JIKA dibilang, hampir sebulan kita ‘berkurung’ di dalam rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu. Banyak benda yang kita dah lakukan sepanjang tempoh tersebut.

Ada yang seronok duduk di rumah, tidak kurang juga yang bosan kerana ‘terperap’ lama tidak dapat melihat dunia luar. Apa sekalipun perasaan kita, cuba tanamkan sifat sabar dalam diri. Ingatlah bahawa semua ini dilakukan demi kemaslahatan dan kebaikan kita bersama untuk menamatkan rantaian wabak Covid-19 selama-lamanya.

Benar, manusia memang ada pelbagai ragam dan karakter masing-masing. Apabila kita duduk di rumah, segala jenis perwatakan kita dapat dilihat sama ada dari sisi yang positif mahupun negatif.

Sedar atau tidak, sisi negatif itu kadangkala begitu ‘berbahaya’ bukan sahaja kepada diri kita sendiri, malah orang yang ada di dalam kediaman yang sama dengan kita.

Boleh jadi sisi negatif itu perkara yang boleh mengundang kepada dosa walaupun nampak remeh. Natijahnya, seisi rumah boleh menerima tempiasnya.

Demikian antara lain mesej yang cuba disampaikan pendakwah, Ustaz Syed Mohd Norhisyam Al-Idrus menerusi kuliah duha di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Antara bentuk dosa musim PKP yang mungkin tidak disedari adalah:

Dosa ketika PKP
JAGALAH batasan aurat ketika duduk sebumbung dengan ipar-duai dan sepupu masing-masing agar kediaman kita sentiasa dalam rahmat-NYA.

1. Tidak menjaga batasan aurat sesama ipar-duai di dalam rumah

Bila semua orang berada di rumah, sudah tentulah adik-beradik yang memang duduk serumah ada dalam satu bumbung yang sama. Tambah-tambah lagi mereka yang sudah berkeluarga dan beranak pinak. Barangkali ada yang pulang ke kampung sebelum PKP lagi, makin ramailah ahli keluarga berkumpul di rumah ibu bapa masing-masing.

Dalam keadaan ini, jagalah batasan aurat antara abang ipar dan adik ipar, sepupu dan sebagainya. Tolonglah jaga aurat masing-masing supaya ada keberkatan ALLAH dalam rumah yang didiami itu. Bila ada orang buat maksiat dalam rumah berkenaan, rahmat ALLAH akan terhalang. Ingat tu!

Dosa ketika PKP
BERTIMBANG rasalah dengan ahli keluarga masing-masing.

2. Tamak dan pentingkan diri sendiri

Duduk ramai-ramai dalam satu rumah ada masanya makanan tidak cukup. Ada masa makanan banyak sangat. Apalah salahnya kita adik-beradik berkongsi sama-sama. Bila makanan banyak, kita kongsi rezeki bersama. Seandainya sedikit, kita makan sama-sama sedikit. Janganlah berbuat dosa di dalam rumah dengan sikap tamak dan pentingkan diri. Sebaliknya, agihkan secara bersama-sama.

Ingatlah, ada orang lebih susah lagi daripada kita seperti saudara seagama kita di Syria yang tiada rumah dan terpaksa menahan sejuk. Kita beruntung sebab kerajaan sangat prihatin dengan menyediakan bantuan. Sebagai rakyat, bantulah kerajaan untuk memudahkan proses agihan dalam membantu kita.

Dosa ketika PKP
JANGAN terlalu leka dengan telefon sehingga melalaikan ibadah solat dan tanggungjawab kita yang lain.

3. Lalai menunaikan solat

Walaupun duduk di rumah dan tiada alasan untuk tidak mendirikan solat, namun masih ada juga yang melalaikan Rukun Islam ke-2. Ya, terlalu leka dengan telefon sampai mata pun ‘melekat’ sekali pada gajet hingga terlepas waktu solat.

Bayangkan orang di dalam rumah itu semuanya solat dan berdoa, begitu juga dengan ahli jawatankuasa masjid bertugas. Mereka siap pasang alunan bacaan ayat suci al-Quran, laungkan azan, solat dan doa di masjid. Orang kata, biar ada syiar dalam kampung kita. Namun, kita pula tidak solat. Jangan disebabkan sikap kita yang berbuat dosa ini, doa semua orang tidak dimakbulkan oleh ALLAH.

Ia sebagaimana yang berlaku kepada seorang lelaki Bani Israel yang melakukan maksiat selama 40 tahun pada zaman Nabi Musa AS. Justeru, Ustaz Syed Norhisyam mengajak kita untuk mengambil suri teladan dalam kisah berkenaan. Kisah itu dicoretkan dalam kitab At-Tawwabin yang menghimpunkan kisah-kisah orang bertaubat oleh Imam Ibnu Qudamah.

Ceritanya berbunyi begini. Ketika itu, berlaku musim kemarau yang teruk. Keadaan itu berlaku dalam tempoh yang lama. Bayangkan keadaan kering-kontang, tumbuhan mati, sungai kering dan haiwan ternakan kurus sehingga tidak dapat mengeluarkan susu.

Melihat kepada keadaan itu, Bani Israel datang bertemu Nabi Musa AS. Kata mereka: “Wahai Nabi Musa, bukankah kamu kata kamu seorang nabi. Doalah minta pada Tuhan kamu agar turunkan hujan.”

Lantas, nabi ALLAH itu berdoalah kepada Sang Pencipta. Baginda juga bermunajat dan berdoa meminta agar diturunkan hujan. ALLAH kemudian berfirman dengan memerintahkan Nabi Musa supaya mengumpulkan Bani Israel di suatu padang dan berdoa beramai-ramai minta diturunkan hujan.

Mendengarkan firman YANG MAHA ESA itu, Nabi Musa segera mengumpulkan semua kaum Bani Israel di suatu padang. Mereka pun berdoa meminta agar diturunkan hujan. Namun begitu, hujan masih tidak lagi turun sehingga membuatkan segelintir mereka bertanyakan kepada Nabi Musa tentang hal itu.

Apabila baginda AS mengajukan persoalan berkenaan, ALLAH berfirman: “Wahai Musa, dalam kalangan kamu di padang yang ramai ini, ada seorang lelaki ahli maksiat yang sudah 40 tahun dia melakukan maksiat kepada-KU. Suruh lelaki itu keluar dulu daripada khalayak ramai, baru AKU akan makbulkan doa kamu (turunkan hujan).”

Iklan

Maka, Nabi Musa AS pun menyeru kepada pemuda ahli maksiat berkenaan supaya keluar. Disebabkan lelaki itulah, musibah kemarau itu berlaku dan kerana pemuda tadi juga menjadi punca doa kaum Bani Israel tidak dimakbulkan-NYA.

Selepas beberapa kali baginda menyuruh lelaki tadi keluar, akhirnya ahli maksiat itu pun ‘menyerah diri’. Sambil menundukkan mukanya, lelaki itu berdoa: “Ya ALLAH, tolonglah ampunkan dosa aku. Selama ini, aku berbuat maksiat, ENGKAU tak pernah dedahkan aku. Tolonglah jangan dedahkan aku di khalayak. Aku nak minta ampun Ya ALLAH.”

Belum habis lagi pemuda itu berdoa, dengan kehendak ALLAH, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Subhanallah!

Namun begitu, Nabi Musa begitu hairan dengan keadaan itu kerana baginda tidak nampak lelaki ahli maksiat itu keluar. Lalu, baginda berkata: “Ya ALLAH, pemuda yang buat maksiat tak keluar lagi, tetapi ENGKAU dah turunkan hujan.”

ALLAH berfirman: “Wahai Musa, kerana dia, AKU tak turunkan hujan. Kerana dia ahli maksiat, AKU tidak menerima doa kamu semua. Sekarang, kerana taubatnyalah, AKU turunkan rahmat-KU, kerana taubatnyalah, AKU perkenankan doa kamu semua. Dia telah bertaubat dan kerana itu AKU telah menurunkan hujan.”

Iklan

Begitulah kebesaran ALLAH. Baginda memohon kepada ALLAH agar diperlihatkan pemuda berkenaan yang dilihat sangat hebat kerana turunnya rahmat ALLAH apabila dia bertaubat. Namun, ALLAH tidak mengizinkan-NYA.

Dosa ketika PKP
BERTAUBAT dan beristighfarlah kepada ALLAH agar segala rahmat-NYA diturunkan kepada kita.

Jelas kisah itu tersirat ibrah yang begitu besar. Dosa menjadi sebab kepada musibah. Maksiat menjadi punca doa tidak dimakbulkan. Sesungguhnya, taubat yang bersungguh-sungguh mengundang rahmat ALLAH SWT sehingga terhenti musibah kemarau tadi.

Keadaan ini hampir sama dengan apa yang kita alami kini. Seluruh dunia sedang ditimpa musibah dan ujian wabak Covid-19. Ambillah iktibar daripada kisah taubat si pemuda maksiat tadi.

Jangan disebabkan sikap kita seorang, seisi rumah kita tidak mendapat rahmat-NYA. Doa ahli-ahli keluarga kita di dalam rumah tidak ‘diangkat’ ke langit. Berubahlah untuk kebaikan bersama.

Ayuh kita bersama-sama istighfar dan tinggalkan dosa. Semoga ALLAH mengampunkan kita serta menurunkan rahmat kepada kita.

(Sumber: Facebook Syed Mohd Norhisyam al-Idrus)