SEMUA orang mahu kesempurnaan dalam hidup masing-masing. Tidak kiralah sama ada dari segi kekayaan, keluarga, kerjaya dan sebagainya.

Maka sebab itulah apabila setiap kali menadah tangan berdoa kepada ALLAH, pasti kita akan selitkan sekali doa untuk kesejahteraan buat diri dan keluarga.

Kadangkala ada individu yang tidak putus-putus berdoa supaya dikurniakan kekayaan dan kesenangan.

Namun, entah di mana silapnya, hidupnya tetap juga tidak kaya seperti yang diimpikan. Ia seolah-olah kelihatan seperti ALLAH enggan memakbulkan doa berkenaan.

Jika kita ada perasaan sebegini, singkirkanlah segera. Percayalah pasti ALLAH SWT ada sebab kenapa DIA berbuat demikian.

Menurut pendakwah Ustaz Elyas Ismail, memang ada ketikanya doa yang kita pohon itu tidak dikabulkan-NYA.

Namun, ketahuilah bahawa ALLAH sebenarnya menggantikannya dengan menjauhkan kita daripada keburukan.

“Contohnya, dalam satu kawasan perumahan, sederet kediaman kena pecah masuk oleh penyamun. Namun, hanya satu rumah yang mungkin tidak dimasuki perompak. Tak tahulah kenapa. Mungkin rumah itu terhijab dan sebagainya.

“Rupa-rupanya selama ini tuan rumah berkenaan berdoa kepada ALLAH moga jadi orang kaya. Namun, ALLAH mengetahui apa yang terbaik buat hamba-NYA.

“ALLAH tukarkan (permohonan doa) itu. Walaupun orang itu tak jadi orang kaya, tetapi hartanya yang sedia ada dipelihara oleh-NYA,” katanya dipetik menerusi video yang dikongsikan di Instagram miliknya baru-baru ini.

(Artikel berkaitan: Doa ‘first class’ yang mudah diterima)

Iklan

Ustaz Elyas turut mengambil satu lagi contoh yang dekat dengan masyarakat iaitu berkaitan dengan kereta.

“Ada orang berdoa agar diberikan kereta mewah dan canggih. Walaupun tidak diperkenankan, tapi kereta yang dimilikinya itu tidak pernah breakdown atau rosak sana sini.

“Barangkali keretanya hanya ‘sakit lutut’ (mengalami kerosakan kecil) saja. Padahal kereta orang lain yang masih baharu, ada yang sudah rosak. Kan jimat duit itu, itulah hikmah di sebaliknya, ALLAH gantikan dengan sesuatu dalam bentuk lain,” katanya.

Iklan

Justeru, Ustaz Elyas berpesan agar tidak menyimpan prasangka bukan-bukan terhadap ALLAH.

Lihatlah dari sudut positif. Pasti ada terselit sesuatu di sebaliknya.

Ya, mungkin kita merasakan sesuatu itu amat sesuai bagi diri kita. Namun, ALLAH MAHA MENGETAHUI segala-galanya.

Sumber: Ustaz Elyas Ismail