PETANG-PETANG ni memang sedap kalau dapat makan roti canai. Ya, itulah antara makanan kegemaran masyarakat kita.

Walaupun bahan nak buat roti canai simple, tapi ramai orang suka beli terus dari kedai atau warung. Masakan tidak, susah sebenarnya nak menebar roti canai ni kalau tak biasa buat.

Cerita pasal bahan-bahan nak hasilkan roti canai ni, telur antara yang digunakan dalam menghasilkan menu kegemaran ramai ini.

Bagaimana jika kulit telur tadi tak dibasuh dulu, tapi terus digunakan oleh penebar roti canai untuk uli doh? Tak ke najis yang ada pada kulit telur itu tersebar kepada semua roti canai yang ditebarkan?

Lepas tu, kita pula makan roti canai tu. Apakah status makanan yang telah terkena najis?

Sebenarnya, roti canai yang dihasilkan daripada telur ayam tak dibasuh adalah halal dimakan. Ia selagi mana tidak terdapat najis yang dilihat pada kulit telur tersebut yang dipindahkan kepada tepung yang diuli.

Namun begitu, jika kulit telur ayam tadi jelas terdapat najis dan kemudian dipindahkan kepada tepung yang diuli, maka hukumnya adalah najis dan haram dimakan.

Ini kerana makanan tersebut kotor dan tidak menepati konsep halalan tayyiban. Justeru, kita dilarang sama sekali makan segala jenis makanan yang terjejas najis.

Ketahuilah bahawa najis haiwan sama ada haiwan yang boleh dimakan atau tak boleh dimakan adalah najis, menurut Mazhab Syafie.

Daripada Abdullah bin Mas'ud RA, beliau berkata: "Rasulullah SAW apabila dibawa dua biji batu dan najis binatang (yang telah keras) untuk beristinjak, maka baginda telah mengambil batu dan membuang najis binatang tersebut, lalu berkata: "Ini adalah kotoran." (Riwayat al-Bukhari dan Ahmad)

Iklan

Dalam Islam, makanan halal itu mestilah suci berpandukan kepada ungkapan kalimah halalan, disusuli perkataan tayyiban dalam firman ALLAH SWT:

"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik." (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Menurut Imam Fakhruddin al-Razi dalam tafsirnya ketika mensyarahkan ayat di atas menyatakan: "Al-tayyib dari segi bahasa adalah suci dan halal disifatkan dengan segala yang baik. Ini kerana perkara yang haram disifatkan dengan segala kekotoran. Makna al-tayyib pada asalnya adalah apa yang disukai dan didapati baik oleh cita rasa manusia selain disifatkan bersih dan halal dari segi perumpamaan. Ini kerana najis itu sesuatu yang dibenci oleh jiwa." (Rujuk:Tafsir ar-Razi Mafatih al-Ghayb, 5/185)

Iklan

Berdasarkan nas dan hujah berkenaan, konsep halal terikat dengan tayyiban iaitu bersih dan suci. Perkara haram pula disebabkan kekotoran dan dianggap jijik selain wujud dalil pengharamannya.

Dalam kes roti canai ini, andai penebar roti canai tak membasuh telur, lantas tangannya terkena tahi ayam, lalu tersebar pada roti canai yang ditebarnya, sudah pasti roti canai tersebut bercampur dengan najis tahi ayam.

Makanan tersebut menjadi kotor dan tidak halal dimakan kerana tidak suci. Dengan kata lain, ia tidak menepati konsep halalan tayyiban.

Kepada semua orang Islam dan pengusaha produk makanan, jagalah kebersihan dalam setiap proses penyediaan makanan.

Bukan setakat proses ketika memasak saja, tapi juga penyimpanan, pemprosesan, pembungkusan dan sebagainya.

Sebagai orang Muslim, kita perlu cakna dalam bab-bab ini. Ingatlah bahawa makanan yang halal lagi baik akan memberikan ketenteraman pada jiwa dan kesan kepada ibadah.

Semoga kita terhindar daripada perkara haram dan syubhah.

Sumber: Al-Kafi #1738: Status Roti Canai Dari Telur Ayam yang Tidak Dibasuh, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan