DALAM hidup berumah tangga, kadangkala sikap syak wasangka antara pasangan suami isteri memang akan berlaku.

Namun, Pensyarah Kanan Bahasa Arab, Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Sukki Othman menegaskan, tindak-tanduk tersebut berupaya menghakis lingkaran kasih sayang yang sepatutnya dipupuk oleh pasangan.


Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar suami isteri di luar sana merenung firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 12 yang memberi wasiat penting kepada orang beriman iaitu larangan berburuk sangka buruk sesama manusia, apatah lagi dengan pasangan sendiri.

Berdasarkan ayat itu juga, prasangka yang muncul dalam minda berlaku adalah akibat daripada pengaruh dan bisikan syaitan untuk melaga-lagakan hubungan kasih sayang di antara suami dan isteri. Ia perlu dihentikan dengan segera. Jika tidak, akan membawa kesan negatif dan ketegangan dalam perhubungan,” kata penceramah terkemuka itu baru-baru ini.

Antara dampak negatifnya adalah tercetus keinginan untuk mengintip atau mencari kelemahan dan keaiban, meskipun terdapat banyak nilai positif yang telah ditonjolkan oleh pasangan sebelum ini.


“Akibat berburuk sangka juga akan melahirkan perasaan benci yang akan menyebabkan suami atau isteri bertindak zalim terhadap pasangan. Akhirnya, wujudlah bibit-bibit keretakan yang boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan yang telah dibina sejak sekian lama,” ungkapnya.

Justeru, apa cara terbaik untuk menghilangkan perasaan jelik itu? Dr Mohd Sukki yang juga Penasihat Syariah Harta Muslim memberitahu, Muhammad Jamaluddin al-Qasimi dalam Kitab Maw’izah al-Mu’minin ada menyatakan, ubat untuk penyakit hati itu adalah melalui penerapan ilmu dan amal serta melakukan sifat yang berlawanan iaitu bersangka baik dan memelihara lidah.

Iklan


“Nasihat saya, apabila kita berdepan kemungkinan kesilapan atau keaiban pasangan, carilah 70 alasan untuk bersangka baik dengannya.

Iklan

Sekiranya hati kita tidak dapat menerimanya, maka ketahuilah bahawa kekerasan hati itu yang perlu dipersalahkan.

Justeru, sentiasalah memikirkan hal-hal yang elok kerana ia akan membawa manfaat yang besar dalam kehidupan suami isteri. Bukan sahaja keharmonian dan kebahagiaan dapat dibentuk dan disemai, malah terhindar daripada penyesalan seandainya berlaku penceraian gara-gara syak wasangka,” katanya.