PADA masa ini, ada sebilangan kecil tempat yang terpaksa menutup atau mengehadkan jemaah di masjid atau surau. Begitupun, ia tidak menggugurkan kewajipan solat kepada umat Islam.

Kita boleh melakukan solat di mana-mana sahaja apabila masuknya waktu solat. Ibadah berkenaan merupakan tiang agama yang wajib ditunaikan waima seseorang itu sakit atau bermusafir.

Alhamdulillah, kebanyakan umat Islam di negara ini nampaknya tidak pernah memandang remeh dengan syariat yang telah difardukan itu.

Barangkali yang membezakan solat bagi setiap orang adalah waktunya dan kesempurnaan seseorang. Ada orang yang suka menunaikan ibadah fardu pada awal waktu, tetapi lebih ramai sebaliknya.

Begitu juga dengan tempoh masa orang mengerjakan sembahyang. Sebilangan orang nampak begitu tergesa-gesa ketika menyudahkan solat masing-masing kerana ada urusan lain.

Bagi segelintir umat Islam, semua itu adalah perkara biasa. Asalkan mereka tidak meninggalkan kewajipan solat itu.

Namun begitu, ketahuilah bahawa ada golongan yang diceritakan dalam sebuah hadis bahawa ibadah solatnya tidak diterima walaupun berpuluh-puluh tahun sembahyang. Apakah yang menyebabkan solatnya tidak diterima? Rukun atau syarat apakah yang perlu dijaga dengan sebaik mungkin ketika solat?

‘Pencuri’ solat

Kepada Sinar Islam, pendakwah Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud atau lebih dikenali sebagai Ustaz MK Azman menjelaskan, solat merupakan Rukun Islam yang terpenting selepas mengucap dua kalimah syahadah.

USTAZ MK AZMAN

Ujar beliau, umat Islam diwajibkan untuk menunaikan solat lima waktu sehari semalam berdasarkan dalil-dalil daripada al-Quran, as-Sunnah dan ijmak para ulama.

“Ibadah solat wajib dipelihara betul-betul. Paling penting, ia tidak boleh diabaikan kerana beza antara orang Mukmin dan kafir ialah solat. Sesiapa yang menafikan atau ingkar perintah solat, maka dia boleh jatuh kafir dan di akhirat kelak, dia akan dihimpunkan bersama-sama golongan munafik di dalam neraka.

“Ketahuilah, tidak berguna amalan sedekah, wakaf dan apa jua amalan baik sekiranya solat tidak ditunaikan. Ini kerana syarat penerimaan ibadah soleh yang lain adalah solat,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ustaz MK Azman turut mengingatkan kita tentang peringatan daripada Rasulullah SAW tentang solat.

Baginda pernah menggambarkan kepada Abu Hurairah RA bahawa terdapat seorang lelaki yang menunaikan solat selama 60 tahun, tetapi solatnya tidak diterima oleh ALLAH SWT, terang beliau.

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Seorang lelaki menunaikan solat selama 60 tahun, tetapi satu pun solatnya tidak diterima ALLAH. Perkara ini berlaku kerana dia menyempurnakan sujudnya, tetapi tidak menyempurnakan rukuknya, atau menyempurnakan rukuknya tetapi tidak menyempurnakan sujudnya.” (Riwayat Ibn Abi Syaibah)

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Seburuk-buruk pencuri adalah mereka yang mencuri di dalam solat.” Sahabat lalu bertanya: “Bagaimana seseorang itu mencuri di dalam solatnya?” Rasulullah lalu menjelaskan: “(Pencuri solat ini ialah) Mereka yang tidak menyempurnakan rukuk dan sujud mereka.” (Riwayat Ahmad)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, ujar beliau, jelaslah ia memberi peringatan kepada kita agar menjaga setiap rukun dalam solat yang dikerjakan.

“Ingatlah, orang yang solat tetapi tidak menjaga rukun qauli (bacaan) dan rukun fi’li (perbuatan) serta tidak tamakninah, maka akan rosaklah ibadah solatnya.

“Sebaiknya, tunaikanlah solat dengan sempurna pada rukunnya. Begitu juga ketika sujud dan rukuk, hendaklah ia disempurnakan dengan baik,” katanya.

Panjangkan tempoh sujud

Menyambung hujah, Ustaz MK Azman menegaskan, ibadah solat yang dilakukan perlu menepati kehendak syarak iaitu syarat sah solat dan benar-benar ikhlas kerana ALLAH SWT.

Solat tak diterima

Jika kita solat dengan hanya sekadar cukup syarat sahaja, dibimbangi ibadah solat kita tidak diterima ALLAH SWT kerana tidak ada keikhlasan, terangnya.

“Seandainya seseorang itu solat hanya untuk menunjuk-nunjuk, ALLAH tidak akan terima solatnya. Begitu juga jika seseorang itu solat hanya untuk memenuhi kehendak orang lain hatta suami, isteri, bos, ibu dan ayah, maka ibadah solatnya tidak diterima ALLAH.

“Sama juga halnya jika seseorang itu solat hanya kerana ada tujuan tertentu, maka ALLAH tidak akan menerima ibadah solatnya. Maka berhati-hatilah menjaga hati ketika solat dan jaga semua syarat sah solat,” nasihatnya.

Seperkara lagi, agamawan itu menyarankan agar umat Islam memanjangkan tempoh rukuk dan sujud ketika solat.

“Ketahuilah, semakin lama seseorang itu rukuk dan sujud dalam solat, maka semakin banyak dosa mereka yang diampunkan oleh ALLAH SWT. Cara itu juga membuatkan seseorang Muslim itu akan terasa dekatnya dengan ALLAH.

“Ketika sujud yang terakhir, pelbanyakkanlah berdoa berpada ALLAH. Ada tiga doa yang wajar kita baca ketika sujud yang terakhir iaitu berdoa supaya kita dimatikan dalam keadaan husnul khatimah, diberi kesempatan untuk bertaubat sebelum meninggal dunia dan berdoa agar ALLAH menetapkan hati kita atas landasan Islam,” nasihatnya.

Elak sikap sambil lewa

Senada dengan Ustaz MK Azman ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood.

USTAZAH SITI FATAHIYAH

Jelas beliau, dalam al-Quran ada disebutkan dengan jelas garis panduan dan tatacara tentang solat serta perkara yang perlu dielakkan ketika mendirikan solat. Ia supaya solat yang dikerjakan diterima oleh-NYA.

Antaranya firman ALLAH SWT: “(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya.” (Surah al-Ma’un, ayat 5)

Beliau turut mengemukakan pandangan Dr Wahbah Zuhaili dalam Kitab Al-Tafsir al-Munir li Zuhaili yang menerangkan, ayat itu merujuk kepada golongan munafik yang mendirikan solat tanpa mengharapkan apa-apa pahala. Mereka juga tidak takut dengan apa-apa azab daripada ALLAH SWT apabila meninggalkannya atau mendirikan solat dengan sambil lewa.

“Sementara itu, Imam Ibnu Katsir menghuraikan dalam kitabnya bertajuk Tafsir Ibnu Katsir bahawa golongan itu termasuk juga mereka yang lalai dan mendirikan solat sambil lewa dan mendirikan solat bukan untuk mengingati ALLAH, tetapi hanya untuk dipertontonkan oleh manusia semata-mata.

“Justeru, jauhilah sikap sambil lewa dan bermalas-malasan ketika hendak menghadap ALLAH. Ya, memang urusan solat diterima atau tidak itu adalah urusan ALLAH, namun garis panduan sudah jelas dinyatakan dan perkara yang perlu dielakkan ketika solat. Patuhilah tatacara berkenaan,” katanya kepada Sinar Islam.

Beliau turut menegur sikap sebilangan masyarakat yang solat umpama ribut.

(Artikel berkaitan: Solat cepat sangat macam ‘ribut’, hati-hatilah sebab takut tak sah, kena ulang balik)

“Jangan sampai kita tertinggal rukun solat. Pastikan setiap bacaan dalam solat juga dibaca dengan betul.

“Mana mungkin kita akan mudah faham jika kita berhadapan dengan orang yang bercakap dengan cepat dengan kita.

“Malah, kita mungkin akan marah kepadanya. Begitu jugalah perihal keadaan kita ketika mendirikan solat. Kita berhadapan dengan ALLAH SWT yang mencipta kita dan solat itu adalah tanda pengabdian kita kepada-NYA,” katanya.

Ujar Ustazah Siti Fatahiyah, peri pentingnya untuk kita menekankan tentang keperluan menjaga kualiti ketika mendirikan solat.

Kualiti yang dimaksudkan adalah merujuk suci daripada segala najis, ketertiban mengambil wuduk, menjaga segala rukun dalam solat dan kualiti kekhusyukan ketika bersembahyang.

Sesungguhnya, hanya ALLAH SWT sahaja yang berhak dan MAHA BERKUASA menentukan sama ada solat seorang hamba itu diterima atau tidak.

“Pada masa sama, ALLAH SWT juga telah menjelaskan dalam al-Quran dalam ayat 1 dan 2, Surah al-Mukminun bahawa kayu ukur bagi menilai orang yang berjaya adalah mereka yang khusyuk dalam solat.

“Berjaya di sini bukan bermaksud kaya dan berharta, mempunyai kedudukan yang tinggi ataupun yang mempunyai penampilan yang cantik.

Iklan

“Ia merujuk kepada kualiti amanah dan tanggungjawab yang telah kita laksanakan dengan tawaduk dan rendah diri bagi mendekatkan diri kepada ALLAH SWT untuk menuju syurga yang abadi,” katanya.

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, pensyarah itu berkata, masih belum terlambat untuk kita bertaubat dan memperbaiki solat serta segala amal ibadah.

“Elakkan daripada menyibukkan diri untuk menilai ibadah orang lain. Ini hanya ALLAH SWT sahaja yang MAHA BERKUASA untuk menilai segala amalan kita sama ada diterima atau ditolak,” ujarnya.

Dosa besar tinggalkan solat dengan sengaja

Solat merupakan tiang agama yang tidak boleh dipandang remeh. Disebabkan itulah ALLAH SWT memerintahkan orang yang beriman agar menjaga ibadah berkenaan dengan sebaik-baiknya.

Pendakwah Ustaz Ahmad Lutfi Abdul Wahab Al-Linggi menjelaskan, mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja, ia termasuk dalam perbuatan melakukan dosa besar.

USTAZ AHMAD LUTFI

Beliau turut mengemukakan pandangan Imam Ibnul Qayyim Rahimahullah yang menukilkan: “Kaum Muslimin tidak berselisih pendapat bahawa meninggalkan solat wajib dengan sengaja termasuk dosa besar yang terbesar, dan bahawa dosanya di sisi ALLAH lebih besar daripada dosa membunuh, merampas harta orang, berzina, mencuri, dan minum arak. Dan bahawa pelakunya menghadapi hukuman ALLAH, kemurkaan-NYA dan kehinaan daripada-NYA di dunia dan akhirat.”

Berdasarkan ungkapan berkenaan, jelaslah bahaya apabila kita meninggalkan ibadah solat yang difardukan kepada setiap umat Islam, terang beliau.

“Oleh sebab itu, ALLAH SWT memberitakan bahawa meninggalkan solat merupakan penyebab utama masuk neraka,” jelas beliau ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Ustaz Ahmad Lutfi yang juga Pengerusi Tahfiz Al-Quran As-Syarif menjelaskan, dalam kalam-NYA, ALLAH SWT turut memerihalkan jawapan para penghuni neraka ketika ditanya oleh penghuni syurga tentang sebab mereka masuk ke tempat yang paling tidak diinginkan oleh semua orang itu.

Perkara itu ada dinyatakan dalam ayat 43-48, Surah al-Muddatstsir yang mana ALLAH SWT berfirman: “Mereka (para penghuni neraka Saqor) menjawab, “Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan solat, dan kami tidak (pula) memberi makan orang miskin, dan adalah kami membicarakan yang batil, bersama dengan orang-orang yang membicarakannya, dan adalah kami mendustakan hari pembalasan, hingga datang kepada kami kematian”. Maka tidak berguna lagi bagi mereka syafaat dari orang-orang yang memberikan syafaat.”

Dalam pada itu, agamawan itu menjelaskan, seandainya seseorang itu meninggalkan solat dengan sengaja ataupun tidak termasuklah terlupa atau tertidur, maka wajib ke atas mereka untuk mengqadakan sembahyang yang ditinggalkan tersebut.

Iklan

“Pada masa sama, bertaubatlah dan kembali kepada ALLAH SWT dengan menjauhi perbuatan meninggalkan solat dengan sengaja, menyesal terhadap dosa yang dilakukan dan bertekad untuk tidak mengulanginya lagi,” nasihat beliau.

ANEKDOT

Solat tak diterima

ANCAMAN bagi orang yang tinggalkan solat               

– ALLAH SWT berfirman: “Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka), kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh.” (Surah Maryam, ayat 59-60)

– Imam al-Zahabi dalam Kitab al-Kabair menyatakan: “Solat adalah diumpamakan seperti pertalian hamba dengan Tuhannya, yang mana orang yang memutuskan pertalian itu dikira berdosa besar, apatah lagi jika dia mengingkari kewajipannya atau memperkecilkan-kecilkan orang yang mengikat pertalian itu sehingga boleh dianggap kafir, jika tidak bertaubat dan kembali kepada Tuhan-NYA.”

– Ibn Abbas RA berkata: “Pengertian ‘meninggalkan solat’ tersebut bukanlah beerti meninggalkan solat itu sama sekali, malah yang dimaksudkan adalah mengakhirkannya dari waktunya.”

– Dalam kitab suci al-Quran, ALLAH menyebut bahawa ada satu golongan yang akan dicampakkan ke dalam neraka wail iaitu golongan Saahun iaitu orang yang tidak solat pada waktunya (Abu al-A’liah)

– Sementara itu, Ibnu Abbas RA berkata, Saahun adalah golongan munafik yang meninggalkan solat sekiranya bersendirian, dan mereka melakukan solat ketika di hadapan orang ramai dan mereka melakukan solat dengan rasa yang sangat malas.

– Imam Ibnu Katsir pula menyatakan, golongan Saahun adalah orang yang melakukan solat tetapi lalai. Lalai dengan waktu solat, lalai dengan perbuatan dalam solat dan lalai sehingga terlupa untuk melakukan solat. Mereka kurang mengingati ALLAH ketika solat dan tujuannya hanya untuk diperlihatkan kepada manusia.

Sumber: Pendakwah Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud

Foto: 123rf & Freepik