“JOM pergi makan sama-sama. Nanti bolehlah kita nak ‘membawang’.”

Istilah ‘membawang’ begitu popular sejak akhir-akhir ini. Bukan sahaja di media sosial, tetapi ia juga digunakan dalam dialog seharian.

‘Membawang’ bermaksud kita menceritakan tentang perihal orang lain dan bergosip. Pendek kata, ‘membawang’ sama dengan mengumpat. Hanya dibezakan oleh istilah yang digunakan.

Kadangkala kedengaran suara-suara sumbang mengatakan: “Membawang saja tak mengapa, bukannya mengumpat.”

Anggapan itu jelas tidak benar sama sekali. Apa tidaknya, bila topik utama kita berkisarkan tentang orang lain, sedikit sebanyak sisi keburukan individu itu juga akan menjadi perbualan hangat.

Rasulullah SAW bersabda: “Adakah kamu tahu apakah itu mengumpat?” Para sahabat berkata: “Hanya ALLAH dan Rasul-NYA yang mengetahuinya.” Baginda SAW bersabda: “Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya.” (Riwayat Muslim)

Malah, perbuatan itu juga mengundang dosa yang berpunca daripada lidah. Ketahuilah dosa berkenaan boleh menjerumuskan pelakunya ke neraka.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba berbicara dengan suatu perkataan yang tidak dia fikir, sehingga dengannya dia terjerumus ke dalam neraka yang jaraknya lebih jauh daripada timur dan barat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Namun, adakalanya apabila kita duduk bersama rakan-rakan atau keluarga secara berkumpulan, memang sukar untuk mengelak daripada ‘membawang’.

Apakah yang boleh dilakukan untuk mengelakkan diri daripada aktiviti yang tidak berfaedah tadi tadi? Bagaimana untuk membebaskan diri daripada sertai aktiviti ‘membawang’?

1. Diam adalah lebih baik

Andai cerita tentang keburukan orang dijaja, maka diam adalah jalan yang terbaik. Jangan mengiyakan atau menidakkan.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang diam, dia telah terselamat.” (Riwayat at-Tirmizi dan Ahmad)

Pada masa sama, doakan rakan kita yang mengumpat tadi. Semoga ALLAH mengampunkan dosanya kerana mengumpat dalam keadaan jahil.

Seandainya mampu, tegurlah rakan tadi. Namun, jika khuatir tindakan itu boleh memalukannya di hadapan orang lain, tegurlah ketika hanya bersendirian dengannya.

Membawang
ELAKKAN bercerita tentang perihal orang lain ketika bertemu rakan-rakan.

2. Cerita tentang kisah diri sendiri

Sebaiknya, menceritakan tentang hal sendiri adalah lebih baik berbanding cerita tentang keburukan orang lain dan kemudian tanpa sedar ‘membawang’.

3. Usah bercakap tentang perihal orang lain

Mungkin cara ini agak sukar sikit apalagi jika kita kumpul ramai-ramai. Namun, kita cuba juga lakukan perkara ini.

Pasakkan dalam diri untuk tidak membuka cerita apatah lagi tentang keburukan orang lain. Ingatlah bahawa setiap cerita buruk yang benar tentang seseorang itu, akan bertambahlah saham dosa mengumpat kita.

Jika cerita yang disampaikan pula tidak benar, dosa memfitnah pula akan mengalir. Mintalah kita dijauhkan daripada perkara ini.

4. Fikir dahulu sebelum bercakap

Iklan

Berhati-hatilah bila menuturkan kata-kata. Sebelum bercakap, fikirkan kesannya apabila menceritakan keburukan orang diceritakan.

Takutlah dengan ancaman neraka jika kita ‘membawang’ secara semberono.

Ingatlah bahawa ‘membawang’ menjadi haram jika mengandungi unsur mengumpat atau ghibah’. 

Namun begitu, ada beberapa keadaan yang diharuskan oleh syarak untuk mengumpat atau memperkatakan tentang orang lain. Begitupun, tidak boleh sewenang-wenangnya dilakukan apatah lagi di media sosial secara terbuka.

Membawang
ELAKKAN diri daripada membawang ketika berborak bersama kenalan kita.

Menurut Imam al-Nawawi, antara situasi yang diharuskan syarak untuk mengumpat adalah:

1. Membantu dalam menentang perkara mungkar dengan tujuan supaya pelaku kembali ke jalan yang benar.

2. Membuat aduan apabila dizalimi kepada pihak yang bertanggungjawab.

3. Menceritakan kepada mufti untuk meminta fatwa.

Iklan

4. Ceritakan perihal dosa yang dilakukan orang secara terang-terangan.

5. Mencegah umat Islam daripada keburukan dan menasihati mereka.

6. Menyebut sesuatu sifat yang telah makruf (diketahui) kepada diri seseorang.

Justeru, berhati-hatilah dalam setiap tindakan agar ia tidak memberatkan bank dosa kita di akhirat kelak.

Elakkan diri daripada bercerita perihal keburukan orang lain atau ‘membawang’ kecuali jika berada dalam situasi dibenarkan oleh syarak.

Sumber: Portal Muslim Volunteer Malaysia & Majlis Ulama ISMA