“ISH, teruk betul kau usik Zarina tadi. Sampai menangis dia dibuatnya. Tak baiklah kau buat macam ni.”

Demikian teguran Naurah kepada rakan baiknya, Shahila. Meskipun dia rapat dengan Shahila, namun tidak semua perkara dia bersetuju dengan sahabatnya itu. Apatah lagi, jika melibatkan perkara yang boleh mengguris hati orang lain. Kerana sayang rakan karibnya itulah dia menegur Shahila.

“Aku bukan buat apa pun, cuma bergurau je dengan Zarina. Tak sangka pula dia boleh nangis sebab prank tadi,” balas Shahila.

Sedar atau tidak, kadangkala situasi itu kita hadapi dalam kehidupan kita. Benar, hidup terasa ‘kosong’ sekiranya ia tidak diisi dengan gurau senda dan usikan. Siapa yang nak hidupnya statik sahaja, bukan?

Namun, ketahuilah bahawa Islam sebenarnya ada menyediakan garis panduan yang lengkap dalam kita melayari kehidupan di muka bumi ini. Bukan semberono hendak bergurau senda dan mengusik orang tak tentu pasal.

Bagaimana cara senda gurau yang dibenarkan oleh Islam? Jom kita ikuti pandangan Perunding Latihan dan Motivasi, Akademi Magnet Sukses, Ustaz Abd Razak Muthalib tentang perkara ini:

USTAZ ABD RAZAK

“Islam adalah agama yang sentiasa meraikan fitrah insan. Antara fitrah insan termasuklah ingin bergembira, ketawa sesama rakan dan bergurau senda.

Seandainya seseorang berperwatakan serius sahaja sepanjang masa, tiada unsur humor dan sebagainya, sebenarnya beliau telah menafikan fitrah seorang manusia biasa.

Rasulullah SAW sendiri tidak menafikan fitrah sebagai manusia yang sukakan suasana gembira dan ceria. Ada waktunya baginda akan bergurau senda bersama isteri-isteri dan sahabat-sahabat baginda. Cara baginda bergurau senda itulah yang sepatutnya menjadi panduan kepada kita.

Ada beberapa peristiwa yang menceritakan bagaimana Rasulullah SAW bergurau senda bersama sahabat.

Anas bin Malik meriwayatkan: “Ada seorang lelaki meminta kepada Rasulullah SAW supaya dibawa menaiki tunggangan.” Rasulullah SAW berkata kepada lelaki itu: “Aku akan beri kamu menunggang anak unta betina.” Lelaki itu berkata: “Wahai Rasulullah, apakah yang dapat aku lakukan dengan anak unta betina?” Lalu dijawab oleh Rasulullah SAW: “Bukankah semua unta adalah anak kepada unta betina?” (Riwayat al-Tirmidzi dan Abu Daud)

Dalam hadis itu, Rasulullah SAW bergurau dengan mengusik emosi lelaki tersebut bahawa beliau akan mendapat anak unta betina. Walhal, ia hanyalah gurauan baginda. Sememangnya semua unta adalah anak kepada unta betina yang melahirkannya.

Dalam peristiwa yang lain, diceritakan bagaimana Rasulullah bergurau dengan seorang wanita tua.

Hasan al-Basri meriwayatkan: “Seorang wanita tua bertemu dengan Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, tolonglah berdoa kepada ALLAH agar aku dapat masuk syurga.” Rasulullah SAW menjawab: “Wahai ibu, syurga tidak dihuni oleh orang tua.” Mendengar jawapan Rasulullah SAW, wanita itu pergi dari situ sambil menangis teresak-esak. Rasulullah SAW kemudian bersabda: “Beritahu kepada wanita tua itu, dia tidak akan masuk ke syurga dengan keadaan usia tua. Sesungguhnya ALLAH SWT berfirman: Sesungguhnya KAMI menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung, dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh cinta lagi sebaya umurnya [Surah Al-Waqi’ah ayat 35-37].” (Riwayat Tirmidzi)

Oleh sebab itu, baginda berpesan apabila ditanya oleh sahabatnya:

Abu Hurairah RA meriwayatkan, para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah kamu bergurau dengan kami?” Rasulullah SAW menjawab: “Aku tidak pernah berkata perihal yang tidak benar.” (Riwayat al-Tirmidzi)

Berdasarkan dua riwayat itu, Rasulullah juga memasukkan unsur humor dalam pergaulan baginda. Gurauan baginda adalah sesuatu yang benar, bukannya cerita yang dibuat-buat semata-mata untuk membuatkan orang lain ketawa. Maka, bergurau pun mesti dengan sesuatu yang benar.

Larangan prank

Iklan

Dalam konteks kita pada hari ini, ada satu trend wujud yang disebut prank (usikan). Asas kepada tujuan mengusik itu dilakukan adalah untuk bergurau. Dengan niat bergurau, mereka yang melakukannya merasakan tiada masalah berbuat demikian.

Bergurau senda
JANGAN melampau ketika bergurau senda tidak kiralah sama ada dengan keluarga, rakan atau sesiapa sekalipun.

Ketahuilah bahawa perbuatan usikan yang boleh menimbulkan rasa takut, gelisah, terkejut dan sebagainya dilarang oleh agama.

Abdul Rahman bin Abi Laila meriwayatkan yang mana beliau mendapat berita daripada beberapa sahabat mengenai satu peristiwa. Ketika dalam satu permusafiran bersama Rasulullah pada waktu malam, ada beberapa sahabat yang tidur.

Lalu, sebahagian mereka mengambil barang (tali) sahabat tersebut dan menyembunyikannya. Kemudian apabila dia terjaga, lalu dia terkejut dan tercari-cari di mana barangnya. Sahabat-sahabatnya yang lain pun mentertawakannya. Melihat kejadian tersebut, lantas Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak halal bagi seorang Muslim menakut-nakutkan Muslim yang lain.” (Riwayat Abu Daud dan Ahmad, disahihkan oleh Syu’aib al-Arnaut)

Sekalipun usikan yang dilakukan hanya sekadar ingin bergurau, namun ia boleh memberikan kesan negatif atau risiko bahaya kepada mangsa.

Barangkali ia boleh menjejaskan hubungan silaturahim, menimbulkan kemarahan, pergaduhan dan mungkin juga risiko kematian akibat terkejut dan sebagainya. Oleh sebab itu, baginda melarang perbuatan sebegini dilakukan.

Iklan

Kadangkala berlaku juga cara usiakan dengan menjadikan orang lain sebagai bahan ejekan atau gurauan sehingga si mangsa memberikan reaksi yang mengaibkannya.

Kemudian, orang lain beramai-ramai mentertawakannya. Hati-hati bagi yang melakukan usikan itu kerana ia boleh termasuk dalam larangan ALLAH SWT.

Tidak salah untuk kita bergurau senda dengan tujuan mencetuskan suasana ceria. Bagaimanapun, ia mesti berpada-pada dan tidak melampaui batas sehingga menimbulkan pula impak negatif.

Justeru, hiasi dan selitlah pergaulan kita dengan babak-babak bergurau senda agar kehidupan kita menjadi ceria dan gembira.

Begitupun, jangan sampai niat bergurau itu sehingga mengundang kepada dosa,” pesan beliau.

Ingat ya, bergurau pun ada batas. Berpada-padalah ketika menuturkan kata, kelak badan sendiri yang akan binasa!