SAAT dikhabarkan isterinya hamil, Amzar Zahidi (bukan nama sebenar) gembira tidak terkata. Dirinya bakal menjadi seorang ayah hasil perkongsian hidupnya bersama wanita yang paling dicintai, Aida Ahmad (bukan nama sebenar).

Lelaki itu bekerja keras untuk menyambut orang baharu dalam keluarga. Tanggungjawabnya juga semakin bertambah dengan bayi yang bakal lahir tidak lama lagi. Apatah lagi Aida terpaksa berhenti kerja kerana mengalami alahan kehamilan yang teruk.

Bermula sejak itu, bermacam-macam jenis pekerjaan sampingan yang dilakukan oleh Amzar untuk menyara keluarga kecilnya. Selepas dikurniakan anak kedua, kehidupan Amzar sekali lagi diuji.

Meskipun sudah pelbagai jenis kerja dibuat, namun pendapatannya tidak cukup untuk menampung keluarga.

Atas saranan rakannya, Amzar membuat keputusan untuk berhijrah dan membantu rakannya yang mengusahakan perniagaan dobi di negeri selatan tanah air.

Pun demikian, lelaki tersebut hanya berhijrah sendirian dek kerana kewangan yang masih belum stabil. Dengan berat hati, Aida terpaksa merelakan pemergian suaminya demi masa depan mereka sekeluarga yang lebih baik.

Bermulalah episod baharu Amzar di negeri orang. Beliau tinggal di kediaman yang disediakan oleh rakannya. Perniagaan dobi kawan Amzar juga nampaknya maju apabila mempunyai pelanggan tetap terdiri daripada pelajar asrama, hotel dan butik pengantin.

Tinggal berjauhan dengan keluarga membuatkan Amzar dihambat rasa sunyi. Boleh dikatakan hampir saban hari, lelaki itu akan melakukan panggilan video berbual dengan isteri dan anak-anaknya.

Namun, ia sekadar jadi pengubat rindu, tetapi tidak dapat menangkis kesepian hatinya. Entah di mana silapnya, lelaki itu mula mendekati premis rumah urut.

Tujuannya hanyalah mahu mendapatkan khidmat urutan semata-mata untuk melenyapkan rasa sunyi dan tidak lebih daripada itu.

Ternyata nasib tidak menyebelahinya. Kali kedua kunjungannya ke premis berkenaan, Amzar dicekup oleh pihak berkuasa agama kira-kira jam 10.30 malam. Ketika itu, beliau didapati bersama seorang wanita bukan Islam dalam keadaan menimbulkan syak di sebuah bilik.

Lelaki itu menyesal tidak terkata. Apakan daya, nasi sudah menjadi bubur, tiada apa yang dapat mengubahnya.

Amzar terpaksa akur dengan dakwaan ditangkap khalwat bersama wanita yang bukan mahram. Ketika proses pendakwaan dan mitigasi, Amzar mengaku bersalah. Pada masa sama, beliau mengaku masih menampung isteri dan dua anak yang bergantung sepenuhnya kepadanya.

Namun, pendakwa syarie dalam hujahnya menyatakan: “Ini adalah premis urut. Tangkapan tersebut merupakan teguran kasih sayang ALLAH SWT. Kesalahan bagi dirinya, namun fitnah kepada umat Islam jauh lebih besar. Di dalamnya, ada kesan kepada masyarakat keseluruhan.”

Setelah mendengar dan meneliti pertuduhan serta fakta-fakta kes, mahkamah syariah memutuskan, Amzar ditahan di sebuah pusat pemurnian akidah selama enam bulan.

Amzar akur dengan keputusan berkenaan. Namun, lelaki itu dihimpit rasa bersalah kepada isteri dan anak-anaknya seumur hidupnya.

Jaga keturunan dengan tidak mendekati perbuatan zina

Sikap tidak berfikir panjang dan dahagakan hiburan dengan cara mudah menyebabkan segelintir masyarakat mendekati perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai agama dan undang-undang seperti berkhalwat.

Demikian reaksi dilontarkan oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Terengganu, Fazru Anuar Yusof terhadap kes Amzar Zahidi.

Iklan

“Dalam menangani isu sebegini, Islam telah mensyariatkan perkahwinan sebagai jalan untuk memenuhi tuntutan psikologi dan fitrah manusia.

“Justeru, seseorang itu haruslah berpegang teguh kepada nilai agama agar tidak goyah dengan keseronokan yang merosakkan, di samping adanya undang-undang yang berfungsi sebagai ingatan dan amaran kepada masyarakat Islam khususnya,” katanya menerusi e-mel kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Jelas Fazru Anuar, setiap negeri mempunyai peruntukan undangundang berkaitan jenayah syariah khalwat. Namun begitu, hukuman yang ditetapkan adalah berbeza.

“Sebagai contoh, hukuman yang diperuntukkan di Wilayah Persekutuan adalah denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau keduaduanya,” katanya.

Hukuman itu sama dengan negeri Johor, Pahang, Pulau Pinang, Sarawak, Selangor dan Terengganu, namun berbeza pula di Melaka, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Sabah.

Adakah sama hukuman yang diperuntukkan kepada individu bujang dan berkahwin yang berkhalwat? Fazru Anuar menjawab: “Merujuk kepada setiap enakmen antara negeri, tidak diperuntukkan perbezaan hukuman antara individu bujang mahupun yang sudah berkahwin.

Iklan

“Cuma berdasarkan kajian ke atas beberapa kes khalwat, terdapat perbezaan yang boleh dilihat pada jumlah hukuman yang dijatuhkan hakim kepada dua status individu ini. Ia mengikut kepada elemen-elemen yang dibuktikan dan keterangan daripada pihak-pihak serta hujah pendakwa dan peguam syarie.”

Dalam pada itu, peguam syarie itu turut mengingatkan agar umat Islam tidak mendekati zina yang merupakan antara perkara diharamkan oleh agama sebagaimana disebutkan dalam Surah al-Isra’, ayat 32.

Khalwat
ISTERI dan anak merupakan amanah suami yang perlu dijaga dengan sebaiknya. Jangan sesekali sia-siakan tanggungjawab yang diberikan.

“Ketahuilah, menjaga keturunan merupakan salah satu antara lima cabang maqasid syariah yang mana ia merupakan jaminan kesinambungan nasab yang suci agar tetap berkembang dengan sihat dan kukuh.

“Untuk memastikan maqasid syariah menjaga keturunan dicapai dengan baik, Islam menghalalkan pergaulan antara suami isteri yang telah diikat dengan akad yang sah. Sebaliknya, zina diharamkan bagi melindungi manusia daripada keturunan yang tidak baik,” katanya.

Sehubungan itu, saran beliau, mereka yang menyedari diri terdedah kepada perbuatan maksiat agar segera menguatkan diri dengan pemahaman ilmu agama dan mengisi masa lapang dengan program bersifat rohani seperti mengikuti usrah dan ceramah.