagaimanapun, pengkhususan sifat kebakhilan itu lebih cenderung kepada penggunaan harta yang berkait rapat dengan hal ehwal pembayaran zakat dan kegunaan harian seperti penyediaan makanan dan lain-lain,” jelasnya.

Tidak kiralah apa jua maksud bakhil itu, pendakwah itu sekali lagi memberi peringatan bahawa kita akan berdepan dengan kerugian yang besar andai bersikap tamak dengan ilmu hingga enggan menyampaikannya.

Masakan tidak, kelebihan menyebarkan ilmu itu begitu banyak sekali. Antaranya, pahala akan mengalir sekalipun dirinya sudah tiada lagi di dunia ini, ujarnya.

Iklan

“Bagaimana mereka mahu tergolong dalam kalangan kelompok itu jika ilmunya tidak disebarkan dan dikongsikan dengan orang lain? Inilah namanya orang yang kufur pada nikmat. ALLAH kurniakan ilmu untuk diri dan sepatutnya dikongsikan dengan orang lain.

“Namun, kerana rasa kedekut lebih menguasai diri, nikmat memiliki ilmu itu tidak dijadikan sebagai cara untuk mendapatkan pahala sesudah meninggal dunia. Inilah namanya tidak mensyukuri nikmat kurniaan ALLAH,” ujar beliau.

Tinggi ilmu bukan tiket perlekeh, aibkan manusia lain

Sejak turunnya wahyu pertama kepada Rasulullah SAW iaitu lima ayat pertama Surah al-‘Alaq, jelas betapa pentingnya setiap umat Islam untuk menggali ilmu.

Begitupun, Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood menjelaskan, tiada gunanya jika kita berilmu, tetapi tidak diamalkan. Ia umpama pohon rendang dan subur, malangnya tidak berbuah.

USTAZAH SITI FATAHIYAH

“Tanpa amal, ilmu yang kita pelajari hanya akan tersimpan dalam buku atau gajet kita. Paling tidak pun, ia hanya akan berada dalam fikiran tanpa kita mengambil faedah daripadanya.

“Perbuatan itu akan merugikan diri sendiri dan orang di sekeliling kita. Sebaiknya, ilmu yang diperoleh itu kita amalkan agar menjadi lebih mahir dan lebih mendalam kesannya,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Namun begitu, Perunding Keluarga dan Remaja itu mengingatkan agar sesuatu ilmu itu dipelajari dengan cara yang betul memandangkan kecanggihan teknologi pada era milenial ini memudahkan maklumat diakses dengan mudah.

“Bagi memastikan apa yang diperoleh adalah ilmu yang benar, maka kita perlu titik beratkan sumber maklumat tersebut adalah sah, berautoriti dan tidak melanggar syariah. Dalam erti kata lain, mencari ilmu perlu diperoleh dan dirujuk daripada guru atau ulama yang sebenar-benarnya sama ada secara bersemuka ataupun dalam talian,” nasihatnya.

Kepada satu soalan, Ustazah Siti Fatahiyah menjawab: “Dalam proses mencari ilmu atau menjadi orang yang berilmu, kita perlu memenuhi tiga elemen penting iaitu beriman, berilmu dan beradab.

“Tanpa iman, ilmu yang kita dapat mungkin akan membawa kita jauh dari persimpangan agama. Namun, tanpa adanya adab, dikhuatiri akan mendorong orang yang berilmu itu menjadi sombong, bongkak, tidak menghormati orang lain, tidak beradab, riak dan termasuklah memperlekehkan atau mengaibkan orang lain.

“Lebih kronik lagi apabila kesemua itu dilakukan dengan sengaja. Oleh itu, tiga elemen penting ini tidak boleh dipisahkan atau diabaikan dalam proses kita mencari ilmu,” katanya.

Justeru, beliau menitipkan pesan agar umat Islam berpaksikan niat kerana ALLAH SWT dalam proses menggali ilmu dan lakukanlah dengan penuh keikhlasan.

“Ingatlah tiga elemen tadi iaitu iman, ilmu dan adab. Pada masa sama, elakkan daripada menghukum orang lain tanpa usul periksa dengan ilmu yang dimiliki.

“Jangan disebabkan ketinggian ilmu yang dimiliki membuatkan kita tergamak mengaibkan atau memperlekehkan orang lain.

Iklan

“Sesungguhnya, ALLAH SWT MAHA MENGETAHUI apa yang kita lakukan secara zahir ataupun tersembunyi,” nasihatnya.

Kedekut ilmuANEKDOT

JENIS-JENIS ilmu

– Secara umumnya, ilmu dapat dikategorikan kepada dua jenis iaitu ilmu fardu ain dan fardhu kifayah.

– Ilmu fardu ain ialah ilmu yang diwajibkan ke atas setiap Muslim yang akil baligh untuk mempelajari dan mengamalkannya. Berdosa hukumnya jika sengaja meninggalkannya. Ia amat berkait rapat dengan persoalan asas Islam iaitu akidah, syariat dan akhlak.

– Imam al-Ghazali pernah menghuraikan ilmu fardu ain di dalam kelompok ilmu al-Muamalat iaitu ilmu yang melibatkan tentang akidah (kepercayaan), syariat (ibadah) dan adab (akhlak).

– Semua ilmu itu amat penting dipelajari dan dikuasai oleh seluruh masyarakat Islam kerana ia berkait rapat dalam hal-hal pembentukan peribadi mulia seseorang insan yang berteraskan akidah, ibadah dan akhlak.

– Sementara itu, ilmu fardu kifayah pula bermaksud kewajipan yang difardukan ke atas seluruh umat Islam. Apabila seorang atau sebahagian umat Islam melaksanakannya, maka terlepaslah tanggungjawab itu daripada seluruh umat Islam yang lain.

– Misalnya, ilmu astronomi begitu penting kepada umat Islam. Ia diperlukan bagi menentukan arah kiblat, tarikh permulaan puasa dan Hari Raya, waktu wukuf, waktu solat dan seumpamanya.

– Oleh sebab itu, umat Islam perlu berusaha dengan lebih gigih meneroka pelbagai bidang ilmu pengetahuan agar menjadi menjadi umat yang hebat dan cemerlang di mata dunia.

– Apa jua ilmu yang dipelajari baik di masjid, madrasah dan sekolah-sekolah nasional, semuanya merupakan ilmu yang baik untuk dipelajari. Ia amat diperlukan oleh kita, masyarakat dan negara.

Sumber: Pendakwah Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud

Foto: Freepik