BERMACAM cerita timbul saat semua orang sedang ‘bergelut’ menghadapi wabak koronavirus (Covid-19) sejak akhir-akhir ini.

Selain berkongsi aktiviti yang dilakukan di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak kurang juga orang yang tidak bertanggungjawab melanggar arahan supaya duduk di rumah, membuat telahan pandemik dengan ayat al-Quran dan sebagainya.

Begitu ‘kreatif’ masyarakat kita sebenarnya. Baru-baru ini pula, kita dikejutkan dengan seseorang yang mendakwa sebagai ‘pengamal perubatan Islam’ berjaya ‘menangkap dan mengurung’ virus Covid-19.

Apakah pandangan Islam tentang perkara ini? Bagaimana asas untuk berubat mengikut perspektif agama?

Ikuti jawapannya bersama pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki:

USTAZ MUSTAFAR

“Dari sudut Islam, secara asasnya kita diminta untuk berlindung kepada ALLAH SWT daripada segala penyakit.

Ia sepertimana doa-doa sunah diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW seperti dalam riwayat Imam Abu Dawud: “Ya ALLAH, aku berlindung daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Di samping itu, manusia juga diperintahkan untuk mengambil asbab sepertimana langkah pencegahan, berubat dan sebagainya.

Ia berdasarkan hadis sahih daripada Nabi SAW “Sesungguhnya ALLAH SWT ketika menciptakan penyakit, diciptakan juga penawar, maka berubatlah.” (Riwayat Ahmad)

Iklan

Berubat tidak sekali-kali menafikan tawakal kita kepada ALLAH SWT.

Adapun wabak Covid-19 adalah sejenis virus bukan daripada gangguan jin atau syaitan. Kaedah rawatan dan nyah kuman sudah tentu dengan cara melalui kaedah saintifik oleh pakar-pakar perubatan bertauliah.

Justeru, kami menyeru masyarakat agar sentiasa peka dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan arahan pemerintah.

Iklan

Kami juga mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada barisan utama para doktor dan pegawai-pegawai perubatan yang berkorban serta bertungkus lumus dalam meghadapi Covid-19 ini,” jelas beliau.

Ya, memang kita dituntut untuk berubat apabila sakit. Pada masa sama, teruskan berdoa dan bertawakal kepada-NYA agar diberikan kesembuhan.