TIDAK seperti kelaziman, jumlah jemaah haji dihadkan kepada 1,000 orang sahaja pada musim ini berbanding 2.5 juta jemaah pada tahun-tahun sebelum ini.

Daripada jumlah itu, hanya 70 peratus adalah penduduk ekspatriat, manakala baki 30 peratus lagi pula terdiri daripada penduduk Arab Saudi sendiri.

Ia bagi membendung penularan pandemik Covid-19 yang masih belum ditemui penawarnya.

Antara 1,000 jemaah terpilih itu, bekas pesakit Covid-19, Abdullah Al-Kathiri merupakan insan yang cukup bertuah. Beliau terpilih untuk menyempurnakan Rukun Islam ke-5 pada musim haji kali ini.

Lelaki itu memanjatkan rasa syukur kepada-NYA kerana dikurniakan dua berkat besar dalam hidupnya tahun ini iaitu pulih sepenuhnya daripada penyakit pandemik yang boleh membawa maut dan berpeluang untuk menjadi tetamu ALLAH.

“Saya benar-benar rasa diberkati kerana saya dapat dipilih dari jutaan umat Islam, perasaan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata, selain pulih daripada Covid-19,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal Saudi Gazette.

Keinginannya untuk menunaikan haji pada tahun lalu terbantut kerana melangsungkan pernikahan ketika hampir waktu haji. Beliau kemudian menangguhkan hasratnya pada tahun ini.

Abdullah Al-Kathiri yang berasal dari Emiriah Arab Bersatu itu menyangka, rancangannya untuk menunaikan haji sekali lagi akan tertangguh gara-gara ‘serangan’ Covid-19. Namun, sangkaannya meleset sama sekali.

Perancangan ALLAH adalah yang sebaik-baiknya.

Dapat jua beliau menjadi tetamu ALLAH walaupun di tengah-tengah wabak pandemik berkenaan.

“Setelah mengikuti prosedur dan kriteria yang diminta oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, saya lulus,” katanya.

Tambah Abdullah Al-Kathiri lagi, proses pendaftaran haji begitu mudah. Hanya mengikut garis panduan ditetapkan.

“Saya hanya perlu mendaftar, isi nombor pengenalan diri, memaklumkan tahap kesihatan dan mengesahkan bahawa ini kali pertama menunaikan haji kerana kuota yang terhad.

“Sejujurnya, saya tidaklah meletakkan harapan yang tinggi. Namun, tak sangka saya antara jutaan umat Islam yang diberkati menerima kelulusan (untuk mengerjakan ibadah haji). Tentu saja sukar untuk saya ungkapkan perasaan saya ketika ini kerana ia adalah haji pertama saya,” jelas beliau.

Beliau turut memuji kerajaan Arab Saudi yang memberikan layanan baik kepada para jemaah haji.

Iklan

“Bayangkan dalam keadaan jemaah yang ramai mereka boleh memberikan khidmat yang baik, apatah lagi bila keadaan sekarang yang mana bilangan jemaahnya terhad,” katanya.

Pada hari Sabtu lalu, rombongan pertama jemaah tiba di Makkah dengan prosedur operasi standard yang ketat. Ia bagi memastikan keselamatan mereka sepanjang melakukan ibadah di Tanah Suci.

(Artikel berkaitan: Tiga kali ‘call’ Kementerian Haji sebab tak percaya, rakyat Malaysia cerita detik permohonan hajinya diluluskan)

Sementara itu, seorang jemaah haji rakyat Malaysia yang bermastautin di Madinah, Muhammad Uwais Mohd Rosli berkata, mereka diberikan gelang tangan khas yang canggih.

Iklan

“Gelang ini boleh mengesan lokasi setiap jemaah sebelum pergi haji lagi untuk pastikan para jemaah ikut SOP kuarantin di rumah sebelum dan selepas haji,” katanya dipetik menerusi hantaran di Facebook Madinah Di Hati baru-baru ini.

Semua jemaah haji berkenaan kini dalam proses kuarantin sebelum melakukan haji pada 8 Zulhijah iaitu esok.

Sumber: Saudi Gazette, Republika.co.id & Facebook Madinah Di Hati

Foto: Saudi Gazette & internet