Bersedekah pada hari Jumaat sangat dianjurkan Islam, tetapi jangan bertangguh untuk lakukan amalan mulia itu pada hari lain

Sedekah hari Jumaat
October 30, 2020
Oleh Nurulfatiha

PADA hari ini, kita beruntung kerana dapat dipertemukan sekali lagi dengan hari Jumaat yang penuh barakah. Ya, ia merupakan hari yang begitu istimewa sekali jika dibandingkan dengan hari-hari lain.

Ramai yang mengenali hari Jumaat sebagai penghulu segala hari ataupun sayyidul ayyam.

Meskipun gelaran sayyidul ayyam berkenaan datangnya daripada sebuah riwayat yang daif, namun ia sedikit pun tidak merencatkan kemuliaan pada hari Jumaat itu sendiri.

Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari padanya ialah hari Jumaat. Pada hari tersebut diciptakan Nabi Adam AS, dia dimasukkan ke dalam syurga dan dia dikeluarkan daripadanya. Dan pada hari tersebut, terdapat satu waktu yang mana jika seseorang Muslim berdiri mendirikan solat dan berdoa kepada ALLAH SWT akan sesuatu hajatnya, nescaya ALLAH SWT akan memberi apa yang dihajatkannya tersebut.” (Riwayat al-Bukhari)

Terdapat banyak kelebihan hari Jumaat sebagaimana yang diceritakan dalam al-Quran dan hadis. Selain hari yang mulia, Jumaat merupakan hari mustajabnya berdoa dan dihapuskan dosa. Lebih istimewa lagi apabila umat Islam berkumpul dan melakukan ibadah bersama-sama menerusi solat Jumaat.

Ketahuilah, terdapat banyak ganjaran yang disediakan oleh ALLAH SWT untuk kita raih pada hari Jumaat.

Bahkan, kita digalakkan untuk melakukan beberapa amalan sunat seperti membaca Surah al-Kahfi, mandi sunat Jumaat dan seumpamanya sebagai tanda mengagungkan hari Jumaat serta mengikut sunah Nabi Muhammad SAW.

Bagaikan satu amalan, kebanyakan umat Islam menjadikan hari Jumaat sebagai waktu untuk bersedekah. Apakah kelebihan bersedekah pada hari Jumaat? Bilakah waktu terbaik untuk melakukan sedekah pada hari berkenaan?

Amalan alim ulama

Bagi mendasari topik berkenaan, Sinar Islam mendapatkan Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah.

USTAZAH SHARIFAH FADYLAWATY

Jelas beliau, jika diteliti semula, tiada hadis atau dalil khusus yang berkait secara langsung tentang kelebihan sedekah pada hari Jumaat.

Namun, katanya, hal itu mungkin disinonimkan dengan dalil umum mengenai kelebihan-kelebihan hari Jumaat.

“Hal ini boleh kita lihat sebagaimana keutamaan sedekah pada bulan Ramadan. Begitu juga, mungkin ada banyak fadilat bersedekah pada hari Jumaat atas asbab kemuliaan hari Jumaat itu sendiri,” katanya dalam temu bual menerusi e-mel baru-baru ini.

Meskipun tiada dalil khusus, pendakwah itu menjelaskan, sebahagian para ulama ada menukilkan tentang keutamaan sedekah pada hari mulia berkenaan.

Umpamanya, Ibn Qayyim Al-Jawziyah dalam kitabnya, Zad Al-Maad menyatakan: “Bersedekah pada hari Jumaat ini lebih mulia berbanding hari-hari lain. Besarnya nilai gandaan ganjaran bersedekah pada hari Jumaat berbanding hari lain adalah seperti besarnya pahala amalan bulan Ramadan berbanding bulan-bulan lain.”

Selain itu, kata pensyarah berkenaan, bersedekah pada hari Jumaat juga merupakan antara amalan yang dipraktikkan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah. Apabila keluar dari rumah untuk mendirikan solat Jumaat, beliau akan membawa roti atau makanan lain yang ada di rumahnya dan menyedekahkannya secara sembunyi di sepanjang jalan yang dilaluinya.

“Dalam hal ini, tidak salah untuk kita mengikuti amalan baik orang-orang soleh, tambahan pula kita maklum bahawa amalan bersedekah ini amat mulia di sisi ALLAH SWT,” ujarnya.

(Artikel berkaitan: Sedekah ketika wabak, kalaulah kita tahu ganjarannya…)

Sedekah hari Jumaat
AGAMA Islam menggalakkan kita sentiasa berlumba-lumba dan bersegera melakukan kebaikan dan jangan bertangguh untuk melakukannya.

Menyambung hujahnya, Ustazah Sharifah Fadylawaty menjelaskan, umat Islam digalakkan untuk bersedekah pada bila-bila masa khususnya sepanjang hari Jumaat.

Namun begitu, ujarnya, umat Islam disarankan juga untuk melakukan amalan mulia itu pada awal pagi atau Subuh kerana malaikat mendoakan kebaikan buat mereka yang sedekah.

Dalam satu hadis lain, Abu Hurairah RA berkata: “Seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad SAW dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya.’

Baginda SAW menjawab: “Kamu bersedekah ketika kamu dalam keadaan sihat dan kikir, takut menjadi fakir dan berangan-angan jadi orang kaya. Maka, janganlah kamu menundanya hingga tiba nyawamu berada di halkum. Lalu kamu berkata, yang ini milik si polan dan yang itu milik si polan. Padahal harta itu sudah menjadi milik si polan (ahli warisnya).” (Riwayat al-Bukhari)

Sedekah ketika diri kedekut

Berdasarkan hadis itu, jelaslah Nabi Muhammad SAW menyatakan, sedekah terbaik adalah ketika diri kita dalam keadaan sihat dan kedekut.

Sedekah hari Jumaat
JANGAN KEDEKUT. Bersedekahlah kerana ia tidak mengurangkan harta, sebaliknya menambah rezeki dan menjauhkan kefakiran dan kesempitan hidup.

“Bagaimanapun, suka untuk saya kongsikan tarjih ulama mengenai waktu terbaik dalam hari Jumaat yang mungkin boleh kita ambil peluang melaksanakan infak pada waktu tersebut.

Iklan

“Berdasarkan kepada perbahasan dan dalil-dalil, antara waktu yang mustajab pada hari Jumaat adalah selepas Asar sehinggalah terbenamnya matahari.

“Ini kerana, dalil-dalil yang dikemukakan oleh pihak ini lebih banyak dan kuat. Selain itu, amalan para sahabat dan salaf juga menunjukkan bahawa mereka amat mementingkan waktu ini sepertimana yang dilakukan oleh Said bin Jubair RA,” jelas beliau.

Kepada satu soalan, Ustazah Sharifah Fadylawaty menjawab: “Tradisi masyarakat kita dengan memberikan infak setiap Jumaat, insya-ALLAH termasuk sebagai amalan yang baik.

“Pada hemat saya, amalan bersedekah itu tidak sewajarnya dibatasi pada hari Jumaat sahaja. Malah, digalakkan untuk dilakukan pada setiap masa yang kita berkesempatan melaksanakannya.

“Ini kerana Islam menggalakkan kita untuk sentiasa berlumba-lumba dan bersegera melakukan kebaikan. Jangan menangguhkan perkara baik kerana kita tidak pernah tahu apa yang akan berlaku kelak. Bagaimanapun, kita disarankan untuk melipatgandakan lagi amalan bersedekah pada hari Jumaat, berbanding hari lain.

“Sesungguhnya, amalan bersedekah juga tidak mengurangkan harta, sebaliknya menambah harta dan menjauhkan kefakiran, kekurangan dan juga kesempitan hidup,” katanya.

Untuk menggali tentang ganjaran bersedekah, Sinar Islam mewawancara pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan.

IMAM MUDA HASSAN

Ujar beliau, secara umumnya, ia banyak disebutkan dalam al-Quran antaranya ganjaran 700 kali ganda kepada mereka yang berinfak di jalan ALLAH SWT.

Firman ALLAH SWT: “Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan ALLAH ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji. Dan (ingatlah), ALLAH melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-NYA, dan ALLAH MAHA LUAS (rahmat) kurnia-NYA, lagi meliputi ilmu pengetahuan-NYa.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)

“Jelaslah bahawa kalam ALLAH itu menunjukkan, sememangnya kita digalakkan untuk memperbanyak amalan infak ke jalan ALLAH dengan dijanjikan ganjaran berlipat kali ganda,” jelas beliau.

Seperti Ustazah Sharifah Fadylawaty, Imam Muda Hassan mengingatkan agar kita tidak menunggu hari Jumaat untuk bersedekah atau berbuat amalan kebajikan yang lain.

“Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, waktu sedekah paling afdal adalah ketika mana kita betul-betul rasa hendak memberikan sedekah berkenaan iaitu semasa dalam keadaan sihat dan rasa sayang dengan harta. Itu adalah lebih baik.

“Begitu juga dengan pandangan ulama tasawuf, apabila ditanyakan kepada mereka bilakah waktu terbaik untuk kita beramal, jawapannya adalah sekarang.

“Kalau kebetulan hari itu jatuh pada hari Jumaat, itu lebih baik. Ingatlah, pahala sedekah itu kerja ALLAH. Jadi, jangan tunggu sehingga hari Jumaat untuk bersedekah,” kata beliau.

Ujar beliau, dalam hadis, ada disebut bahawa sedekah itu cahaya atau petunjuk. Jelas, sedekah itu merupakan bukti keimanan kita.

“Ia petunjuk kepada keimanan kerana kalimah sadaqa dalam bahasa Arab yang bermaksud benar. Jadi, tidak kiralah sama ada sedekah atau infak, kedua-duanya akan mendapat ganjaran. Apatah lagi jika ia dilakukan pada hari Jumaat, maka lebih banyaklah pahalanya,” jelasnya.

Iklan

Justeru, biasakan diri kita dengan bersedekah kerana amalan mulia ini tidak akan menjadikan kita jatuh miskin, sebaliknya akan bertambah dan dijauhkan daripada musibah.

Malaikat doakan orang yang bersedekah waktu Subuh

Selain pada hari Jumaat, waktu Subuh menjadi pilihan ramai orang untuk bersedekah. Malah, ia turut dianjurkan dalam agama Islam.

Pendakwah, Ustaz Bakhtiar Fitri Abdul Hamid menjelaskan, mereka yang bersedekah pada waktu berkenaan akan mendapat doa daripada makhluk ALLAH SWT sangat mulia dan tidak pernah melakukan dosa iaitu malaikat.

USTAZ BAKHTIAR FITRI

“Bayangkan malaikat akan berdoa agar orang yang melakukan infak atau sedekah pada waktu Subuh itu akan digantikan infaknya dengan rezeki yang lebih baik.

“Rasionalnya bersedekah pada waktu Subuh mendapat ganjaran yang besar iaitu doa malaikat kerana kita telah menggunakan harta untuk berinfak terlebih dahulu sebelum digunakan untuk perbelanjaan harian yang lain.

“Jika dibandingkan dengan sedekah pada waktu petang atau malam, kita berinfak dengan saki-baki harta yang telah dibelanjakan pada siang hari,” katanya kepada Sinar Islam menerusi aplikasi WhatsApp baru-baru ini.

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada satu Subuh pun yang dialami hamba-hamba ALLAH kecuali turun kepada mereka dua malaikat. Salah satu di antara keduanya berdoa: “Ya ALLAH, berilah ganti bagi orang yang berinfak”, sedangkan yang satu lagi berdoa “Ya ALLAH, berilah kerosakan bagi orang yang menahan (hartanya).” (Riwayat al-Bukhari)

Ketika ditanya bilakah waktu sebenar sedekah Subuh, Ustaz Bakhtiar Fitri menjawab, tidak dinyatakan secara terperinci tentang waktu berkenaan.

Beliau kemudian memetik pandangan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji tentang masuknya waktu Subuh.

Kitab berkenaan menjelaskan: Permulaan waktu Subuh adalah ketika terbit fajar sadiq dan berterusan hingga matahari terbit.

Ini berdasarkan hadis, sabda Rasulullah SAW: “Waktu solat Subuh adalah dari terbit fajar selama matahari belum terbit.” (Riwayat Muslim)

“Dalam sebuah Hadis Riwayat al-Tirmizi, ada disebutkan bahawa sesiapa yang menunaikan solat fajar (Subuh) berjemaah di masjid dan kemudian duduk berzikir mengingati ALLAH sehingga terbit matahari, lalu solat dua rakaat (solat duha), maka, ia seakan-akan mendapatkan pahala haji dan umrah dengan sempurna.

“Daripada hadis ini, boleh kita ambil manfaat bahawa sedekah pada waktu duha dikira sebagai ibadah mengingati ALLAH.

“Maka, dalam jangka waktu Subuh hingga selesai waktu duha adalah waktu yang terbaik untuk kita bersedekah,” jelas beliau.

ANEKDOT

Bentuk-bentuk sedekah

Sedekah hari Jumaat
SELAIN wang, kita juga boleh bersedekah dalam bentuk makanan dan minuman, pakaian, nafkah dan pembayaran utiliti di masjid dan sebagainya.

– Daripada Jabir RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Setiap kebaikan adalah sedekah.” (Riwayat al-Bukhari)

– Hadis itu memberikan indikasi kepada kita bahawa konsep sedekah amat luas. Apa sahaja kebaikan yang dilakukan dengan ikhlas, pasti akan dihitung sebagai amal soleh dan diberikan ganjaran pahala di sisi ALLAH SWT.

– Antara bentuk sedekah yang boleh kita lakukan adalah sama ada berbentuk fizikal seperti duit, makanan dan minuman, pakaian, nafkah, pembayaran bil utiliti di masjid serta sebagainya.

– Selain itu, kita juga boleh bersedekah dalam bentuk bukan fizikal seperti senyuman, bantuan kepada yang memerlukan, mengajarkan ilmu bermanfaat dan seumpamanya.

– Dengan kecanggihan teknologi, amalan sedekah ini boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana sahaja melalui online, pemindahan wang online dan aplikasi seperti E-Infaq.

Sumber: Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah

Foto: 123rf, Freepik & Bernama

About Nurulfatiha

Biodata Penulis