'Bersama' dengan isteri belum mandi wajib asbab haid, ini yang wajib tahu

Suami isteri bermanja-manja
October 1, 2021
Oleh Faezah Muda

BERSETUBUH antara suami dan isteri memiliki segudang manfaat, salah satunya adalah pahala yang besar dari ALLAH SWT.

Namun, terdapat beberapa larangan dalam hubungan suami isteri antaranya menyetubuhi isteri dalam keadaan haid, atau dalam keadaan sudah terhentinya darah haid tetapi belum mandi wajib.

Menghuraikan persoalan ini, Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ada penjelasannya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Dr Zulkifli tampil menjawab soalan daripada seorang individu yang bertanyakan "Perkara ini sudah berlaku lebih tiga minggu lepas. Darah haid saya telah berhenti keluar dan suami terus ajak bersama. Tetapi saya tak ingat sama ada sudah mandi wajib atau belum. Apakah hukumnya?"

Katanya, secara asasnya, persetubuhan tidak dibenarkan saat isteri sedang haid.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu."[1]

Ibn Kathir menjelaskan, "Allah melarang untuk mendekati mereka (para isteri) dengan melakukan persetubuhan selama mana haid masih ada. Ia boleh difahami bahawa: jika haid telah selesai maka kembali menjadi halal."[2]

Menurut Ibn Qudamah, majoriti para ulama daripada mazhab Maliki, mazhab Syafie, mazhab Hanbali dan lainnya mensyaratkan mandi wajib setelah haid bagi membolehkan seseorang wanita untuk melakukan persetubuhan bersama suaminya.[3]

Ibn ‘Abbas ketika mentafsirkan Surah al-Baqarah ayat 222, mensyaratkan berhentinya haid dan mandi wajib bagi membolehkan persetubuhan dilaksanakan.[4]

Perkara yang sama juga ditegaskan oleh guru kami, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili.[5]

'Bersama' dengan isteri belum mandi wajib asbab haid, ini yang wajib tahu

Justeru, saran Dr Zulkifli, "Semak sebaiknya sama ada sudah mandi wajib atau belum. Jika telah mandi wajib, maka tidak ada sebarang masalah yang timbul. Jika belum atau masih tidak pasti, maka ia kembali kepada hukum asal iaitu belum mandi wajib."

Iklan

اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ

Maksudnya: "Keyakinan tidak dihilangkan dengan syak (keraguan)."

Ini juga bertepatan dengan kaedah:

الْأَصْل بَقَاء مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Iklan

Maksudnya: "Pada asalnya, sesuatu itu kekal mengikut keadaan asalnya."

Maka jika berlaku persetubuhan dalam keadaan haid, Imam Nawawi menyebutkan pandangan dalam mazhab al-Syafie yang masyhur, tidak dikenakan sebarang denda atau kafarah. Tetapi hendaklah memohon keampunan kepada Allah dan bertaubat atas perbuatan tersebut. Disunatkan bersedekah dengan satu dinar sekiranya persetubuhan dilakukan pada permulaan haid, dan setengah dinar sekiranya dilakukan pada penghujung haid.[6]

Daripada Ibn Abbas, daripada Nabi SAW bersabda dalam persetubuhan ketika dalam haid:

يَتَصَدَّقُ بِدِينَارٍ ، أَوْ بِنِصْفِ دِينَارٍ

Maksudnya: "Hendaklah dia bersedekah satu dinar atau setengah dinar."[7]

Coret Dr Zulkifli, sebaiknya untuk keluar daripada khilaf, bersedekahlah sekadar kemampuan kepada fakir miskin atau mereka yang memerlukan.

Baca juga Memelihara lidah, ilmu, amal, bersangka baik ubat terbaik melawan penyakit hati - Pendakwah

"Saya cadangkan kepada setiap pasangan suami isteri, sebelum perkahwinan lagi dan juga selepasnya sentiasa mempelajari ilmu berkenaan rumah tangga, termasuklah berkaitan fiqh suami isteri.

"Ini supaya sebarang bentuk tindakan kita sentiasa menepati syariat dan mendapat keredhaan ALLAH SWT. Wallahu a’lam," ujar beliau.

Sumber: Maktabah al-Bakri