SEBAGAI hamba kepada Sang Pencipta, hidup seolah tidak lengkap seandainya tidak beristighfar kepada-NYA. Ya, itulah sepatutnya yang dilakukan oleh seorang hamba. Tiada perkara yang lebih baik untuk dilakukan selain beristighfar memohon keampunan-NYA daripada dosa-dosa yang telah dilakukan.

Walaupun Rasulullah SAW merupakan insan yang maksum, baginda sentiasa memohon ampun dan bertaubat kepada ALLAH SWT. Kita sebagai insan biasa, sewajarnya ucapan istighfar perlu meniti pada bibir setiap masa.

Sebenarnya, ucapan astaghfirullah itu bukan hanya untuk memohon keampunan daripada ALLAH SWT semata-mata, tetapi fungsi dan fadilatnya lebih daripada itu.

Berbicara tentang kuasa istighfar, kisah Imam Ahmad dan penjual roti merupakan salah satu cerita yang perlu dijadikan pedoman meskipun ia tidak diketahui daripada mana-mana kitab al-Tarajum dan al-Mana (dipetik daripada Irsyad al-Hadith Siri ke-498: Riwayat Imam Ahmad Berjumpa dengan Penjual Roti yang disiarkan melalui laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan April lalu).

Secara ringkasnya, ia mengisahkan bagaimana Imam Ahmad yang terdorong untuk menjejakkan kaki ke satu tempat di Iraq. Setibanya di sebuah masjid, seorang penjual roti telah mempelawanya bermalam di kedainya.

Sepanjang berada di situ, Imam Ahmad memerhatikan lelaki tersebut yang berusia dalam umur 60-an tanpa henti melafazkan astaghfirullah wa’atubuillahi. Melihat situasi berkenaan membuatkan Imam Ahmad bertanya apa yang diucapkannya. Lalu, lelaki berhati mulia itu berkata, beliau melafazkan zikir itu sejak usia remajanya kerana yakin ALLAH SWT akan memakbulkan doanya.

Bagaimanapun, penjual roti itu berkata, terdapat satu doa yang masih belum tertunai iaitu mahu bertemu dengan Imam Ahmad. Walhal, saat itu sebenarnya penjual roti berkenaan sedang berbicara dengan empunya badan!

Walaupun hukum istighfar pada asalnya adalah sunat, tetapi amalan mulia itu merupakan suatu tuntutan agama yang tidak boleh dilupakan. Mengapa istighfar begitu penting dalam kehidupan kita? Bilakah waktu terbaik dan paling afdal untuk beristighfar?

Amalan Rasulullah SAW

Mengupas lanjut mengenai istighfar, Sinar Islam mewanwancara pendakwah Ustaz Bakhtiar Fitri Abdul Hamid.

USTAZ BAKHTIAR FITRI



Jelas beliau, istighfar bermaksud memohon keampunan daripada ALLAH SWT. Terdapat beberapa maksud istighfar yang dinukilkan oleh beberapa ulama.

Antaranya, kata Ustaz Bakhtiar, permohonan ampun yang dibuat selepas melihat betapa buruknya maksiat dan berusaha berpaling daripadanya.

“Selain itu, makna lain istighfar adalah memohon keampunan dan penghapusan dosa serta berlindung daripada kejahatan.

“Istighfar juga merupakan perintah ALLAH SWT untuk mendapatkan keampunan-NYA sebagaimana yang disebutkan dalam kalamullah. Secara rumusannya, istighfar adalah melibatkan penyesalan terhadap maksiat, kemudian diikuti dengan perbuatan memperbaiki diri ke arah kebaikan dan istiqamah beribadah kepada ALLAH SWT,” katanya kepada Sinar Islam ketika ditemui di pejabatnya di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Firman ALLAH SWT: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah Ali Imran, ayat 133)

Bukan itu sahaja, Ustaz Bakhtiar Fitri menambah, istighfar juga menjadi amalan Nabi Muhammad SAW walaupun dalam keadaan baginda tidak membuat dosa.

“Bayangkan dalam satu hari, baginda beristighfar lebih 70 kali berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari. Apatah lagi, kita manusia yang tidak sunyi daripada berbuat dosa.

“Sebenarnya, baginda beristighfar untuk mengajar manusia supaya meminta ampun kepada ALLAH. Baginda mahu kita sedar bahawa hidup kita datangnya daripada-NYA. Maka, sudah tentulah kita memerlukan pengampunan-NYA,” katanya.

Seperkara, Ustaz Bakhtiar berpesan agar umat Islam sentiasa membasahkan lidah dengan istighfar pada setiap hari Jumaat dengan lafaz astaghfirullahal lazi la ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilaih (Aku memohon ampun kepada ALLAH, Tiada Tuhan melainkan-NYA, YANG MAHA HIDUP, YANG MAHA KEKAL MENTADBIR dan aku bertaubat kepada-NYA).

“Insya-ALLAH jika diamalkan, ALLAH akan mengampunkan dosa-dosa kita walaupun sebanyak buih di lautan menurut satu riwayat hadis,” katanya.

ALLAH ampunkan dosa

Menyambung hujahnya, pengasas Akademi UBF itu menjelaskan, fungsi istighfar bukan sahaja terbatas kepada memohon keampunan sahaja. Hakikatnya, skop istighfar sangat luas.

Beritahunya, istighfar merupakan kunci menuju ke jannah. Ia adalah prasyarat penting untuk kita meraih tempat dalam syurga ALLAH SWT. Andai tiada keampunan ALLAH, semakin jauhlah kita dengan syurga-NYA.

“Suka saya ingatkan, dosa dengan ALLAH, tidaklah sesukar mana DIA ampunkan. Apabila kita beristighfar dengan seikhlasnya, ALLAH pasti akan ampunkan. Walau sebanyak dan sebesar mana dosa yang dilakukan, janganlah berputus asa untuk memohon ampun. Lihatlah laut dan langit, betapa besarnya ciptaan ALLAH yang tiada pangkal dan akhirnya. Maka, lagi besarlah pengampunan ALLAH SWT.

Istighfar
SEBESAR mana pun dosa yang telah dilakukan, jangan berputus asa dan berhenti daripada beristighfar kerana ALLAH MAHA PENGAMPUN yang pasti akan mengabulkan permohonan ampun hamba-NYA.

“Pun demikian, jangan pula kita mengambil kesempatan dengan sifat ALLAH al-Ghaffar (MAHA PENGAMPUN). Usahlah sewenang-wenangnya berbuat dosa. Sebaliknya, berusahalah untuk berubah dan menjauhkan diri daripada kejahatan,” pesan beliau.

Namun begitu, jika dosa melibatkan dengan manusia lain, mahu atau tidak, kita perlu mendapatkan kemaafan daripada orang tersebut. Selagi tidak dimaafkan, tersangkutlah dosa itu.

Bagaimana pula dosa dengan manusia yang sudah meninggal dunia? Jawab Ustaz Bakhtiar: “Maaf diperoleh atas tubuh badan orang berkenaan. Jika perkara itu berlaku, maka dalam sebuah hadis menganjurkan agar kita mempelbanyakkan sedekah kerana ia akan menghapuskan dosa.

“Apabila hari kiamat kelak, akan berlaku tuntut bela. Jadi, dengan amalan sedekah tadi, ia akan ‘membayar’ kembali dosa-dosa kita sewaktu di dunia.”

Kepada satu soalan, pendakwah itu berkata, waktu terbaik beristighfar adalah ketika kita berbuat dosa.

“Siapa yang tidak sedar dirinya buat dosa? Pasti kita sedar dosa kita seperti lambat menunaikan solat, melawan cakap suami dan seumpamanya,” ujar beliau.

Pesan agamawan itu lagi, jadikan istighfar sebagai ‘mainan’ yang sentiasa meniti pada bibir. Paling tidak pun, selepas selesai solat, luangkanlah sedikit masa untuk beristighfar.

Mudahkan urusan, kesulitan

Apakah kelebihan beristighfar sehingga umat Islam diperintahkan untuk berbuat demikian?

Pendakwah Ustaz Mohd Hadi Talhah menjelaskan, terdapat banyak manfaat seperti yang disebutkan dalam pelbagai riwayat.

USTAZ MOHD HADI

Salah satu daripadanya adalah memudahkan urusan mendapatkan rezeki. Justeru, sesiapa yang rezekinya sukar, hendaklah memohon keampunan-NYA.

“Begitu juga jika diri kita ditimpa musibah, kita disarankan agar terus mengucapkan kalimah hebat itu kerana amalan tersebut sebenarnya berfungsi untuk menghilang musibah dengan izin-NYA,” ungkapnya.

Pendakwah berkenaan mengajak umat Islam menghayati kisah pesanan Imam Hasan al-Basri yang didatangi beberapa orang meminta bantuan dan nasihatnya.

“Ada seseorang bertanyakan tentang keadaannya yang miskin, lalu Imam Hasan al-Basri menasihatkan orang itu supaya meminta keampunan kepada ALLAH. Datang pula lelaki kedua yang berkata dirinya menghadapi musim kemarau, lalu Imam Hasan al-Basri menyuruh lelaki itu memohon keampunan ALLAH.

“Jawapan sama turut diberikan kepada individu yang datang mengadu tidak mendapat zuriat dan menyatakan kebunnya tidak menjadi. Ternyata semua jawapan yang sama itu menghairankan masyarakat di sekelilingnya,” katanya.

Imam Hasan al-Basri turut membacakan petikan Surah Nuh, ayat 10 hingga 13 yang berbunyi: “Maka aku berkata (kepada mereka), mohonlah keampunan kepada Tuhanmu, sesungguhnya DIA MAHA PENGAMPUN. Nescaya DIA akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepadamu dan DIA berikan harta dan anak-anak yang banyak dan diadakan kebun-kebun serta sungai-sungai untukmu.”

Melihat ungkapan ayat berkenaan, jelas Ustaz Mohd Hadi, ALLAH akan menjadikan setiap kesempitan itu ada jalan keluar, kelapangan dan mengurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka.

“Disebabkan itulah apabila ingin meminta sesuatu hajat, kita diminta untuk beristighfar bagi membersihkan diri daripada dosa. Ketahuilah, lafaz istighfar terbaik adalah sayyidul istighfar sebagaimana disebutkan dalam Hadis Riwayat al-Bukhari.

“ALLAH menjanjikan balasan syurga kepada orang yang membacanya dengan penuh keyakinan dan meninggal dunia pada hari tersebut,” katanya.

Antara membaca al-Quran dan istighfar, yang mana lebih baik dilakukan sebelum solat Subuh? Jawab Ustaz Mohd Hadi, jika ia melibatkan satu per tiga malam, maka istighfar lebih afdal.

“Istighfar merupakan doa paling afdal. Jadi, mohonlah keampunan bila berbuat dosa. Keampunan dan rahmat ALLAH adalah doa yang paling penting berbanding doa lain. Ia doa untuk akhirat,” katanya mengakhiri bicara.

Beza antara istighfar dan taubat

Ramai yang menganggap istighfar itu sama dengan taubat. Hakikatnya, ia merupakan dua perkara yang berbeza, demikian tegas pendakwah Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz.

HASSAN MAHMUD

Jelas beliau, istighfar atau memohon keampunan ALLAH SWT bersifat umum, manakala taubat pula lebih khusus.

“Apa yang dimaksudkan adalah istighfar itu perkataannya lebih umum. Ini bermakna sesiapa saja boleh beristighfar untuk perkara-perkara umum tanpa mengira apa jenis masalah kita.

“Namun, tidak pada taubat yang mana ia lebih khusus dan kemudian mengandungi ikrar dan sumpah,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengulas lanjut tentang taubat, Hassan Mahmud menjelaskan bahawa ia terbahagi kepada dua kategori iaitu taubat nasuha dan taubat biasa.

“Mereka yang bertaubat tidak boleh mengulangi kembali dosa yang telah dilakukan. Pada masa sama, orang yang bertaubat juga ada masa-masa bertaubat. Taubat paling istimewa sekali apabila kita menunaikan solat sunat taubat.

“Pada waktu ini, ada bacaan-bacaan yang ditetapkan dalam solat diiringi dengan doa. Waktu terbaik taubat pula adalah pada tengah malam. Taubat juga bersifat khusus kerana ada peraturan tertentu dalam solat,” jelasnya.

Berbeza pula dengan istighfar, amalan mulia itu boleh dilakukan pada bila-bila masa dan bukan ditunaikan ketika dalam solat. Sebaliknya, ia boleh dilafazkan usai mengerjakan solat.

“Mudah kata, untuk jalan menuju taubat, ia berlaku apabila seseorang individu itu banyak menangis. Istighfar itu pula ibarat suatu keinsafan hasil daripada menangis tadi.

“Sementara itu, taubat pula merupakan jalan menuju kepada hubbullah (mencintai ALLAH). Inilah kemuncak kepada taubat yang mempunyai tingkat-tingkat tertentu,” katanya.

Bagaimana pula jika seseorang melakukan kesalahan yang sama selepas beristighfar? Jawab agamawan itu, kesedaran dan keinsafan perlu ada dalam diri, selain tujuan memohon keampunan.

“Bila kita sendiri tak tahu tujuan, sukar untuk melaksanakan suatu perkara. Tanpa tujuan, ia seolah-olah kita mengambil sikap sambil lewa dalam hal ini.

“Jika kesedaran sudah ada, pastinya kita akan bersungguh-sungguh amalkan dan tinggalkan perkara yang melorongkan diri kita untuk mengulangi kesalahan,” katanya.

Pesan agamawan itu lagi, jadikan istighfar sebagai ‘mainan’ yang sentiasa meniti pada bibir. Paling tidak pun, selepas selesai solat, luangkanlah sedikit masa untuk beristighfar.

Istighfar
TATKALA diri sedang ditimpa kesulitan, beristighfarlah kepada ALLAH SWT agar dileraikan daripada kebuntuan yang dihadapi.

ANEKDOT

Syarat-syarat istighfar

SYARAT-SYARAT istighfar

1. Niat yang ikhlas semata-mata kerana ALLAH

Ketahuilah bahawa ALLAH SWT tidak akan menerima amal perbuatan seseorang manusia itu kecuali jika ia dilakukan ikhlas dan semata-mata untuk-NYA.

2. Hati dan lidah serentak beristighfar

Kedua-dua hati dan lidah perlu bergerak seiring, barulah mencapai matlamat yang sama. Bayangkan jika hanya lidah sahaja yang beristighfar, sementelah hati pula berbolak-balik ingin kembali melakukan maksiat, memang kita tidak akan ke mana-mana. Malah, perbuatan itu seolah-olah memperlihatkan kita sedang mempersendakan ALLAH SWT.

3. Jaga adab beristighfar

Pertama sekali, sebelum memohon keampunan kepada ALLAH, pastikan diri dalam keadaan suci dan sempurna. Ia merupakan perkara paling penting terutama dalam setiap ibadah yang hendak dikerjakan.  Seperkara lagi, antara adab berkenaan adalah pilihlah waktu yang utama iaitu sebelum menjelangnya subuh. Itu adalah waktu afdal untuk kita beristighfar.

Sumber: http://kompasiana.com

Foto: 123rf