BERGURAU senda dan usik-mengusik dah jadi rencah dalam hidup kita. Dah tentu dunia terasa tak lengkap jika sepanjang masa kita mempamerkan riak wajah yang ketat sahaja.

Namun demikian, ia bukanlah bermaksud kita boleh sewenang-wenangnya mengusik orang lain. Tambah pula hingga membuatkan ada hati yang terguris.

Apatah lagi, seandainya perbuatan itu boleh menjejaskan perhubungan kita dengan orang lain. Ada adab dan akhlak yang perlu dipelihara apabila bermuamalat dengan orang.

Tidak kiralah sama ada apabila kita bertemu secara bersemuka atau menggunakan platform media sosial.

Terbaharu, tular video yang menyentak emosi warganet. Video berkenaan berkisarkan ujian kesetiaan terhadap teman wanitanya. Tawaran sejumlah wang diberikan supaya wanita tadi meninggalkan teman lelakinya.

Itu antara satu contoh. Ada banyak lagi kes-kes usikan seperti ini. Walaupun ada yang menganggapnya sebagai usikan nakal, tetapi ia dilihat agak melampau kerana memberikan implikasi tidak baik.

Dalam hal gurauan dan usikan, pendakwah Ustaz Amirul Amin atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Amin ada memberikan penjelasannya di Instagram miliknya pada hari ini.

Jelas beliau, budaya prank yang boleh menjatuhkan maruah dan air muka orang adalah dilarang dalam agama Islam.

Ia termasuklah yang berbentuk lakonan walaupun sekadar untuk menarik orang menontonnya, terang beliau.

“Jangan mainkan perasaan orang lain. Nabi (Muhammad SAW) pesan, nak berhibur jangan sampai berdusta.

“Semoga ALLAH jaga kita,” kongsinya.

Beliau turut mengemukakan hadis bagi menyokong fakta berkenaan.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Permudahkanlah, jangan menyusahkan, tenangkanlah dan jangan melakukan sesuatu yang menyebabkan orang menjauhkan diri daripada kamu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ketahuilah bahawa prank yang ada unsur penipuan dan lakonan yang membawa kepada pergaduhan serta pertelingkahan adalah dilarang keras, jelas PU Amin lagi.

“Apatah lagi jika perbuatan itu boleh terputusnya silaturahim adalah sangat dilarang oleh agama kita.

Iklan

“Jaga-jaga dalam berhibur atau menghasilkan content di media sosial kita,” pesan beliau.

Justeru, sekali lagi pendakwah itu mengingatkan bahawa perbuatan menakutkan orang dengan sesuatu yang direka-reka adalah bencana yang sangat negatif.

“Pelihara diri kita semua dengan meninggalkan sesuatu yang tidak manfaat bagi kita.

“Ini pesan Rasulullah. Kalau nak jadi umat yang terbaik, janganlah kita lakukan lagi.

Iklan

“Berhentilah, memang kita kata itu kejutan, tapi ia tetap dilarang dan bukan hiburan yang dibenarkan. Insya-ALLAH semoga kita dapat fahami bersama,” kongsinya.

Justeru, berpada-padalah jika kita ingin bergurau atau mengusik rakan-rakan, isteri, suami, ibu bapa dan lain-lain.

Andai tersilap langkah, memang buruk padahnya. Sebab itulah peribahasa ada menyebut terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Sumber: Instagram pencetusummah_amin