APABILA kita bertandang ke rumah orang lain yang beragama Islam, ucapan salam secara automatik terungkap dari bibir kita. Maklum sahajalah, itu antara cara untuk memberitahu tuan rumah akan keberadaan kita.

Begitu juga halnya apabila mahu masuk ke dalam rumah sendiri. Ucapan salam akan menjadi kalimah pertama yang akan menyapa halwa telinga ahli keluarga yang berada di dalam rumah.

Tidaklah masing-masing terkejut apabila tiba-tiba sahaja ada orang masuk ke dalam rumah. Tambahan pula memberi salam itukan merupakan ucapan mulia.

Kita juga mendoakan kesejahteraan kepada mereka yang berada dalam rumah berkenaan.

Namun begitu, jika sesebuah rumah kosong dan langsung tiada orang di dalamnya, ada segelintir orang terus masuk ke dalamnya sebaik sahaja kunci rumah dibuka.

Begitupun, ada pendapat yang menyatakan supaya kita tetap perlu memberi salam apabila ingin masuk ke dalam rumah kosong. Benarkah begitu?

Islam mengajar umatnya supaya memberi salam ketika hendak masuk ke dalam rumah.

Perkara itu ada dijelaskan dalam firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).” (Surah al-Nur, ayat 27)

Bukan itu sahaja, memberi salam juga merupakan sunah yang melambangkan identiti seorang Muslim. Ini kerana ucapan salam itu sendiri begitu mendalam maksudnya.

Masakan tidak, ungkapan mulia itu mengandungi ucapan dan doa yang melambangkan betapa eratnya hubungan antara seseorang Muslim dengan Muslim yang lain.

Rasulullah SAW bersabda: “Sebarkan (jadikan kebiasaan) salam, (maka) kamu akan sejahtera.” (Riwayat al-Bukhari)

Perbuatan itu juga amat disarankan apabila kita masuk ke dalam rumah kosong dan tidak berpenghuni.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sekiranya seseorang itu masuk ke dalam rumah yang tidak berpenghuni, maka ucapkanlah: “Assalamu ‘alaina wa ‘ala ‘ibadillah al-Solihin (salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba ALLAH yang soleh)” (Riwayat al-Bukhari)

Syeikh Zakaria al-Kandahlawi ketika mensyarahkan hadis ini telah menukilkan beberapa pandangan ulama berkaitan.

Iklan

Beri salam masuk rumah

Misalnya, Ibn ‘Abbas mengatakan bahawa rumah yang tidak berpenghuni adalah termasuk rumah yang berpenghuni, namun tidak ada orang di dalamnya. (Lihat Awjaz al-Masalik ila al-Muwatta’ Malik, 17/206)

Imam al-Suyuthi pula berkata: “Sekiranya masuk ke dalam sesebuah rumah yang di dalamnya terdapat orang Islam, maka ucapkanlah salam, sekiranya masuk ke dalam rumah yang didiami oleh orang bukan Islam atau tiada orang di dalamnya, maka ucapkanlah: “Assalamu ‘alaina wa ‘ala ‘ibadillah al-Solihin.” (Lihat al-Dur al-Mansur (6/208))

Selain itu, Imam al-Nawawi turut menyatakan, sunat untuk menuturkan, bismillah, memperbanyakkan zikir kepada ALLAH SWT dan memberi salam. (Lihat kitab al-Azkar, hlm. 49)

Iklan

Ketahuilah, tujuan ucapan salam berkenaan bagi menghormati makhluk-makhluk ALLAH SWT selain daripada manusia yang berkemungkinan tinggal di tempat tersebut.

Justeru, amalkanlah memberikan salam jika ingin masuk ke rumah biarpun kediaman itu tidak berpenghuni.

Sumber: Al-Kafi #1201: Perlukah Memberi Salam di Rumah yang Kosong, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan