SEMUA orang sedia maklum tentang kewajipan membayar hutang. Jika sudah namanya berhutang, mahu atau tidak, ia perlu dilunaskan mengikut tempoh yang dijanjikan.

Ia sebagaimana apabila kita berhutang dengan institusi kewangan, setiap bulan ada amaun tertentu yang perlu dibayar kepada pihak bank berkenaan.

Alangkah bagusnya jika sistem yang sama turut digunapakai seandainya kita berhutang dengan orang lain. Tidak kiralah saudara mara mahupun kenalan.

Hakikatnya, sukar benar untuk perkara itu dilakukan sehinggakan ada banyak kes yang mana pemiutang terpaksa menuntut balik wang yang dipinjamkannya kepada penghutang.

Malah, ada juga yang sudah bertahun-tahun menuntutnya, tetapi masih tidak dapat semula wang yang pernah dipinjamkan.

Bercakap tentang hutang ini, jika kita pernah berhutang dengan menggunakan mata wang selain daripada ringgit, bagaimana ia perlu dilangsaikan? Adakah perlu menggunakan mata wang berkenaan juga?

Bolehkah jika wang tadi dibayar semula dengan mata wang ringgit? Namun, bagaimana pula dari segi pengiraannya sama ada mengikut kadar nilai semasa atau ketika kita pinjam wang tersebut?

Menjawab persoalan itu, pendakwah dan penulis, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, jika seseorang berhutang dengan sejumlah wang tertentu, maka menjadi kewajipannya untuk membayar hutang kepada pemiutang dengan jumlah yang dipinjam.

DR SYED SHAHRIDZAN

Katanya, apa yang dibayar semula itu tidak boleh kurang daripada jumlah itu melainkan dengan persetujuan pemiutang.

“Sebagai contoh, jika seseorang itu berhutang dengan rakan sebanyak AS$3,000, maka wajib ke atasnya membayar jumlah terebut kerana ini adalah janjinya kepada kawan tadi.

“Tambahan pula, ia adalah syarat yang telah ditetapkan ketika individu berkenaan berhutang dengannya,” katanya dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

(Artikel berkaitan: [VIDEO] Hutang masih belum habis bayar, tapi tetap mahu bersedekah. Ini yang wajib kita ambil tahu)

Rasulullah SAW bersabda: “Orang-orang Islam di atas syarat-syarat (yang telah ditetapkan ke atas) mereka, melainkan syarat yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram”. (Riwayat al-Tirmizi)

Melihat ungkapan hadis itu, jelas Dr Syed Shahridzan, kewajipan membayar hutang perlu dilangsaikan dengan amaun yang diberi hutang pada masa itu.

Namun begitu, beliau menambah, hutang berkenaan juga boleh dibayar dalam mata wang lain seperti ringgit asalkan mendapat persetujuan daripada pihak pemiutang dengan nilai semasa.

“Katakan hutang AS$3,000 tadi, ia perlu dibayar mengikut harga semasa contohnya RM4.20 x 3,000. Jika dibayar dengan kadar yang lama ketika diberi pinjaman, umpamanya RM3.80 x 3,000, maka ini akan menzalimi si pemiutang kerana pastinya dia akan mendapat jumlah yang kurang jika ditukar kepada mata wang dolar Amerika Syarikat.

“Ketahuilah, kewajipan membayar hutang dengan nilai mata wang terkini tidak dikira menzalimi penghutang tadi kerana sudah menjadi kewajipannya melunaskan jumlah yang dipinjam  dalam bentuk AS$ ketika itu,” ujar beliau.

Iklan
Hutang
LUNASKANLAH hutang mengikut jumlah yang dipinjam pada masa yang ditetapkan.

Begitupun, jika mahu juga membayar dengan kadar nilai mata wang yang lama iaitu ketika ia dipinjam, Dr Syed Shahridzan menjelaskan, ia boleh dilakukan dengan syarat pemiutang tadi bersetuju dan reda.

“Jika si pemiutang menuntut haknya yang penuh iaitu AS$3,000, maka penghutang tadi wajib memenuhi jumlah tersebut walaupun nilai ringgit Malaysia jatuh.

“Begitu juga jikalau nilai ringgit naik/kuat, penghutang tetap kena membayar dalam AS$,” katanya.

Agamawan itu turut memberikan contoh mudah untuk kita fahami tentang hutang yang boleh dibayar dengan mata wang berbeza atas persetujuan kedua-dua pihak, tetapi dengan mengikut jumlah wang yang dipinjam ketika itu.

Iklan

“Dalam Hadis Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Nasai, Rasulullah SAW membenarkan Saidina Ibnu Umar RA menjual untanya dengan harga dinar (emas), kemudian menerima bayaran dalam bentuk dirham (perak), asalkan jumlah dirham bersamaan dengan jumlah dinar,” katanya.

Justeru, kita perlu melunaskan hutang mengikut jumlah yang dipinjam.

Tiada masalah untuk membayar menggunakan mata wang lain dengan persetujuan pemiutang, tetapi ia perlulah menggunakan nilai semasa.

Sumber: Facebook Syed Shahridzan Ben-Agil

Foto: Freepik