HEADLINES

Baca ayat al-Quran atas katil atau sambil berbaring, adakah dikira tidak beradab?

May 11, 2020
Nurulfatiha

SEBELUM memejamkan mata, Islam menganjurkan beberapa adab tertentu antaranya membaca doa tidur. Malah, kita turut digalakkan untuk membaca qul qul iaitu Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas serta ayat Kursi juga.

Bukan apa, tujuannya supaya kita boleh tidur dalam keadaan tenang dan dijauhkan daripada segala gangguan.

Biasanya kita akan baca semua ini di atas katil, bukan? Kadangkala ada yang baca sambil berbaring. Mengaku je lah siapa yang pernah buat macam ni.

“Kenapa? Tak boleh ke baca doa dan tiga qul tu dalam keadaan baring?”

Mungkin ada yang tertanya-tanya tentang perkara ini. Maklum saja lah, bila difikirkan balik, tiga qul dan ayat Kursi itu semuanya merupakan ayat-ayat al-Quran.

Semua orang tahu baca al-Quran ada adab yang perlu dijaga. Itu kan kalam ALLAH.

Sebenarnya, membaca al-Quran termasuk dalam kategori perbuatan zikrullah.

Firman ALLAH SWT: “(Golongan ulul albab) adalah mereka yang sentiasa mengingati ALLAH dalam keadaan berdiri, duduk, di atas lambung mereka (perbaringan), serta mereka berfikir tentang penciptaan langit-langit dan juga bumi, (lalu mereka berkata) wahai Tuhan kami, tidaklah KAU menciptakan (kesemua) ini secara batil (sia-sia), maha suci kamu (dari perkara tersebut), maka peliharalah kami daripada azab neraka.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 191)

Imam Al-Nawawi berhujah menggunakan ayat ini sebagai dalil bagi menyatakan pendapat yang mengharuskan pembacaan al-Quran dalam keadaan berdiri, berbaring ataupun di atas katil.

Kata beliau: “Sekiranya seseorang itu membaca al-Quran dalam keadaan berdiri, berbaring, di atas katilnya atau keadaan-keadaan selainnya, maka ia diharuskan (dibolehkan) dan dia mendapat pahala.” (Rujuk Al-Tibyan fi Adab Hamalat Al-Quran, Al-Nawawi (Hlm. 80)

Jadi kesimpulannya, jika kita membaca al-Quran di atas katil ataupun dalam keadaan berbaring adalah harus.

Ia menzahirkan bahawa Islam adalah agama yang bersifat memudahkan dan penuh keluasan.

Namun begitu, perlu juga diingatkan bahawa keadaan yang paling sempurna dalam pembacaan al-Quran adalah apabila kita berada dalam keadaan duduk dengan penuh khusyuk dan tenang serta menundukkan kepala menghadap ke arah mushaf.

Sebaiknya, duduklah dengan penuh adab sama seperti apabila kita duduk di hadapan guru kita.

Walaupun tidak salah berbuat demikian, tetapi jika mampu buat lebih baik dan dibaca dengan beradab, kan lebih bagus.

(Sumber: Al-Kafi #1708: Hukum Membaca Al-Quran dalam Keadaan Baring, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

Komen

About Nurulfatiha

Biodata Penulis