TANGAN yang menghulurkan bantuan cukup mulia di sisi Tuhan.

Konsep bantuan itu bukan sahaja dari segi kewangan dan barangan.

Bantuan juga tidak terhad kepada wang ringgit sebaliknya boleh membantu orang  lain dengan menyumbang masa dan tenaga.

Pernah dengar tak tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima.

Cubalah memberi dengan hati yang ikhlas, beri tanpa mengharapkan balasan.

Dengan penuh rasa kesyukuran dengan nikmat pemberian yang Allah beri kepada kita.

Dalam Al-Qur’an surah Al-Baqarah ayat 261 disebutkan, ‘Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan 70 tangkai, pada setiap tangkainya terdapat 100 biji. Allah melipat gandakan bagi siapa saja yang Dia kehendaki.

Secara fikiran sederhana jika kita sering mengeluarkan harta mungkin sahaja akan menjadi miskin, tapi jika yakin dan percaya akan rezeki Allah. Kita akan dilipat gandakan lagi rezeki dengan melalui perlbagai cara, ini salah satu rahsia Allah dan hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui lagi Maha Segalanya.

Begitulah yang dialami seorang pendidik, Normujaidah Osman di mana pemberian ikhlas yang hanya bernilai kecil akhirnya menerima rezeki yang tidak disangka-sangka.

Kepada SinarPlus, Normujaidah berkongsi cerita.

Beri 3, Allah gantikan 300... Rezeki Allah memang ajaib…

Beri 3 , Allah gantikan 300.

Ya. 300.

Rezeki Allah ini memang ajaibkan?

Anak-anak saya yang sedang belajar di universiti, sekarang berada di rumah.

Mereka mengikuti kelas secara online dan akan hanya kembali ke universiti pada Oktober nanti.

Untuk mencari pengalaman, anak sulung bekerja sambilan dengan sebuah syarikat yang  diberi nama Odamakan (seakan Food Panda).

Dia baru saja mula bekerja. Suatu hari, ketika dalam kereta anak saya berkata:

“Ibu, abang ada benda nak bagi pada ibu. Tapi nilainya sedikitlah sangat. Tapi tak  apalah, abang nak beri juga.”

Sebaik saja masuk ke rumah terus beliau capai dompetnya dan duduk mengadap saya di  ruang tamu.

“Ibu, abang kerja ni, belum banyak lagi dapat order sebab syarikat ni masih baru di  kawasan kita. Orang mungkin belum kenal sangat lagi kan?”

Saya membalas, “Tak apa bang. Cari pengalaman kan? Insya-Allah, nanti adalah banyak rezeki abang tu.”

Komisen yang anakanda saya dapat bergantung kepada berapa kilometer jarak tempat  makanan diambil dari tempat pelanggan.

Sekitar RM4, RM5 atau RM6. Kalau jauh sedikit dapatlah RM10.

“Abang memang asingkan duit upah ni. Memang niat nak bagi pada ibu. Tapi baru ada  RM3, bu. Tapi tak apalah. Ibu terima ya.”

“Alhamdulillah. Terima kasih, abang. Ibu doa Allah beri rezeki melimpah ruah buat  abang.”

Allahuakbar.

Saya pegang pemberian anak saya itu dengan rasa syukur yang teramat sangat. Bukan nilai itu yang buat saya sebak tapi saya cukup sayu mengenangkan nilai hidup  yang saya mahu terapkan kepadanya dan dia mahu amalkannya. Nilai bahawa hidup ini lebih bererti dengan memberi.

Memberi meskipun sedikit. Apatah lagi memberi sebahagian besar daripada pendapatan kita. Saya pandang wajah anak saya. Kemudian saya rangkul tubuhnya dengan erat.

Saat itu juga saya lihat wajah emak saya yang kehairanan melihat kami.

“Abang, ibu terima duit abang ni. Tapi ibu nak minta tolong abang, boleh?”

Anak saya mengangguk.

Saya pegang wang RM3 dan kembalikan ke tangannya semula.

“Abang jangan kecil hati ya. Ibu dah terima duit abang ni. Tapi ibu nak abang buat satu lagi kerja mulia. Abang pergi kat Tok. Lepas tu abang bagi duit hasil gaji abang ni pada Tok. Mesti tok suka terima duit cucu dia.”

Anak saya senyum serta segera menurut.

Saya bukan tidak mahu menerima wang itu, tapi saya mahu dia melihat sendiri bagaimana saya mahu terus membahagiakan orang lain dengan memberikan apa yang paling saya sayang.

RM3 itu sangat besar nilainya kepada saya.

Bukan jumlahnya, tapi nilai kasih dan sayang anak kepada saya.

Iklan

Boleh saja saya berikan sendiri tapi rasanya lebih manis bila anakanda saya berbuat demikian, kan?

Anak tidak rasa saya menolak.

Emak pula akan merasa bahagia menerima pemberian cucunya.

Allah ya Allah.

Benarlah.

Saya dapat rasakan bahagia yang berganda-ganda bila melihat kegembiraan di wajah kedua-duanya, tatkala mendengar ucapan doa daripada emak buat cucunya.

Artikel berkaitan: Pelanggan tak ambil baki lebihan isi minyak, pengusaha stesen perlu lakukan ini

Malam itu, anak mendekati saya sekali lagi.

“Ibu, nak dengar cerita ajaib tak?”

Saya menjawab, ” Cerita apa?”

“Siang tadi, abang bagi ibu RM3 kan? Dua jam lepas tu, abang dapat mesej dari syarikat tempat abang pernah buat latihan industri dulu. Mereka perlukan pekerja  sementara untuk jaga booth. Mereka offer kerja 6 hari. Satu hari RM50. Ibu izinkan  tak kalau abang nak terima ?”

Masya-Allah.

Sungguh. Allah tidak pernah memungkiri janjinya.

Iklan

Janji bahawa setiap sedekah itu akan dibalas dengan sekurang-kurang 10 kebaikan, malah kali ini 300 kali ganda!

Allah Ya Allah.

Apa pula rezeki yang Allah kirimkan untuk saya?

Ia datang dalam rupa bentuk kuih yang emak namakan Kayu Khamak @ Roti Keramat.

Ya, petang itu, saya dapat nikmati kembali makanan hasil air tangan emak.

Resipi wajib yang emak akan sediakan setiap kali datang ke rumah anak-anak.

Kemudian, mak buat pula kuih Hasidah @ Qasidah.

Kuih tradisional yang sangat digemari oleh kami.

Boleh saja saya buat sendiri, tapi nikmatnya tidak sama, kan teman-teman.