Apabila waswas membelenggu diri, cepat-cepatlah baca…

October 11, 2020
Nurulfatiha

RAMAI dalam kalangan kita yang mengalami masalah waswas. Segelintir orang mungkin mengalami perasaan ini hanya dalam keadaan tertentu atau sesekali sahaja.

Namun begitu, ada orang yang memang sering kali diganggu dengan rasa waswas. Hidupnya rasa serba tidak kena apabila melakukan suatu perkara.

Hinggakan ketika sedang solat sekalipun kerap terlupa bilangan rakaat bagi sembahyang yang didirikannya.

Begitu juga ketika berwuduk, dirinya seolah-olah waswas setiap kali mengambil wuduk. Pada masa itulah, terasa seperti sudah terkentut.

Apabila sudah diulangi wuduk berkenaan, perkara sama berulang hinggakan terpaksa berwuduk berkali-kali.

Situasi berkenaan nampak seperti remeh, namun ketahuilah, itulah sebenarnya cara syaitan untuk mengganggu kita.

Demikian penjelasan pendakwah Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani berkenaan perihal waswas yang acap kali membelenggu umat Islam.

USTAZ AHMAD DUSUKI

Ujar beliau, waswas terjadi pada tiga tempat dalam diri seseorang.

“Pertama, waswas kepada keyakinan iaitu akidah dan iman kita. Ia menyebabkan kita sendiri teragak-agak dengan Islam.

“Kedua, waswas dalam ibadah. Itulah yang berlaku apabila ada orang berjam-jam mengambil wuduk hingga air kolah habis ataupun semasa mendirikan solat.

“Ketiga, waswas pada akhlak. Umpamanya, kita melihat orang berbisik-bisik dan menyangkakan mereka memperkatakan tentang kita. Padahal, perihal kita langsung tidak disebutkan oleh orang berkenaan. Ini juga dinamakan sebagai waswas,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan dalam Instagram miliknya baru-baru ini.

Justeru, agamawan itu mengingatkan kita supaya berjaga-jagalah dengan penyakit waswas yang boleh menyerang dalam diri kita bila-bila masa.

“Apabila kita diserang penyakit waswas, maka bacalah a’uzubillahi minasy syaitanir rajim atau berta’awuz memohon perlindungan daripada ALLAH,” jelas beliau.

Ia sebagaimana yang disebutkan ALLAH SWT menerusi firman-NYA: “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH MAHA MENDENGAR, lagi MAHA MENGETAHUI.” (Surah al-A’araf, ayat 200)

Waswas
BACALAH ta’awuz apabila diri dibelenggu dengan rasa waswas hasil hasutan syaitan.

Jelas bahawa sebaik-baik ucapan adalah apa yang diajarkan oleh ALLAH kepada kita, terang Ustaz Ahmad Dusuki lagi.

Justeru, lazimkanlah diri kita dengan menyebut lafaz ta’awuz. Semoga kita dijauhkan daripada bisikan syaitan yang direjam itu.

Sumber: Instagram ustazahmaddusuki

About Nurulfatiha

Biodata Penulis