SETIAP kali menunaikan solat fardu, nama Nabi Muhammad SAW pasti tidak akan lekang dari bibir kita. Masakan tidak, setiap waktu pasti kita akan berselawat ke atas junjungan besar baginda SAW terutama ketika tasyahud.

Bukan sahaja sewaktu solat, sebagai umat Islam, kita dituntut untuk mempelbanyakkan selawat saban hari tidak kiralah pada bila-bila masa.

Apa tidaknya, amat pelik dan malu jika kita tidak berbuat demikian. Sedangkan, kitalah umat Nabi Muhammad SAW dan selawat itu sebagai tanda manifestasi kecintaan kepadanya.

Dari segi kelebihan kepada sesiapa yang melaziminya, ia memang tidak dapat disangkal lagi. Malah, ALLAH SWT juga akan berselawat ke atas hamba-NYA yang berbuat demikian.

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin ‘Amr RA.

Beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya barang siapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka ALLAH SWT akan berselawat ke atasnya dengan 10 selawat.” (Riwayat Muslim)

(Artikel berkaitan: [SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL] Kalau tak berselawat, itu tandanya kita bakhil…)

Pendakwah, Mohamad Wadi Annuar Ayub atau sinonim dengan panggilan Ustaz Wadi Annuar menjelaskan, selawat merupakan satu-satunya ibadah yang bukan sahaja dilakukan oleh manusia, tetapi ALLAH SWT juga melaksanakannya.

USTAZ WADI ANNUAR

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya ALLAH dan malaikat-NYA berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Jelas Wadi Annuar, andai kita membiasakan lidah dengan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW pada setiap hari tanpa gagal, banyak manfaat yang bakal diperoleh.

“Tuan-tuan buat, insya-ALLAH rezeki murah, hati tenang dan mati husnul khatimah.

“Apabila dibangkitkan di padang mahsyar kelak, insya-ALLAH kita boleh tengok Nabi Muhammad SAW,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di Instagram miliknya baru-baru ini.

Iklan
Selawat
JADIKAN selawat sebagai peneman kita pada bila-bila masa.

Dalam sisa hidup yang masih ada sekarang, pendakwah itu turut mengajak kita untuk berazam agar melazimkan diri dengan berselawat.

“Sementara masih hidup, berdoalah: ‘YA ALLAH, aku hendak jadi manusia yang paling banyak berselawat kepada nabi-MU SAW’.

“Seandainya ditakdirkan meninggal dunia esok dan pada malam ini kita sempat berazam demikian, Tuhan akan bangkitkan kita dalam kalangan orang yang paling banyak berselawat kepada nabi.

“Ini kerana asbab kita sudah berazam,” jelasnya.

(Artikel berkaitan: Senorita Kayangan: Cintailah Rasulullah SAW melebihi daripada diri sendiri, makhluk lain…)

Justeru, marilah sama-sama kita pasakkan niat untuk menjadi orang yang paling banyak berselawat kepada Rasulullah SAW.

Paling tidak pun, setiap kali selepas solat, luangkan sedikit masa untuk membasahkan lidah dengan selawat seberapa sebanyak yang mampu.

Iklan

Semoga kita menjadi antara umat yang mendapat syafaat daripada baginda SAW pada hari akhirat kelak.

Sumber: Instagram @ustazwadiannuar_official

Foto: Freepik