Bekas suami tuntut harta sepencarian atas rumah milik isteri… Ini jawapan peguam syarie tentang tuntutan itu

BERGELAR ibu tunggal, memang diakui sangat mencabar. Apatah lagi memikul tanggungjawab untuk mendidik dan membesarkan seorang anak perempuan. Demikian yang dilalui Zaleha Abdullah (bukan nama sebenar).

Walaupun tanpa suami di sisi, hidup Zaleha kini diulit bahagia. Beliau sudah betah begitu sejak empat tahun lalu apabila bercerai dengan bekas suaminya, Harun Sulaiman (bukan nama sebenar).

Zaleha dan anak perempuannya tinggal di rumah teres setingkat miliknya di sebuah bandar di selatan tanah air. Rumah itu jugalah yang menyimpan 1,001 kenangan antara dirinya dan Harun ketika mereka masih bergelar suami isteri selama sembilan tahun.

Begitupun, perkhabaran yang diterima membuatkan diri wanita itu dihambat rasa gusar. Harun secara tiba-tiba menuntut harta sepencarian ke atas rumah yang didiaminya.

Mantan suaminya itu memfailkan tuntutan harta sepencarian ke atas rumah yang didaftarkan atas nama Zaleha. Sedangkan, Zalehalah yang membayar deposit dan ansuran bayaran bulanan melalui potongan gaji oleh majikannya memandangkan beliau membuat pinjaman daripada syarikat tempatnya bekerja.

Iklan
Iklan

Atas sebab-sebab tertentu, perbicaraan tuntutan berkenaan hanya berlangsung selepas 15 tahun dari tarikh kes difailkan. Ketika itu, Zaleha pun sudah habis membayar semua pinjaman rumah berkenaan.
Namun, Harun tetap berdegil menuntut haknya. Lelaki itu merasakan dirinya berhak menerima satu pertiga daripada bahagian rumah tersebut.

Ketika perbicaraan berlangsung, Zaleha dan Harun masing-masing mengakui bahawa 90 peratus daripada harga belian rumah itu dibayar sepenuhnya oleh wanita berkenaan.

Namun begitu, Harun mahukan juga haknya. Beliau menyatakan, dirinya telah mengeluarkan deposit berjumlah RM20,000, kos guaman RM3,200 dan pengubahsuaian rumah berkenaan berjumlah RM50,000.

Dalam pernyataannya tentang deposit rumah berkenaan, Zaleha berkata: “Betul guna cek dia. Saya tak setuju itu dikatakan duit plaintif. Memang plaintif yang bayar, tapi guna duit saya.”

Zaleha bertegas bahawa deposit yang didakwa dikeluarkan oleh Harun datangnya daripada duit miliknya. Oleh sebab wanita itu tidak mempunyai buku cek, maka wang sejumlah RM25,000 diserahkan kepada bekas suaminya untuk membuat bayaran deposit rumah sebanyak 10 peratus menggunakan cek ketika membeli rumah berkenaan lebih 24 tahun lalu.

Malangnya, nasib tidak berpihak kepada Zaleha kerana bukti yang ada tidak menyokong keterangannya. Transaksi pengeluaran wang di akaun simpanan bank miliknya menunjukkan wang sejumlah RM25,000 dibuat selepas dua bulan dokumen perjanjian jual beli ditandatangani.

Bagi kos guaman pula, mahkamah tidak dapat memberikan sebarang penghakiman kerana Zaleha dan Harun masing-masing gagal mengemukakan ketepatan amaunnya. Begitu juga halnya dengan kos pengubahsuaian, Harun gagal mengemukakan bukti yang menyokongnya.

Justeru, berdasarkan segala keterangan dan bukti dikemukakan, mahkamah memerintahkan agar rumah itu dinilai semula mengikut nilaian harga pasaran semasa.

Zaleha pula berhak mendapat 95 peratus bahagian rumah berkenaan, manakala Harun hanya mendapat lima peratus.

Zaleha terpaksa akur dengan keputusan berkenaan. Baginya, biarlah urusan itu diselesaikan segera setelah memakan masa bertahun-tahun untuk menyelesaikan kemelut harta sepencarian tersebut.

(Artikel berkaitan: Suami meninggal, ini yang WAJIB isteri tahu tentang peninggalan harta arwah)

Boleh tuntut harta sepencarian walaupun tidak menyumbang secara langsung

Meskipun sesebuah harta itu atas nama satu pihak sahaja sama ada suami atau isteri, pasangan tetap boleh menuntut harta sepencarian.

Namun begitu, harta tersebut mestilah diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan . Ia sekalipun pasangan itu tidak memberikan sumbangan secara langsung dalam pemerolehan aset berkenaan.

Bagaimanapun, Peguam Syarie, Abdullah Anuar Sahri menjelaskan, dari segi pembahagian harta pula, ia adalah berdasarkan takat sumbangan pihak-pihak dalam pemerolehan harta tersebut sehingga satu pertiga bahagian bagi pihak yang tidak menyumbang secara langsung.

ABDULLAH ANUAR

“Selebihnya pula diberikan kepada pihak yang menyumbang secara langsung dalam pemerolehan harta tersebut, secara umumnya.

“Takat sumbangan itu tidak kiralah sama ada dalam bentuk wang, harta dan tenaga. Sumbangan tidak langsung contohnya, pasangan tidak menyumbangkan dalam bentuk wang ringgit, tetapi telah membantu pasangannya menguruskan rumah, menguruskan transaksi dan sebagainya.

“Dalam kes seperti ini, pembuktian adalah sangat penting kepada keputusan mahkamah. Mahkamah akan membuat penelitian sebelum memutuskan sebarang perintah pembahagian harta sepencarian tersebut,” katanya ketika ditemu bual menerusi e-mel baru-baru ini.

Abdullah Anuar menambah, harta sepencarian juga meliputi harta yang dibeli sebelum tempoh perkahwinan, tetapi ia dibayar bersama selepas berkahwin.

“Ini kerana, kedua-dua pasangan telah menyumbang dalam pemerolehan harta tersebut.

“Harta sepencarian boleh dituntut dalam tiga keadaan iaitu suami mahu berpoligami, selepas perceraian dan pasangan meninggal dunia sebelum pembahagian harta pusaka dibuat,” katanya sebagaimana peruntukan di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2006.

Dalam pada itu, peguam syarie itu turut menasihatkan agar mereka yang menghadapi masalah harta sepencarian mengikut cara yang betul iaitu melalui saluran mahkamah syariah.

Ujar beliau, tujuannya supaya pembahagian pihak-pihak dapat dilakukan dengan adil dan diiktiraf sebagai hak milik tanpa keraguan.

“Seperkara lagi, pastikan apa-apa sahaja harta yang diperoleh ketika dalam tempoh perkahwinan, simpanlah segala resit pembelian dan pembayaran serta dokumen-dokumen sumbangan.
​​​​​​​
“Ia bagi memudahkan pembahagian dan penilaian takat sumbangan dijalankan dengan bukti-bukti yang ada,” katanya.

Foto: Freepik

Share
Nurulfatiha

Biodata Penulis

Recent Posts

Pelakon Uqasha Senrose selamat timang bayi perempuan, pilih nama Uqaira untuk anak sulung

PELAKON Uqasha Senrose selamat melahirkan cahaya mata sulung di sebuah pusat perubatan di ibu negara…

3 hours ago

Tahniah! Anak Rita Rudaini top 10 batch, raih keputusan cemerlang di MRSM. ‘3.99 ini hadiah untuk birthday Mommy’

TAHNIAH diucapkan buat anak sulung Rita Rudaini, Airit Rayyan Rizqin yang mencuri perhatian ramai apabila…

22 hours ago

Tahniah! Intan Ladyana bersalin anak kedua, Harris junior selamat dilahirkan

TAHNIAH diucapkan kepada Intan Ladyana dan Harris Alif selamat menyambut anak keduanya di sebuah pusat…

1 day ago

‘Mama pergi mana?’ Pertanyaan anak mangsa nahas TLDM, Joanna Felicia saat pengebumian meruntun hati

'MAMA pergi mana?" Demikian kata-kata anak sulung mendiang Joanna Felicia Rohna, Allesia Felice Haslie yang…

1 day ago

Penyatuan jiwa di khemah kecil, pengantin baharu dalam konflik Isr4el-P4lestin jadi perhatian. ‘Saya mahu rumah, peperangan musnahkan impian’

KEMATIAN dan kemusnahan, pergolakan antara Isr4el-P4lestin sejak Oktober lalu tidak menghentikan harapan baru. Malah janji…

1 day ago

Otai masih berbisa, Datin Sofia Jane Rangkul Anugerah Pelakon Wanita Terbaik, tetap cantik & awet muda di usia 52 tahun

DATIN Sofia Jane membuktikan usia bukan penghalang untuk melakar kejayaan manis dalam karier hidupnya. Memasuki…

1 day ago