“SESIAPA yang duduk di rumahnya semasa wabak berlaku, maka dia mendapat pahala syahid sekali pun tidak meninggal dunia.”

Itu antara petikan hadis yang dikongsikan di media sosial ketika seluruh dunia sedang bergelut wabak Covid-19.

Sebagai umat Islam, menjadi tugas kita untuk menyelidiki maklumat berkenaan sebelum disebarkan kepada orang ramai. Jika kita kurang arif, apa salahnya bertanyakan kepada mereka yang pakar dalam bidang berkenaan.

Apakah maklumat yang dikongsikan itu benar ada dinyatakan dalam mana-mana hadis atau nas? Apa perkaitannya dengan wabak pandemik yang sedang kita ‘lawan’ pada hari ini?

Menjawab persoalan itu, memang terdapat beberapa riwayat yang dijadikan sebagai sandaran kepada anjuran berkenaan.

Petikan hadis berkenaan adalah lafaz hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan ia juga menepati syarat Imam al-Bukhari serta rijal-rijalnya juga adalah tsiqah.

Ia merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Al-Mukminin Aisyah RA.

Beliau berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang taun, kemudian Rasulullah SAW mengkhabarkan kepadaku dengan berkata: “Sesungguhnya ia merupakan azab yang dihantarkan oleh ALLAH kepada sesiapa sahaja yang DIA kehendaki. Maka ALLAH menjadikan ia sebagai rahmat bagi golongan yang beriman. Tidaklah seorang lelaki itu saat berlakunya taun lalu dia duduk di dalam rumahnya dengan penuh sabar serta mengharapkan ganjaran pahala, dan dia tahu tidaklah musibah menimpa dirinya melainkan apa yang ALLAH telah tetapkan buat dirinya maka dia mendapat seperti ganjaran pahala orang yang syahid.” (Riwayat Ahmad)

Fikah hadis berkenaan mengajar kita supaya tidak keluar dari kawasan kita sendiri bagi melarikan diri saat berlakunya wabak atau penyakit berjangkit.

Malah, kita dituntut untuk kekal di dalam rumah bagi mengekang penularan wabak tersebut.

Ketahuilah bahawa orang yang menetap di dalam rumah sepanjang tempoh wabak berlaku dengan penuh sabar dan mengharapkan pahala setelah mengambil segala usaha serta daya untuk menjaga keselamatan diri masing-masing, di samping meyakini bahawa tidak ada yang menimpa dirinya melainkan ia ketentuan ALLAH, maka dirinya akan mendapat pahala syahid.

Walaupun individu berkenaan tidak mati disebabkan wabak berkenaan, pahala syahid tetap akan diperolehnya.

Duduk di rumah ketika wabak Covid-19
TERUSKAN berdoa kepada ALLAH agar wabak itu diangkat oleh-NYA.

Begitupun, Syeikh Abu Al-Hasan Ubaidullah Al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadis tersebut, beliau berkata: “Sekiranya seseorang itu duduk (di dalam negara atau rumah) dalam keadaan penuh ketakutan atau menyesal kerana tidak keluar, lalu dia menyangka kalau dia keluar nescaya taun tidak terkena pada dirinya dan dia menyangka  yang dia terkena  taun disebabkan dia masih duduk (di negara atau di rumahnya), maka orang ini tidak akan mendapat pahala syahid meskipun dia meninggal dunia disebabkan taun.

Iklan

“Inilah yang dimaksudkan oleh mafhum hadis sebagaimana yang dimaksudkan oleh mantuq hadis bahawa sesiapa yang bersifat dengan ciri-ciri yang telah disebutkan, maka dia akan memperoleh pahala syahid meskipun dia tidak meninggal dunia disebabkan taun.” (Rujuk Mir’aat al-Mafatih, Abu Al-Hasan Ubaidullah Al-Mubarakfuri (5/239)

Setelah jelas dengan status hadis tadi, timbul satu persoalan lagi. Bolehkah kita samakan wabak Covid-19 dengan taun?

Sebenarnya, taun ada beberapa definisi yang disebutkan oleh para ulama lughah (bahasa).

Ibn Al-‘Arabi menyatakan dalam Syarah al-Tirmizi: “Dinamakan sebagai taun kerana musibahnya meliputi umum serta cepat berlaku kematian disebabkannya. Maka penyakit-penyakit yang seumpamanya turut termasuk sebagainya (taun). (Rujuk Bazl Al-Ma’un, Ibn Hajar)

Iklan

Berdasarkan ciri-ciri berkenaan, maka Covid-19 boleh diiktibarkan sebagai taun seperti yang disebutkan dalam riwayat-riwayat yang sahih kerana ia merupakan virus yang merebak dan membawa penyakit berjangkit yang boleh membawa kematian dalam skala besar.

Diharap semua jelas dengan status petikan hadis yang rancak dikongsikan di media sosial. Sesungguhnya, Islam mempunyai garis panduan yang lengkap dan berstruktur ketika menghadapi wabak.

Patuhilah arahan pihak pemerintah dan berkuasa serta ikutilah cara yang dianjurkan oleh Islam. Pada masa sama, jangan berputus harap dan teruskan berdoa kepada ALLAH SWT agar wabak Covid-19 ‘diangkat’ oleh-NYA.

(Sumber: Irsyad Al-Hadith Siri ke-490: Status Hadis “Duduk di Rumah Semasa Wabak Mendapat Pahala Syahid”, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)