KEWAJIPAN zakat fitrah tidak ‘gugur’ meskipun kita sekarang masih lagi dalam Peritah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Memandangkan kebanyakan pusat zakat dan Majlis Agama Islam Negeri meminimumkan pungutan zakat menerusi amil untuk mengekang wabak Covid-19, mahu atau tidak terpaksalah kita bayar online.

Bagaimanapun situasi new normal dalam pembayaran zakat itu masih menimbulkan tanda tanya ramai orang. Apa tidaknya, benda baharu dan jarang dibuat, memang banyaklah pertanyaannya.

“Sah ke bayar zakat fitrah tanpa lafazkan akad?”

“Alamak, aku lupa nak akad masa bayar zakat fitrah online tadi. Macam mana ni? Sah ke tak zakat tadi?”

Begitulah soalan-soalan yang sering kali menimbulkan rasa waswas dalam kalangan warganet.

Itu belum lagi cerita mereka yang dah bayar guna e-dompet seperti Boost dan sebagainya, tapi tiada akad.

Lazimnya jika pembayaran dibuat menerusi e-zakat di pusat zakat mengikut pihak berkuasa negeri masing-masing, kita akan disuruh baca lafaz ketika berzakat.

Namun, tiada akad jika mereka membayar zakat fitrah menggunakan aplikasi e-dompet.

Adakah sah zakat fitrah yang dibayar dalam talian tanpa akad?

Pegawai Hal Ehwal Islam di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Muhammad Fahmi Rusli memberikan penjelasan kepada soalan itu menerusi Twitter miliknya baru-baru ini.

Jelas beliau, membayar zakat secara dalam talian adalah sah hukumnya walaupun akad tidak dilafazkan.

“Umumnya, zakat adalah sama seperti keseluruhan ibadah yang lain yang memerlukan kepada niat.

“Niat ini pula, wajibnya di dalam hati dan bukannya menerusi lafaz di lidah,” ujar beliau.

Seperkara lagi, Ustaz Muhammad Fahmi menjelaskan, zakat merupakan kategori sedekah.

“Ia sama keadaannya dengan hibah. Memadai serah dan terima,” katanya.

Begitulah jawapan ringkas beliau. Semoga jawapan tadi meleraikan kekusutan ramai orang tentang perkara ini.

Macam mana nak tahu deadline bayar zakat fitrah ni?

Sebenarnya ada lima waktu menunaikan zakat fitrah yang kita wajib tahu:

1. Waktu wajib

Iklan

Apabila terbenam matahari akhir Ramadan sehingga terbit matahari satu Syawal.

2. Waktu afdal

Sebelum sembahyang Hari Raya

3. Waktu sunat

Sepanjang bulan Ramadan

4. Waktu makruh

Iklan

Selepas solat Hari Raya sehingga terbenam matahari satu Syawal.

5. Waktu haram

Selepas terbenam matahari satu Syawal

Kepada mereka yang belum melunaskan lagi zakat fitrah, jangan lupa bayar ya.

(Sumber: @fahmirusliMFR & laman web Lembaga Zakat Selangor)