SEMPENA HARI HIJAB SEDUNIA (SIRI 1)

DUNIA milenial sekarang memang bermacam ragam. Apabila menyentuh perihal aurat, pendakwah mahupun agamawan sangat kecewa. Masakan tidak, dunia fesyen Muslimah disifatkan semakin tercemar dan tergelincir daripada landasan agama.

Pada masa kini, ramai yang memakai hijab, tetapi ibarat bertelanjang lantaran pemakaian mereka tidak sesuai dengan syariat Islam. Rata-ratanya hanya mengundang tabarruj iaitu berhias secara berlebih-lebihan sehingga mendedahkan aurat.

Bercerita tentang aurat, penulis ingin kongsikan satu situasi yang dialami oleh rakan yang dikenali sebagai Rozie, 30. Dipendekkan cerita, beliau memiliki segala-galanya, daripada kediaman sendiri sehinggalah kenderaan mencecah ratusan ribu ringgit.

Pun demikian, terdapat satu perkara yang membuatkan beliau buntu. Tidak lain tidak bukan, soal jodohnya yang masih terawang-awang. Biarpun memasang impian untuk mendirikan rumah tangga pada usia 26 tahun, tetapi bayangan untuk melayari bahtera perkahwinan masih lagi samar.

Secara ringkasnya, Rozie merupakan seorang yang berperibadi mulia dan kuat bersedekah. Cuma, dirinya masih belum menutup aurat secara sempurna. Beliau hanya memakai selendang.

tudungApabila Rozie mengaudit kembali dirinya, beliau menyedari, antara faktor mengapa doanya tidak dimakbulkan oleh ALLAH SWT mungkin disebabkan pemakaiannya yang tidak patuh syariah.

“Boleh jadi juga ya mengapa doa saya lambat. Meskipun bertudung, kadangkala baju yang saya pakai menampakkan bentuk badan,“ akuinya yang kini sedikit demi sedikit berusaha mematuhi cara menutup aurat yang sebenar dalam meraih keberkatan hidup.

Adakah benar andaian wanita itu? Adakah trend fesyen terkini telah mengundang banyak perbuatan tabarruj yang boleh menjerumuskan ramai wanita ke dalam neraka jahanam?

Maruah
Merungkai lanjut mengenainya, Sinar Islam mendapatkan pandangan pendakwah Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood atau lebih dikenali sebagai Ustazah Siti Nor Bahyah.

Menurutnya, secara asasnya Muslimah harus memahami asbab ALLAH memerintahkan wanita wajib menutup aurat kecuali pada muka dan kedua-dua telapak tangan.

“Ini disebabkan Islam amat memuliakan wanita. ALLAH menciptakan kaum Hawa dengan pelbagai keistimewaan untuk menjaga dan memelihara kehormatan, kesopanan dan maruah diri. Justeru, menerusi pemakaian sempurna, secara tidak langsung ia menunjukkan keperibadian seseorang. Disebabkan itu, ALLAH SWT menegaskan sebaik-baik pakaian adalah takwa.

“Sesungguhnya, takwa akan melindungi pemakainya daripada azab api neraka, maka salah satu bentuk pelaksanaan takwa kepada-NYA, golongan wanita wajib menutup aurat,“ katanya yang turut mengajak kita menyelami makna di sebalik ayat daripada Surah al-A‘raaf.

tudung USTAZAH Siti Nor Bahyah
USTAZAH Siti Nor Bahyah menjelaskan, pemakaian turban, tudung singkat menampakkan dada tidak boleh dikategorikan bertudung mengikut syariat.

Firman ALLAH SWT: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah daripada tanda-tanda (limpah kurnia) ALLAH (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).“ (Surah al-A‘raaf, ayat 26)

Kata Ustazah Siti Nor Bahyah lagi, wanita yang sudah mencapai akil baligh diwajibkan menutup aurat seperti dianjurkan syariat.

Dalam Hadis Imam Abu Daud, Aisyah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda mengenai batasan aurat wanita. Seperti yang tercatat dalam hadis itu, Asma binti Abu Bakar pergi menemui Rasulullah SAW dalam berpakaian nipis.

Maka, Nabi Muhammad Rasulullah SAW berpaling daripadanya lalu berkata: “Wahai Asma! Sesungguhnya jika seseorang wanita itu telah mencapai masa haid (sudah baligh), tidak baik baginya jika ada bahagian tubuhnya yang terlihat kecuali ini (menunjukkan wajah dan telapak tangannya).“

Justeru, kepada ibu bapa, mereka wajib menyarankan anak agar berpakaian sopan seawal usia sembilan tahun.

Seperti yang dibincangkan, era moden kini menyaksikan wanita Islam terikut-ikut dengan elemen fesyen yang meminggirkan peraturan agama yang digariskan dalam Kalamullah. Hal tersebut turut mendapat perhatian Ustazah Siti Nor Bahyah.

Demikian kata dua pendakwah berkenaan: “Bertudung wajib mengikut syariat, bukan bersandarkan trend fesyen semata-mata!“

Pernyataannya itu selari dengan kandungan ayat 31, Surah an-Nur yang menjelaskan, wanita tidak boleh menzahirkan perhiasan tubuh, sebaliknya perlu melabuhkan tudung sehingga menutupi dada.

“Pastikan pakaian yang dipakai tidak jarang, tidak nipis dan tidak ketat termasuk tudung yang tak menampakkan leher dan dada,“ katanya.

tudung
WANITA diwajibkan bertudung kerana perintah agama, bukannya bermegah dengan tabarruj sehingga menarik perhatian insan sekeliling.

Ujar Ustazah Siti Nor Bahyah, sesungguhnya, wanita yang menjaga kehormatan diri dan memelihara maruah termasuk dalam lima prinsip maqasid syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Dalam Surah al-Ahzab, ayat 59, ALLAH SWT berfirman: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) ALLAH MAHA PENGAMPUN LAGI MAHA MENGASIHANI.“

Tabarruj
Pendakwah itu turut memberikan komentarnya mengenai pemakaian turban dalam kalangan wanita Muslimah.

“Memakai turban atau skarf pendek hingga menampakkan leher sama sekali tidak boleh dikategorikan sebagai bertudung mengikut syariat. Ia mendatangkan dosa,“ katanya.

Menyentuh hal tersebut, beliau lantas mengimbas kembali peristiwa rombongan wanita daripada suku Bani Tamim yang menziarahi Saidatina Aisyah RA dengan berpakaian nipis.

Saidatina Aisyah RA secara terang-terangan berkata kepada mereka: “Jika kamu sekalian wanita Mukmin iaitu beriman dengan sebenar-benar iman, maka pakaian-pakaian yang kamu pakai ini bukanlah daripada orang beriman‘.“

Iklan

Sama juga halnya pada zaman ini, kata Ustazah Siti Nor Bahyah. Kaum Hawa memakai hijab, namun digayakan dengan baju-T lengan pendek dan seluar denim sendat.

“Ingat ya wahai di luar sana, menutup aurat bukan sekadar bertudung, tetapi ia meliputi pelbagai segi. Mereka yang mempraktikkan corak pemakaian sedemikian adalah wanita yang hanya mengikut trend, bukannya berpandukan Islam,“ jelasnya.

Sementara itu, Dr Anisah Abdul Ghani daripada Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) turut melontarkan pandangannya mengenai pemakaian hijab pada zaman urbanisasi ini.

tudung dr anisah
DR ANISAH menyatakan tidak salah menggayakan tudung ikut trend semasa asalkan dari kepala hingga bahagian kaki ditutup sempurna.

Katanya, tidak salah menggayakan tudung mengikut selera terkini, namun jangan sesekali menyalahi syarak. Beliau juga memahami, stail gaya tudung di setiap negara berbeza-beza

“Boleh tiru gaya mereka, namun ingin saya tegaskan, pastikan ia mematuhi syariat iaitu dari kepala hingga kaki harus ditutup dengan helaian pakaian potongan longgar baik tudung, baju mahupun seluar.

“Kita wanita diwajibkan memakai tudung kerana perintah agama, bukannya bermegah dengan tabarruj sehingga mendedahkan aurat dan menarik perhatian insan sekeliling. Ia berdosa,“ katanya.

Dr Anisah juga tidak bersetuju dengan persepsi sesetengah wanita yang menyifatkan berhijab secara sempurna merupakan kelompok ketinggalan zaman.

“Meskipun kita sedang meniti arus modenisasi, tidak seharusnya timbul isu ‘kekampungan‘ apabila wanita memperbaiki diri dengan bertudung litup.

Iklan

“Mengapa perlu gusar jika dilabel ketinggalan zaman, walhal pada hari ini, ramai wanita intelektual dan bertamadun merupakan mereka yang mengenakan hijab mengikut syariat? Jadikan ia contoh kerana dalam mengejar duniawi, mereka tetap menjaga penampilan atas batas syarak,“ katanya lagi.

tudung
TEPIS persepsi wanita tampak ‘kekampungan’ apabila sedang berusaha memperbaiki diri dengan bertudung litup.

Kepada wanita yang sudah berkahwin, bantulah suami dengan menutup aurat kerana kecantikan anda itu hanya untuk si suami. Sementelah golongan bujang pula, lakukanlah jika sayangkan ibu dan ayah, ujar beliau.

“Golongan ibu bapa jangan berputus asa memanjatkan doa kepada ALLAH agar membuka hati anak perempuan yang telah cukup umur untuk memakai tudung,“ katanya.

Sebelum menutup bicara, Dr Anisah sempat menitipkan pesanan buat Muslimah yang mengalami situasi terpaksa membuka tudung atas desakan majikan di tempat kerja.

tudung
WANITA dinasihatkan supaya mencari pekerjaan yang mana pihak manjikan membenarkan mereka bertudung.

“Sebaik-baiknya wanita terbabit berbincang dengan pihak majikan akan keperluan Muslimah menutup aurat atas tuntutan agama,“ katanya.

Bagaimanapun, sekiranya pihak pengurusan masih tidak mengizinkan, maka wanita tersebut perlu segera meninggalkan pekerjaan itu sejurus mendapat kerja lebih baik demi kemaslahatan diri dan agama.

“Ingat, keberkatan sumber pendapatan kita bersangkut paut dengan pekerjaan yang kita lakukan. Yakinlah dan bergantung pada ALLAH kerana DIA yang mengurniakan rezeki, bukannya manusia,“ katanya.

ANEKDOT
ANTARA Kesilapan wanita mengenai aurat
– Aurat itu memakai tudung sahaja.
– Bertudung, tetapi mengenakan baju-T lengan pendek.
– Bertudung, tetap memakai baju kebarung atau kebaya terbelah di bahagian tengah.
– Bertudung, tetapi memakai baju sendat, sempit dan nipis lalu menampakkan bentuk tubuh.
– Bertudung, tetapi longgar tudungnya hingga sengaja menayangkan jambul dan hujung rambutnya.
– Bertudung, tetapi hanya memakai di pejabat sahaja. Tanggalkan tudung apabila ke pasar raya.
– Bertudung, tetapi tudung dilempar ke belakang leher, maka terdedah belahan dada daripada ditutupi kain tudung.
– Bertudung, tetapi mengenakan tudung nipis hingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dada.
Sumber: jakimsabah.islam.gov.my

Foto: Freepik dan Canva