Bekas isteri abai anak-anak, bapa dapat hak hadanah

November 7, 2020
Oleh Nurulfatiha

IMPIAN Azman Khalid (bukan nama sebenar) dan Maizura Mohamad (bukan nama sebenar) untuk sehidup semati akhirnya hanya tinggal impian.

Hubungan suami isteri yang dibina atas dasar cinta terlerai jua. Selama enam tahun mereka menyulam kasih sebagai suami isteri, namun ia tidak berakhir dengan baik gara-gara tiada persefahaman lagi.

Namun, apakan daya, lelaki itu sebenarnya banyak makan hati dengan sikap acuh tidak acuh bekas isterinya sepanjang hidup bersama

Rasa bahagia dinikmati pada awal perkahwinan. Sebaik dikurniakan anak perempuan yang pertama, Maizura seperti tidak kisah. Tanggungjawabnya sebagai ibu banyak diserahkan bulat-bulat kepada si suami dan ibu mertuanya.

Segala tugas seperti memandikan anak, menukar lampin dan mengasuh jarang dilakukannya. Wanita itu terlalu sibuk dengan kerjayanya.

Maizura bekerja dalam sektor swasta, sementelah Azman pula hanyalah pemandu teksi. Barangkali faktor waktu kerja Azman yang fleksibel menyebabkan Maizura bersikap lepas tangan untuk menjaga anak mereka.

Tambahan pula, kediaman mereka berdekatan dengan rumah ibu Azman. Mudahlah jika ingin menghantar anak ke rumah orang tua Azman seandainya ada sebarang kecemasan.

Bagaimanapun, sikap Maizura tetap juga sama selepas mereka dikurniakan zuriat kedua. Wanita itu enggan berubah. Maizura begitu mementingkan diri dan kerjayanya berbanding cahaya matanya.

Mungkin dirinya merasakan suaminya itu memiliki lebih banyak masa dan boleh bercuti pada bila-bila masa.

Suatu hari, salah seorang anak mereka diserang cacar air. Tidak seperti ibu-ibu yang lain yang sanggup mengambil cuti demi menjaga anak yang sakit, Maizura pula bersikap sebaliknya. Beliau enggan pulang ke rumah langsung, malah cuba menjauhkan diri kerana enggan dijangkiti.

Maka, Azman dan ibunyalah yang bersengkang mata menjaga si kecil itu. Pada waktu itu, amarah Azman begitu membuak-buak terhadap isterinya.

Sampai hati seorang ibu sanggup mengabaikan anak sendiri. Bagi Azman, perlakuan itu sudah melampau. Maka, berpisah disifatkan jalan terbaik.

Ketika dalam proses perceraian di mahkamah syariah, Azman telah membuat tuntutan memohon kepada pihak mahkamah untuk mendapatkan hak penjagaan kedua-dua anak mereka.

Masakan tidak, Azman bimbang dengan keadaan anak sulungnya. Psikologi anaknya terganggu dan perangainya bertukar menjadi pendiam setelah adiknya iaitu anak keduanya dibawa keluar oleh Maizura selepas sah berpisah.

Abai anak
SEORANG ibu yang mengabaikan anaknya akan hilang hak hadanah jika tidak menepati keseluruhan atau salah satu daripada syarat-syarat ditetapkan untuk memiliki hak penjagaan yang sah.

Segala bukti dan fakta telah dikemukakan Azman kepada pihak mahkamah bagi menyokong permohonan dan keterangannya.

Setelah mahkamah meneliti klausa dan semua keterangan, akhirnya hakim memutuskan, hak jagaan dua orang anak itu diberikan kepada Azman sebagai bapa kandung.

Sementara itu, Maizura sebagai ibu kandung pula hanya diberikan hak melawat pada bila-bila masa yang sesuai dan munasabah dengan memaklumkan kepada Azman terlebih dahulu.

Iklan

Hati Azman lega mendengar keputusan hakim. Beliau beriltizam untuk menjadi bapa terbaik buat anak-anaknya.

(Artikel berkaitan: Jangan maki hamun anak-anak, kelak ia akan berbalik kepada kita)

Hak hadanah ibu hilang apabila abaikan, aniaya anak

Biarpun isteri sibuk dengan urusan kerja, namun ia bukanlah alasan mereka untuk mengabaikan tanggungjawab dalam kehidupan berumah tangga terutama terhadap zuriat kurniaan teragung ALLAH SWT, kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Terengganu, Fazru Anuar Yusof.

Merujuk kes di atas, jelas beliau, Islam ada menggariskan tugas dan tanggungjawab dalam rumah tangga.

Iklan

Antaranya, suami dipertanggungjawabkan dalam mencari nafkah, manakala isteri pula menjaga keperluan  suami dan sebagainya.

"Namun begitu, tanggungjawab untuk menjaga dan mendidik anak-anak merupakan tanggungjawab bersama dalam rumah tangga.

“Ia tidak boleh dilepaskan kepada salah satu pihak sahaja," katanya ketika ditemubual menerusi e-mel baru-baru ini.

Mengulas mengenai hak jagaan anak selepas bercerai, Fazru Anuar berkata, pada asasnya, seorang ibu adalah yang paling layak untuk mendapat hak berkenaan.

Bahkan, ujar beliau, undang-undang juga memperuntukkan hak ibu dalam kes-kes hadanah di mahkamah syariah seperti yang termaktub dalam Seksyen 84 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017.

Begitupun, hakim syarie tidak akan sewenang-wenangnya memberikan hak jagaan anak kepada ibu sebelum memastikan mereka layak memiliki hak penjagaan yang sah.

“Syarat-syarat itu perlu untuk memastikan kemaslahatan dan kebajikan anak tersebut sekiranya diberikan kepada seseorang ibu seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 85 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017.

“Seksyen itu memperuntukkan, hak seorang perempuan terhadap hadanah akan hilang jika perempuan itu telah mengabaikan atau menganiaya kanak-kanak tersebut.

“Sekiranya seorang hakim syarie mendapati, seorang ibu itu tidak menepati keseluruhan atau salah satu daripada syarat-syarat ini, ia bermakna ibu itu telah hilang kelayakan dari sudut hukum syarak dan undang-undang untuk menjaga serta mendapatkan hak jagaan anak tersebut,”  katanya.

Kepada satu soalan, Fazru Anuar berkata: “Dalam kes bapa mendapat hak hadanah, mahkamah akan memberi hak lawatan dan bermalam bersama anak tersebut kepada ibu pada hari-hari dan tempoh-tempoh yang tertentu.

“Pada waktu ini, ibu perlu memainkan peranan dan tanggungjawab seorang ibu yang telah diamanahkan oleh ALLAH SWT kepadanya.

Abai anak

“Jika anak tersebut masih kecil dan menyusu, bapa pula tidak dapat mengupah ibu susuan lain atau sememangnya si anak tidak mahu menerima susu selain susu ibunya, maka menjadi tanggungjawab ibu untuk menyusukan anak tersebut.

“Selain itu, antara tanggungjawab lain ibu terhadap anak setelah perceraian adalah mendidik, memberikan kasih sayang dan menerapkan ilmu agama kepada anak tersebut,” jelasnya.

About Nurulfatiha

Biodata Penulis