KEWAJIPAN membayar zakat sememangnya tidak boleh dipandang enteng. Tidak kiralah sama ada kepada individu, perniagaan atau syarikat korporat.

Ia merupakan sedekah wajib yang perlu dilunaskan. Masakan tidak, ibadah zakat merupakan Rukun Islam ke-4.

Lazimnya, sebelum tahun baharu membuka tirainya, ia adalah masa yang paling sibuk bagi setiap orang untuk menunaikan ibadah zakat berkenaan.

Begitu juga dengan rangkaian restoran McDonald’s Malaysia. Syarikat berkenaan membayar zakat berjumlah RM1 juta bagi tahun 2020 baru-baru ini.

Jumlah itu merangkumi kesemua 14 negeri di Malaysia. Bagi zakat di Wilayah Persekutuan dan Selangor, ia telah disampaikan kepada Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi dua majlis berasingan baru-baru ini.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar menjelaskan, sejak tahun 2017, McDonald’s Malaysia yang diambil alih oleh Lionhorn Pte Ltd iaitu anak syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi, mula membayar zakat untuk diagihkan kepada golongan masyarakat yang memerlukan.

“Sebagai entiti perniagaan 100 peratus milik umat Islam dan sebagai sebuah syarikat yang mengendalikan operasi lebih daripada 300 restoran di seluruh negara ini, komuniti di kawasan kami beroperasi telah menjadi sebahagian daripada kami.

Zakat McDonald's

“Kami berharap sumbangan ini akan terus membantu golongan miskin di seluruh negara, terutamanya dalam suasana hidup semasa yang penuh dugaan ini,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

(Artikel berkaitan: Miskin akibat Covid-19, LZS bantu golongan terkesan)

Pada tahun ini juga, ujar Azmir, McDonald’s Malaysia telah menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada LZS. Sijil  berkenaan sedia terpamer di 95 buah restoran McDonald’s di Selangor.

“Di Wilayah Persekutuan pula, McDonald’s Malaysia juga merupakan entiti perniagaan yang pertama menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada PPZ-MAIWP pada tahun lalu.

“Sijil ini mengiktirafkan perniagaan Malaysia bagi sumbangan zakat korporat mereka di negeri-negeri Wilayah Persekutuan. Sijil-sijil ini sedia terpamer di 40 restoran-restoran McDonald’s Malaysia di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan,” jelasnya.

Iklan

Pada masa sama, beliau menambah, pihaknya turut bekerja rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk terus mendukung komitmen halal kepada para pelanggannya dalam semua aspek perniagaan.

“Kami juga terlibat secara aktif dalam pelbagai program halal sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk Pameran Halal Antarabangsa Malaysia, Fiesta Halal Malaysia dan Sidang Kemuncak Halal Sedunia.

Zakat McDonald's

“Sebagai restoran khidmat segera pertama di Malaysia yang menerima pensijilan halal daripada Jakim, halal di McDonald’s Malaysia merangkumi seluruh rantaian bekalan sumber dan operasi, daripada rasa makanan dan bahan ramuan halal hingga kebersihan restoran dan program komuniti yang disertai oleh syarikat,” katanya.

Iklan

Bagi memastikan standard halal yang ketat sentiasa dipatuhi, jelas Azmir, syarikat ini telah membentuk Jawatankuasa Halal Dalaman pada tahun 2013.

Jawatankuasa itu, katanya, ditugaskan untuk memantau pematuhan sepenuh secara menyeluruh melalui audit dan pemeriksaan mengikut tatatertib halal yang digariskan oleh Jakim.

“Ia terdiri daripada anggota-anggota yang mewakili lembaga pengarah, rantaian bekalan, jaminan kualiti, operasi, sumber manusia dan pemasaran. Dua pakar luar juga terlibat sebagai penasihat syariah,” jelasnya.