BERPUASA di bulan Ramadan tidak hanya menahan lapar dan dahaga.

Pada asasnya, perbuatan memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan dengan sengaja sama ada daripada jenis makanan atau bukan makanan termasuk merokok, suntikan makanan atau vitamin.

Perkara yang membatalkan puasa yang kedua ialah memasukkan sesuatu pada dua jalan iaitu qubul dan dubur.

Seterusnya ialah memuntahkan makanan dengan sengaja dan hubungan intim pada siang hari.

Selain itu, beberapa perkara lain yang boleh membatalkannya puasa ialah kedatangan haid, nifas dan kelahiran bagi perempuan, menjadi gila, pitam, mabuk sepanjang hari dan murtad iaitu keluar daripada agama Islam.

Bagi pasangan suami isteri, sudah tentu terdapat batas yang perlu diikuti agar ibadah puasa terpelihara.

Baca juga: Trend “Unboxing by Husband” merosakkan, mulakan hidup berumah tangga dengan perbuatan maksiat

Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi maktabahalbakri.com menjawab persoalan yang diajukan berkenaan hukum seorang lelaki itu bercumbuan dan bermesraan dengan isterinya di bulan Ramadan.

Beliau turut berkongsi beberapa hadis dan info penting berkaitan dalam menjawab persoalan yang diutarakan.

YANG KUAT NAFSU PERLU MENGHINDARI

Imam al-Nawawi menyebutkan dalam kitab bahawa dihukum sebagai makruh bagi sesiapa yang bercumbuan dan bermesra dalam keadaan dia sedang berpuasa jika terangsang syahwatnya dan tidak dihukum sebagai makruh bagi yang mampu mengawal nafsunya.

“Yang utamanya adalah meninggalkan perbuatan tersebut. Begitu juga tidak ada beza antara orang tua dan orang muda kerana perkara yang diambil kira ialah terangsang syahwat dan dikhuatiri keluarnya air mani.

“Dalam erti kata lain, jika seorang tua ataupun muda itu kuat untuk terangsang syahwatnya, maka hukumnya adalah makruh, dan jika tidak terangsang syahwatnya, maka hukumnya tidak makruh.

Akan tetapi yang utamanya ialah meninggalkan perbuatan bercumbuan itu iaitu tidak kira mencium pipi, mulut atau selainnya.

Begitu juga perbuatan bermesra dengan tangan dan berpelukan, hukumnya adalah sama dengan hukum bercumbuan.

MAKRUH TAHRIM

Menurutnya hukum makruh yang dimaksudkan bagi sesiapa yang terangsang syahwatnya ialah makruh tahrim. Ini merupakan pendapat pengarang al-Muhazzab, al-Qadhi Abu al-Tayyib, al-‘Abdari dan lain-lain ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i.

Manakala sebahagian lagi pula berpendapat, hukum makruh di sini ialah makruh tanzih selagi mana tidak keluar air mani. Inilah pendapat yang disahihkan oleh al-Mutawalli. Namun, al-Rafi‘i dan selainnya menyebutkan, pendapat yang paling sahih ialah makruh tahrim. Selain daripada itu, apabila seseorang itu bercium dan tidak keluar air mani, maka puasanya tidak terbatal tanpa sebarang khilaf di sisi ulama mazhab Syafi‘i, tidak kira bagi mereka yang berpendapat makruh tahrim atau tanzih.

Seterusnya, menurut Ibn al-Munzir, di antara mereka yang memberi kelonggaran (rukhsah) dalam hal mencium ini ialah Umar, Ibn Abbas, Abu Hurairah, Aisyah, ‘Ata’, al-Sya‘bi, al-Hasan, Ahmad dan Ishaq. Di samping itu, Sa‘ad bin Abu Waqqas menganggap tiada masalah untuk bermesra dengan isteri bagi orang yang berpuasa.

Ibn Umar pula melarang hal tersebut. Imam Malik menghukumkan makruh perbuatan bercium bagi orang muda dan tua dalam bulan Ramadan. Selain itu, terdapat sebahagian ulama berpendapat, ia diharuskan kepada orang tua dan tidak kepada orang muda, dan di antara ulama yang berpendapat seperti ini ialah Ibn Abbas. Selain itu, mazhab Abu Hanifah dalam isu ini adalah sama dengan mazhab Syafie.

Baca juga: Nikah 30 tahun terpaksa bubar sebelum tunai umrah, gara-gara ‘rahsia’ disembunyikan orang tua

BERCIUM TIDAK MEMBATALKAN PUASA

Di samping itu, seluruh fuqaha menyebutkan bahawa perbuatan bercium suami isteri itu tidak membatalkan puasa melainkan berlakunya inzal (keluar air mani).

Oleh itu, sekiranya keluar air mani, maka puasanya batal dan wajib ke atasnya untuk menggantikannya tanpa dikenakan kafarah.

Dr. Muhammad al-Zuhaili juga ada menyebutkan dalam kitabnya bahawa termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa adalah apabila keluarnya air mani dengan sengaja tanpa bersetubuh seperti bercium, beronani dengan tangannya atau dengan tangan isterinya atau melalui sentuhan kerana ia dikira sebagai inzal (keluarnya air mani) dengan cara mubasyarah (berseronok dengan bersentuhan tanpa lapik).

HANYA TERBATAL DENGAN KELUARNYA AIR MANI

Begitu juga Ibn Qudamah menyebutkan, sekiranya seseorang itu mencium isterinya, lalu keluar air mani, maka terbatal puasanya tanpa sebarang khilaf yang diketahui.

Iklan

Justeru, difahami bahawa puasanya tidak terbatal semata-mata disebabkan perbuatan bercium tetapi disebabkan oleh keluarnya air mani kerana perbuatan itu.

Hal ini adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Umar bin al-Khattab, beliau berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ صَنَعْتُ الْيَوْمَ أَمْرًا عَظِيمًا قَبَّلْتُ وَأَنَا صَائِمٌ ‏ قَالَ: ‏‏أَرَأَيْتَ لَوْ مَضْمَضْتَ مِنَ الْمَاءِ وَأَنْتَ صَائِمٌ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, hari ini aku telah lakukan sesuatu yang berat. Aku telah mencium (isteriku) dalam keadaan aku berpuasa. Maka Baginda SAW menjawab: ‘Apa pendapat kamu sekiranya kamu berkumur-kumur dalam keadaan kamu sedang berpuasa?’”

Imam al-Nawawi ketika mengulas hadis ini menyatakan, Baginda SAW menyamakan perbuatan mencium itu dengan berkumur-kumur.

Sesungguhnya telah sabit bahawa jika seseorang itu berkumur-kumur lalu air lalu hingga ke dalam rongga, maka ia membatalkan puasa.

Dan sekiranya air tidak sampai ke dalam rongganya, maka ia tidak membatalkan puasanya. Justeru, ini menunjukkan bahawa perbuatan bercium itu adalah sama sepertinya berkumur-kumur.

Iklan

Kesimpulannya, perbuatan seseorang mencium isterinya dalam keadaan dia berpuasa, hukumnya adalah makruh sekiranya perkara itu menyebabkan syahwatnya terangsang atau dikhuatiri keluarnya air mani.

Bagaimanapun ia tidak makruh jika dia mampu menjaga dirinya daripada hal itu. Namun, adalah lebih baik untuk dia meninggalkan perbuatan bercium ketika dia sedang berpuasa. Begitu juga puasanya tidak terbatal selagi mana tidak keluar air mani. Ini adalah sebagaimana pendapat muktamad dalam mazhab Syafie.

Walau bagaimanapun, jika perbuatan bercium atau bermesra itu menyebabkan keluarnya air mani, maka puasanya adalah terbatal. Maka dia wajib menggantikan puasa itu dan tiada kafarah dikenakan ke atasnya.

Baca juga: Anak pelik urusan nikah jadi rumit, bongkar rahsia ibu ayah bersekedudukan hingga 7 zuriat

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI